Foto: NOA/AFP
Foto: NOA/AFP

Tsunami: Fakta penting yang perlu diketahui guru & pelajar

01 Aug 2025 05:13pm

Rabu lalu, dunia dikejutkan dengan kejadian gempa bumi kuat berukuran 8.7 magnitud yang melanda Semenanjung Kamchatka, Rusia.

Gegaran tersebut mencetuskan amaran tsunami di beberapa negara termasuk Jepun dan Amerika Syarikat (AS) sekali gus mencetuskan kebimbangan di seluruh rantau Pasifik.

Fenomena alam yang dikenali sebagai tsunami ini bukan sahaja mendatangkan kemusnahan besar, malah turut mengorbankan ribuan nyawa jika tidak ditangani dengan segera dan berkesan.

Oleh itu, dalam usaha meningkatkan kesedaran serta kefahaman awam khususnya dalam kalangan pelajar dan guru, Sinar Bestari menyenaraikan info penting berkaitan fenomena tsunami.

Menurut laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), perkataan tsunami berasal dari perkataan Jepun yang bermaksud ombak laut di pelabuhan.

Ia bukan sekadar satu ombak, tetapi merupakan siri gelombang besar yang terbentuk akibat gangguan mendadak di dasar laut.

Gelombang-gelombang ini memiliki jarak dan jangka masa panjang antara satu sama lain, di mana setiap puncak gelombang boleh berjarak antara 10 minit hingga satu jam.

Tsunami biasanya terjadi secara impulsif, berpunca daripada kejadian semula jadi seperti gempa bumi bawah laut, tanah runtuh dasar laut, letusan gunung berapi, letupan besar, atau malah hentaman objek kosmik seperti meteorit.

Artikel Berkaitan:

Perkara ini menyebabkan dasar laut tiba-tiba berubah, sama ada melalui pergeseran atau terangkat secara mengejut, yang menyebabkan air laut terdorong secara besar-besaran, lalu menghasilkan gelombang tsunami.

Tsunami biasanya mempunyai ciri-ciri yang berbeza apabila merambat pada kawasan laut yang mempunyai kedalaman yang berbeza.

Di kawasan laut dalam tsunami boleh bergerak dengan kelajuan melebihi 800 km/jam dan biasanya mempunyai amplitude gelombang hanya dalam beberapa sentimeter.

Apabila gelombang tsunami menghampiri kawasan pantai yang lebih cetak, kelajuan gelombang berkurangan dan ketinggiannya bertambah sehingga membentuk dinding air dengan ketinggian mencapai puluhan meter.

Foto hiasan: Canva
Foto hiasan: Canva

METMalaysia berkata, tsunami biasanya akan terhasil apabila dasar lautan dengan tiba-tiba berubah kedudukan yang akan menyebabkan air berkocak kuat.

Gempa bumi tektonik adalah gempa bumi yang biasanya akan menyebabkan kecacatan atau perubahan pada kerak bumi.

Bagaimanapun, tidak semua gempa bumi boleh menghasilkan tsunami.

Lazimnya, gempa bumi dengan kekuatan lebih daripada 6.5 magnitud, pada kedalaman kurang daripada 100 km dan berlaku di kawasan laut atau berhampiran dengan laut berpotensi menghasilkan tsunami.

Apabila gempa bumi terjadi di dasar lautan, air yang berada di kawasan kejadian akan berubah dari kedudukan keseimbangannya.

Gelombang akan terhasil dari perubahan jisim air, yang bertindak dibawah pengaruh graviti yang cuba untuk mengembalikan keseimbangan kedudukannya.

Apabila kawasan dasar laut yang berubah kedudukan (terangkat atau turun) adalah luas, tsunami akan terhasil.

Langkah-langkah keselamatan tsunami

1) Tidak semua gempa bumi mengakibatkan tsunami, tetapi kebanyakannya berpotensi menghasilkan gelombang tsunami. Apabila anda mengetahui gempa bumi telah berlaku, bersedialah untuk menerima amaran tsunami.

2) Tsunami bukannya satu gelombang sahaja tetapi terdiri dari beberapa siri gelombang. Teruskan berada di kawasan yang selamat sehingga pihak-pihak bertanggungjawab mengumumkan keadaan benar-benar selamat.

3) Kehadiran tsunami biasanya didahului dengan air laut yang surut secara tiba-tiba. Ini adalah tanda-tanda semula jadi terhadap kehadiran tsunami dan perlu diambil perhatian oleh orang ramai.

4) Gelombang tsunami yang kecil pada suatu kawasan pantai mungkin boleh menjadi sangat besar beberapa meter sahaja darinya. Jangan ambil mudah pada gelombang tsunami yang kelihatan kecil.

5) Semua amaran tsunami yang dikeluarkan perlu diambil serius oleh orang ramai. Tsunami yang berlaku pada Mei 1960 di Hilo, Hawaii contohnya telah mengakibatkan kematian seramai 61 orang kerana orang ramai menganggap amaran yang dikeluarkan hanyalah satu kesilapan.

6) Semua tsunami berpotensi untuk menjadi berbahaya walaupun mungkin tidak memusnahkan semua kawasan yang dilaluinya.

7) Jangan sesekali pergi ke tepi pantai untuk melihat gelombang tsunami. Apabila gelombang tsunami dilihat, anda sudah terlalu dekat dengan gelombang tersebut dan sukar untuk menyelamatkan diri darinya.

8) Berikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa tempatan, polis dan badan-badan kecemasan yang lain untuk menyelamatkan nyawa anda semasa berlaku keadaan cemas akibat tsunami.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp