Prof Datuk Dr Md Amin
Prof Datuk Dr Md Amin

UPSI tubuh CPRI perkasa pedagogi dan inovasi

Nor Azma  Muhamat Laila
17 Aug 2021 07:05pm
A
A
A

TANJONG MALIM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menubuhkan Pusat Penyelidikan Pedagogi dan Inovasi (CPRI) bagi mengukuhkan pedagogi pengajaran dalam kalangan pelajar serta orang awam di negara ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata UPSI tersohor dalam dunia pendidikan kerana berjaya melahirkan guru yang berbakti di seluruh negara.

“UPSI adalah kesinambungan zaman Sultan Idris Training College (SITC), Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) dan Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) yang berjaya melahirkan tokoh-tokoh pendidik, pemimpin, sasterawan, dan sukarelawan yang hebat dan dikagumi.

"Justeru itu, UPSI perlu terkedepan dalam membantu negara membentuk hala tuju pembangunan pendidikan serta menjadi juara dalam bidang pedagogi," kata beliau.

 

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Marzita Puteh pula berkata, UPSI memiliki ramai pakar dalam bidang pedagogi yang akan digembleng menerusi CPRI.

“UPSI komited merealisasikan teras utama universiti iaitu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di semua peringkat pendidikan dalam pelbagai disiplin ilmu.

"CPRI akan menekankan kepada pedagogi dan teknologi dalam semua bidang pendidikann iaitu STEM (Science, Technologi, Engineering and Mathematics), Sains Kemanusiaan, Bahasa dan Khas,” ujar beliau.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Marzita Puteh.

Jelasnya lagi, pedagogi UPSI memenuhi hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Sementara itu, Pengarah CPRI, Prof Dr Abdul Rasid Jamian berkata, modul latihan berdasarkan disiplin ilmu yang ditetapkan akan dibangunkan secepat mungkin.

Menurut beliau, UPSI akan membangunkan modul berdasarkan subjek yang ditawarkan di sekolah-sekolah bawah KPM supaya graduan yang dilahirkan, mengkhusus kepada subjek yang terdapat di sekolah sekali gus dapat mengatasi isu pengangangguran dalam kalangan graduan pendidikan.

"Modul berkenaan juga akan melibatkan subjek minor di universiti tetapi ditawarkan di sekolah sama ada sebagai subjek teras, wajib atau elektif.

"Bagi memantapkan gerak kerja CPRI pula, beberapa felo akan dilantik iaitu membabitkan akademia UPSI dan guru-guru pakar yang hebat dan cemerlang di peringkat nasional dalam sesuatu subjek," tutur beliau.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Kongsi Dr Abdul Rasid lagi, Bahagian Pembanggunan Kokurikulum KPM dan pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) juga akan dilibatkan supaya modul yang dibangunkan nanti bertepatan dengan kehendak sasaran.

"Begitu juga dalam konteks kluster bidang khas, ia akan membabitkan sekolah gelandangan, sekolah khas, sekolah hospital, sekolah orang asli serta Sekolah Henry Gurney.

“UPSI memiliki pelbagai kemudahan prasarana yang kondusif, rujukan, pusat penyelidikan serta tenaga pakar yang hebat dalam dunia pendidikan untuk masyarakat manfaatkan dengan mengikuti Diploma Pendidikan,” katanya.

Gambar hiasan daripada Pexels.

CPRI juga, katanya, akan menjadi pusat pengumpulan data berkaitan pendidikan termasuk isu PdPR yang sedang diharungi pelajar sepanjang tempoh pandemik.

“Kami juga merancang mengadakan Webinar Malim Sarjana bersama-sama akademia dari UPSI dan luar negara yang cemerlang dalam aspek pedagogi untuk berbicara tentang kecemerlangan pendidikan.

"Program Malim Sarjana 1 akan diadakan pada 19 Ogos 2021 bersama Dr Kama Shaffeei dari Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) iaitu seorang akademia yang pernah memenangi pelbagai anugerah peringkat nasional dan antarabangsa.," jelasnya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok