webinar6
webinar6

Webinar antarabangsa pupuk nilai kesukarelawanan, subur erti kemanusiaan

Nor Azma  Muhamat Laila
21 Jun 2022 01:17pm
A
A
A

TANJONG MALIM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan program International Webinar: How to be a Good Volunteer secara dalam talian, baru-baru ini bagi menerapkan nilai kesukarelawanan dalam kalangan warga universiti.

Program yang dianjurkan oleh Exco Komuniti Setempat dan Kesukarelawan, Majlis Mahasiswa Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) UPSI itu menampilkan dua tokoh dunia kesukarelawan iaitu Hishamuddin Abdul Rahman yang mewakili Malaysia dan Sohag Mohajon dari Bangladesh.

Hishamuddin merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Kerjasama Luar dan Antarabangsa, Institut Aminuddin Baki, Pahang yang juga Pengarah Bulan Sabit Merah Negeri Pahang.

Beliau pernah memenangi Anugerah Kepimpinan Belia Dunia Khatmandu Nepal pada 2019 dan terlibat dalam program kesukarelawan seperti sukarelawan pemberian vaksin di kampung orang asli.

Sohag yang memegang jawatan Pengarah Urusan Hridoy Pump and Machinery dan MARS Development & Construction Ltd di Bangladesh pula bergiat aktif selama 14 tahun dalam pembangunan belia dan hak asasi manusia.

Beliau merupakan Setiausaha Agung, Majlis Pembangunan Lestari Belia Global (G.Y.S.D.C); Ketua Penyelaras, Majlis Belia Bangladesh; Ketua Eksekutif Clean River Bangladesh dan Setiausaha Agung Dhaka Youth International.

Pengarah, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI, Profesor Madya Dr Mohd Azlan Nafiah berkata, webinar itu adalah salah satu insiatif perkongsian ilmu yang bermanfaat untuk pelajar dan seluruh warga kampus.

"Program ini merupakan aktiviti sukerala yang dianggap sebagai kerja tanpa gaji di mana anda akan meluangkan masa dan tenaga tetapi tidak mengharapkan balasan.

"Menerusi program ini juga, sukarelawan dapat mempelajari kemahiran sosial dan mencedok pengalaman yang berguna daripada ahli panel yang hadir,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian webinar itu.

Selain perkongsian daripada ahli panel, program yang berkerjasama dengan rakan-rakan strategik iaitu Persatuan Sains Sukan dan Kejurulatihan (PSSK) dan ResQ Siswa UPSI turut memberi pendedahan mengenai pelbagai aktiviti kesukarelawanan yang dianjurkan untuk panduan penonton.

Sementara itu, Pengarah program, Norshafikah Md Norisan menyifatkan program berkenaan adalah satu platform perkongsian ilmu kepada semua peringkat masyarakat yang boleh membantu pelajar mengembangkan kemahiran sosial dalam pembelajaran mereka.

"Selain itu, melalui aktiviti khidmat masyarakat yang dianjurkan, pelajar dapat merasai sendiri pengalaman dunia yang sebenar dan seterusnya mengaplikasi elemen penting dalam kehidupan seperti kepimpinan, penyelesaian masalah dan pengurusan masa.

"Saya berharap, program sebegini dapat mendorong semua lapisan masyarakat untuk menjadi sukarelawan yang baik kerana banyak manfaat yang diperoleh sekiranya kita melibatkan diri atau menganjurkan kerja-kerja amal bagi membantu mereka yang dalam kesusahan," ujarnya.

Artikel berkaitan

Imbau kisah lalu, 4 guru teruja kongsi kenangan terindah sepanjang pengajian di UPSI

UPSI tubuh CPRI perkasa pedagogi dan inovasi

UPSI perkukuh kerjasama dengan TSUOS, Uzbekistan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok