Yayasan Selangor, Yayasan TM, AKPK jalin kerjasama pendidikan
Yayasan Selangor (YS) bersama Yayasan TM serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalinkan kerjasama strategik dalam mengukuhkan lagi perkhidmatan pendidikan kepada rakyat negeri itu.
MoU tersebut inisiatif YS, Yayasan TM dan AKPK mewujudkan usahasama memberi dana pembiayaan pendidikan khususnya kepada golongan pelajar yang meliputi program penajaan serta latihan khusus buat mereka yang kurang berkemampuan tetapi berpotensi tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif YS, Eddie Ahmad Khodzali berkata, melalui MoU tersebut Pelan Tindakan Strategik Pendidikan Negeri turut dilancarkan sebagai penanda aras bagi permulaan usahasama yang akan membuahkan hasil dan memberi manfaat kepada anak bangsa.
“Pelan Tindakan Strategik Pendidikan Negeri ini memperincikan dokumen utama dalam memacu kualiti pendidikan yang berfokus, sistematik dan terancang.
“Dengan usaha ini, YS akan terus bergerak pantas sejajar dengan pelaksanaan transformasi serta membantu melestarikan pembangunan pendidikan negeri ke arah Wawasan Selangor Negeri Pintar 2025,” katanya pada Majlis Pelancaran Rancangan Strategik Pendidikan Negeri Selangor dan Logo Baharu di Hotel Grand Dorsett, Selangor pada Selasa.
Dalam pada itu, majlis MoU tersebut turut disaksikan Menteri Besar Selangor yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Johary Anuar; Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan-Yayasan Negeri seMalaysia serta wakil dari Kementerian Pendidikan (KPM).
Sementara itu, jumlah pembiayaan pendidikan yang disalur Yayasan TM berjumlah RM600,000 untuk tempoh lima tahun merangkumi elaun sara hidup, insurans, elaun komputer dan elaun-elaun lain yang berkenaan.
Antara bentuk kerjasama YS dan AKPK pula adalah penyediaan peserta iaitu pelajar atau kakitangan YS dalam penganjuran sesi perkongsian, bengkel, program atau seminar pendidikan kewangan berteraskan modul pembelajaran perusahaan mikro kecil dan sederhana serta latihan modul asas keusahawanan.