UPSR dan PT3 akan dikembalikan?
Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan pembatalan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun lalu telah menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Ada yang bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan pada ketika itu namun tidak terkecuali ada yang menentang habis-habisan pemansuhan UPSR yang dilihat sebagai peperiksaan penting bagi menilai prestasi murid dari Tahun Satu hingga Enam serta menilai kemampuan dan kebolehan murid sepanjang di sekolah rendah.
Walaupun bermacam-macam pandangan berhubung isu berkenaan, namun Kementerian Pendidikan (KPM) pada Selasa tetap dengan pendirian mereka untuk tidak mengembalikan UPSR dan PT3 dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, keputusan itu dibuat kerana KPM masa ini memberi fokus kepada pembangunan holistik murid melalui pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
“PBS dan PBD memberi ruang dan peluang untuk membangunkan potensi murid secara menyeluruh dan berterusan.
“Oleh itu, kita tidak akan mengembalikan UPSR dan PT3,” ujarnya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.
Hui Ying menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (Rasah) yang ingin tahu jika KPM bercadang untuk mengembalikan UPSR dan PT3.
Sebelum itu, UPSR dan PT3 dimansuhkan sepenuhnya pada 2022 sebelum digantikan dengan PBS dan PBD secara menyeluruh.
PBS ialah suatu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani).
Terdapat empat komponen dalam PBS iaitu Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
Manakala PBD pula adalah pentaksiran yang berterusan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid.
PBD berlaku secara formatif dan sumatif; sebagai pembelajaran; untuk pembelajaran dan tentang pembelajaran.