Dari kiri: Rosnarizah, Pkharuddin, Syaiful Rizal Abdul Ghani, Mohd Irwanserta Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR semasa Majlis MoU antara KPM bersama Yayasan Bank Rakyat.
Dari kiri: Rosnarizah, Pkharuddin, Syaiful Rizal Abdul Ghani, Mohd Irwanserta Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR semasa Majlis MoU antara KPM bersama Yayasan Bank Rakyat.

YBR peruntuk biasiswa pendidikan untuk pelajar cemerlang lepasan matrikulasi

AZLEENDA SAHALUDIN
09 May 2023 02:07pm
A
A
A

Yayasan Bank Rakyat (YBR) memberi peruntukan sebanyak RM4.1 juta biasiswa pendidikan kepada 100 pelajar cemerlang lepasan matrikulasi melalui kerjasama dengan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM).

Menurut Pengurus Besarnya, Syaiful Rizal Abdul Ghani, biasiswa pendidikan berkenaan diberikan kepada mereka yang terpilih dengan meliputi elaun sara diri, elaun buku, pemberian komputer riba dan peruntukan Bantuan Awal Pengajian (BAP) sebagai persediaan memulakan semester baharu.

“Jalinan kerjasama ini telah terjalin selama empat tahun bermula 2022 hingga 2025 dengan menyasarkan penerima seramai 25 pelajar setiap tahun.

“Penajaan biasiswa pendidikan setiap seorang pelajar pula berjumlah RM47,000 dengan harapan ia dapat menyuntik semangat pelajar cemerlang matrikulasi daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) untuk melangkah jauh dalam bidang yang diceburi,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman(MoU) antara YBR dan BMKPM, baru-baru ini.

Memorandum berkenaan telah ditandatangani oleh Syaiful Rizal bersama Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali yang disaksikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak serta Pengarah Bahagian Matrikulasi, Dr Rosnarizah Abdul Halim.

Sementara itu, Mohd Irwan berkata, diharap biasiswa tersebut dapat dijadikan motivasi serta pembakar semangat untuk pelajar terus melakar kejayaan selain dapat menyumbang kepada generasi muda.

“Penajaan pelajar ini turut memandang dari aspek pembangunan modal insan yang mampan.

“Justeru, bantuan daripada YBR dan BMKPM ini salah satu komitmen pihak kami demi membantu pelajar cemerlang dan tidak berkemampuan untuk mengorak langkah tanpa masalah kewangan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok