WhatsApp Image 2021-09-07 at 3.43.45 PM
WhatsApp Image 2021-09-07 at 3.43.45 PM

10 pesanan arwah abah buat ramai warga maya sebak!

Roshlawaty Md Raieh
10 Sep 2021 09:40pm
A
A
A

Pemergian mantan Pengetua Cemerlang Maktab Perguruan Kota Bharu, Kelantan, Allahyarham Mohamed Salleh Hussain (abah) ditangisi oleh seluruh rakyat Malaysia khususnya ahli keluarga mereka iaitu isteri, Khatijah Mohd dan sembilan orang anaknya yang bergelar pendidik.

Anak mereka iaitu Cikgu Norhana; Cikgu Norasma; Cikgu Mohd Ariff; Cikgu Solihah; Cikgu Dr Salbiah; Cikgu Mohd Fadli; Cikgu Nur Afifah; Cikgu Ahmad dan Cikgu Siti Faizah sememangnya dikenali ramai dan telah berjaya dalam karier masing-masing hasil didikan arwah bersama isteri.

Arwah abah dan ma bersama sembilan anak-anak yang kini bergelar pendidik.

Wartawan Sinar Bestari menghubungi salah seorang anak ‘abah’ iaitu Cikgu Salbiah dan bertanyakan personaliti arwah yang sangat dikagumi semua peringkat usia.

“Arwah abah meninggal 30 Jun. Beliau seorang yang sangat bersederhana dalam semua perkara. Terlalu pentingkan ilmu dan pendidikan serta bersemangat dalam bidang keguruan.

“Abah seorang bapa yang penyayang dan sangat bertanggungjawab. Arwah cakna bukan sahaja kepada keluarga tapi juga kepada masyarakat sekeliling. Kerana itu, kehilangan abah bukan sahaja dirasai oleh keluarga tetapi semua masyarakat,” kata Cikgu Salbiah sebak.

Tambahnya lagi Pertubuhan Dana Kita yang diasaskan Cikgu Mohd Fadli merupakan inspirasi daripada abah.

“Sejak berpuluh tahun lamanya abah telah menginfaqkan barangan keperluan asas kepada anak yatim, ibu tunggal dan asnaf di kampung.

“Daripada cara abah ini, tercetuslah Pertubuhan Dana Kita,” jelasnya.

Antara senarai akaun untuk sumbangan setiap bulan. Anak-anak terjumpa senarai ini dalam beg duit abah, patutlah abah sentiasa ‘lama’ berada di hadapan mesin ATM setiap bulan. (Catatan : Ada antara sumbangan ke akaun ini, pembinaannya sudah siap).

Ma iaitu Khatijah pula, bukanlah seorang cikgu tetapi beliau adalah guru mengaji al-Quran di kampung.

Ma tidak pernah merungut keletihan tetapi sentiasa istiqamah memberikan didikan ilmu dunia dan juga akhirat.

Kerana keperibadian dan personaliti yang dimiliki oleh insan bernama Mohamed Salleh ini, Sinar Bestari tertarik dengan posting berkaitan Pengurusan Kewangan Abah yang ditulis oleh Cikgu Salbiah.

‘Ada 10 pesan abah yang akan kami semat di hati hingga mati’, demikian tulis Cikgu Salbiah dalam hantaran Facebooknya, 9 Julai lalu.

Sehubungan itu, kami senaraikan pesanan abah yang mungkin boleh dijadikan panduan buat semua.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat pada pembaca.

*****

1) Kita perlu bijaksini (bijak mengatur urusan di dunia) dan bijaksana (bijak mengatur urusan akhirat). Bila kerja, sisihkan duit untuk sedekah. Rugi besar orang tidak sedekah. Gaji bulanan hanya guna untuk diri sendiri saja, rugi! Kerja hanya dapat penat sahaja tapi akan lelah di alam sana.

2) Jangan beri hanya lebihan duit bulanan untuk ma dan abah. Dahulukan duit untuk ma abah setiap bulan. Beri tanpa henti setiap bulan. Walaupun kami dah ada duit, tapi bagilah ibu bapa merasa duit gaji anak-anak. Situlah barokah duit anak-anak. Bab duit gaji ni, seingatku setiap kali gaji, abang, Mohd Ariff tidak akan berbelanja atau pulang ke rumah sehinggalah duit bulanan diserahkan kepada ma abah.

Kata Abah…

“Jangan sampai bila ma abah tiada, anak-anak akan menyesal sebab tiada tempat lagi untuk dikongsi keseronokan. Gaji makin besar tapi kegembiraan makin kurang”

3) Setiap bulan simpan duit dalam Tabung Haji. Potong gaji secara istiqamah. Setiap kali naik gaji, tambah simpanan Tabung Haji. Jangan anggap naik gaji itu lesen untuk bermewah-mewah. Hiduplah secara sederhana sahaja. Duit di bank ini guna sekiranya kecemasan atau nak beli apa-apa aset dan waqaf. Inilah harta sebenar kita.

4) Mesti niat nak bawa keluarga pergi haji atau umrah. Simpanan khas untuk anak-anak RM30 sahaja sebulan. Bawa anak-anak pergi umrah bila dah baligh. Jangan bawa masa kecil sebab rugi anak-anak tidak faham apa dan boleh mengganggu ibadat kita.

5) Jangan kerap tukar kereta. Tanda awal kepapaan ialah tukar kereta. Beli kereta untuk guna bukan untuk bergaya. Orang akan puji sekali saja kereta kita cantik bergaya. Yang menanggung diri kita sendiri sampai bila-bila.

6) Pelbagaikan sedekah bulanan kita. Beri makan, beri keperluan, sedekah kepada orang tua, kanak-kanak dan orang gila juga. Kalau ada masjid dalam pembinaan, masukkan duit bahagian kita. Akhir-akhir usia, abah banyak pergi pondok ke pondok untuk bina pondok orang tua dan pelajar.

7) Usaha untuk mencari siapa memerlukan sumbangan, masjid mana dalam pembinaan. Setiap bulan, deretan akaun sumbangan ada dalam list abah. Abah akan ke ATM dibawa anak-anak untuk agihkan kepada yang memerlukan. Abah memberi tidak banyak tapi istiqamah. Abah tak suka longgokkan kepada satu badan atau individu sahaja, tapi biarlah sedekah kita itu ramai akan merasa walau sedikit.

8) Gembirakan kanak-kanak. Bila jumpa bagi duit. Tegur kanak-kanak, raikan kewujudan mereka. Bila hari raya atau pergi Mekah beli coklat untuk kanak-kanak. Bila besar, kanak-kanak ini akan ingat. Kasih sayang itu akan dipupuk hingga tua.

Cikgu Salbiah (kiri) bersama arwah abah dan ma.

9) Kalau makan di kedai, jadilah orang yang akan bayar dan belanja kawan-kawan atau keluarga makan. Besar pahala bagi orang makan. Abah tak akan masuk makan di kedai kalau duit sikit. Abah cukup susah hati kalau masuk kedai, ada kenalan tapi abah tak dapat bayarkan.

10) Apabila buat kebajikan, niatlah pahala kebajikan untuk orang tua yang sudah tiada. Mereka tertunggu-tunggu pahala dan doa dari anak-anak yang masih hidup.

Selama 74 tahun usia abah...

Dengan bekerja hanya seorang diri.

Membesarkan anak sembilan orang.

Tapi kami dapat menyaksikan bagaimana disiplin abah menguruskan kewangan itu menjadikan rezeki yang dapat bukan hanya untuk kami sekeluarga.

Tapi untuk ummah secara keseluruhannya.

Terima kasih ALLAH.

Mendatangkan kami seorang insan yang banyak mendidik dan mengajar tentang ilmu kehidupan alam fana dan alam abadi di sana.

Sayang abah hingga ke syurga.

Di sini, disertakan link ebook keluarga yang diberikan secara percuma untuk tatapan semua.

https://online.anyflip.com/lgsi/xzlr/mobile/index.html

Ebook keluarga dan pesan ayahanda. Ebook ini dilancarkan pada Jun sebelum pemergian abah

Artikel berkaitan 

“Cikgu Fadli ni macam arwah abah. Kalau benda tak betul dia akan bertegas”

Inovasi ciptaan 10 pelajar jadi pilihan juri, ini pesanan guru pembimbing kepada mereka

“Kami akan terus mendidik selagi Tuhan mengizinkannya”


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok