Asyraf Wajdi (kiri) mengemukakan cadangan supaya MRSM Kepala Batas dinamakan semula sebagai MRSM Tun Abdullah Badawi.
Asyraf Wajdi (kiri) mengemukakan cadangan supaya MRSM Kepala Batas dinamakan semula sebagai MRSM Tun Abdullah Badawi.

Warga maya puji idea Asyraf Wajdi! 'Cadangan yang sangat baik & tepat pada masanya'

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
16 Apr 2025 04:52pm

Perkongsian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkenaan cadangan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang dinamakan semula sebagai MRSM Tun Abdullah Badawi mendapat maklum balas yang sangat luar biasa daripada warga maya.

Hantaran yang dikongsi menerusi Facebook peribadinya itu, telah menerima 15,000 tanda suka (like), hampir 2,000 komen dan hampir 500 perkongsian setakat jam 4 petang Rabu.

Menurut Asyraf Wajdi, hasrat penukaran itu bertujuan mengenang jasa dan sumbangan Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Sebagai mengenang jasa Almarhum Pak Lah (Tun Abdullah), saya akan mendapatkan persetujuan Menteri KKDW (Kemajuan Desa dan Wilayah) (Ahmad Zahid) untuk menamakan MRSM Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Badawi," catatnya di Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, dia sudah meminta pihak pengurusan Mara menyediakan kertas cadangan (berkaitan perkara itu) dan diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW yang bertanggung jawab terhadap Mara.

"Antara justifikasi penting bukan sahaja mengenang jasa Almarhum Tun Abdullah atau Pak Lah selaku bekas Perdana Menteri Malaysia. Bahkan zaman beliaulah agenda Ulul-Albab ini mula diperkenalkan bagi membangunkan modal insan yang seimbang dan holistik bukan sahaja dalam ilmu sains dan teknologi tetapi menguasai al-Quran di bawah dasar Islam Hadhari. Sebab itulah Pak Lah dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan,” tulisnya di ruangan komen.

Warga maya yang sering mengikuti perkongsian Asyraf Wajdi di media sosial itu, turut memberi komen positif susulan hasrat murni yang dikemukakan.

"Alhamdulillah, inisiatif yang terbaik bagi mengenang nama dan jasa," catat Hassan Basri Tajul Arifin.

Artikel Berkaitan:

"Ringkasan nama MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi (MANTAB)," maklum Hilmi Firdaus.

"MRSM Ulul Albab juga mula diperkenalkan ketika Tun Abdullah menjadi Perdana Menteri. Ia rentetan kejayaan Tun Abdullah memperkasakan pendidikan agama dan tulisan Jawi dengan JQAF (Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain) yang hasilkan ramai guru-guru agama untuk mengajar di KAFA (Pendidikan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain), menjadikan generasi 10 tahun selepas itu mahir asas ilmu agama Islam dan cekap membaca dan menulis Jawi. Hasilnya pula mencambahkan banyak pusat tahfiz dan pondok. Anak-anak sama dituai pula oleh MRSM model Ulul Albab dan USIM (Universiti Sains Islam Malaysia), yang khusus menjadi laluan untuk anak-anak tahfiz ini. Semoga asbab jasa dan budi Tun Abdullah menjadi pemberat syurga buat beliau yang berusaha dan berkhidmat tanpa jemu demi agama, bangsa dan negara," ujar Khairul Ashraf Muhamad.

"Penghargaan yang sewajarnya. Terima kasih YB Datuk Dr atas usaha ini," tutur Mohammad Aswad.

"Setuju. Juga mohon mencadang MRSM Tumpat dinamakan MRSM Tan Sri Mohamed Yaacob dan MRSM Kuala Krai MRSM Tengku Ahmad Rithaudden. (TS Mohamed Yaacob dilahirkan di Palekbang Tumpat manakala Tengku Ahmad Rithaudden dilahirkan di Mengkebang Kuala Krai). Semoga tokoh ulung negara dikenang generasi sekarang dan akan datang," jelas Mutiare Kehidupang.

"Terbaiklah. MRSM Ulul Albab Tun Abdullah Ahmad Badawi," kata Zulkifli Ahmad.

Terdahulu, Tun Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, jam 7.10 malam (Isnin).

Pemergian Pak Lah meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam hati rakyat Malaysia.

Sebagai pemimpin berjiwa besar, keperibadian beliau yang tenang, sederhana dan sentiasa mendahulukan rakyat menjadikannya sangat disayangi oleh semua lapisan masyarakat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp