UTeM diiktiraf sebagai Pusat Pengakreditan APEL C, tahniah!
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima pengiktirafan sebagai Pusat Penilaian Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi tujuan Penganugerahan Kredit (APEL C) daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), baru-baru ini.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata, pengiktirafan itu memberi impak besar dalam konteks pembelajaran dan tempoh pengajian kepada kepada pelajar UTeM dan calon di luar sana yang ingin mengikuti pengajian di universiti itu apabila mereka berpeluang mendapat pindahan kredit menerusi APEL C di UTeM.
Beliau berkata, APEL C adalah proses penilaian pembelajaran secara tidak formal dan formal berdasarkan pengalaman kerja terkumpul meliputi pengetahuan serta kemahiran yang membolehkan mereka memohon mendapatkan pindahan kredit bagi kursus dalam program pengajian yang mereka ikuti.
"Dalam erti kata lain, dengan adanya pindah kredit melalui APEL C mereka yang mempunyai pengalaman kerja berkaitan dapat mengurangkan tempoh pengajian bergantung kepada pindah kredit yang diperolehi.
"Permohonan pindah kredit melalui APEL C ini meliputi semua tahap pengajian diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan kedoktoran (PhD) merangkumi semua kategori kemasukan sama ada melalui proses kemasukan perdana, laluan terbuka atau separa masa," maklumnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Massila berkata, menerusi APEL C itu, pelbagai manfaat lain turut dapat dinikmati pelajar seperti mengurangkan pembelajaran berulang, selain mengurangkan kos dan tempoh masa untuk menamatkan pengajian.
Sementara itu, Pengarah Pusat Perkhidmatan Pendidikan Lanjutan dan Berterusan (UTeM ACCESS), Prof Madya Dr Suhaimi Misha berkata, APEL C merupakan peluang keemasan dinantikan oleh masyarakat termasuk calon dewasa untuk menyambung pengajian dalam bidang teknikal di UTeM.
Beliau berkata, pekerja swasta daripada pelbagai sektor perindustrian malah penjawat awam dapat menikmati manfaat pindahan kredit berdasarkan pengalaman kerja sebelum ini.
"APEL C menjadi laluan mengiktiraf pengalaman kerja termasuk kursus jangka pendek yang diiktiraf dan pendekatan ini dapat memastikan pembangunan kerjaya serta kelayakan akademik seseorang berjalan seiringan," katanya. - Bernama