Keratan akhbar kejayaan pasukan ragbi SKSC sekitar 2000
Keratan akhbar kejayaan pasukan ragbi SKSC sekitar 2000

Dani, ikut jejak bapa otai ragbi, Rayyan, antara pelapis skuad SK Sungai Choh

Rasyidah Zulkifi
22 Aug 2022 12:27pm
A
A
A

Kehebatan dan pencapaian yang membanggakan Sekolah Kebangsaan Sungai Choh (SKSC), Rawang, dalam sukan ragbi bukanlah julung kali dalam sejarah kerana sekolah yang bertempat di Hulu Selangor itu sudah melakar kejayaan dalam sukan tersebut sejak dua dekad lalu.

Pencapaian SKSC dalam sukan ragbi buat pertama kalinya berjaya menghiasi dada akhbar tempatan sekitar tahun 2000 selepas mendapat liputan media.

Ketika itu, Mohamad Hafiz Sartar, 32, ayah kepada ketua pasukan ragbi hari ini, Muhammad Dani Irfan Mohamad Hafiz, 12, merangkul kejuaraan dalam Kejohanan Ragbi Mini Bawah 10 tahun Daerah Hulu Selangor.

Kini, Muhammad Dani yang lebih mesra disapa Dani, mengikut jejak langkah bapanya itu dengan mencapai kejayaan yang sama dan benarlah kata pepatah, bapa borek, anak rintik.

“Saya tidak menyangka SKSC diumumkan sebagai pemenang tempat pertama dalam Kejohanan Ragbi Rimau B12 Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Hulu Selangor, kategori Cup (Trophy), baru-baru ini.

“Selaku kapten pasukan, saya akui bukan mudah bagi kami, pemain yang tidak mempunyai pengalaman dalam sukan ini untuk mengasah kemahiran.

“Mujur Cikgu Efindi Che Haat, dan Ustaz Muhammad Afiq Shahizan, memberikan latihan intensif selama sebulan,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Keratan akhbar kejayaan pasukan ragbi SKSC sekitar tahun 2000.

Bercerita lebih lanjut, tutur Dani, kedua-dua guru berkenaan mengajar asas bermain ragbi dan dimulakan dengan teknik menghantar bola, kemudian pertahanan, selain ‘jogging’ lima pusingan untuk membina stamina badan.

Tambahnya, latihan tersebut dilakukan berulang kali dalam tempoh tiga jam dengan kekerapan lima hingga enam kali seminggu.

Jadi, tidak hairanlah sekiranya SKSC menjadi juara buat kesekian kali dalam sukan ragbi biarpun semua pemain adalah ‘orang baru’.

“Sebagai seorang yang tiada pengalaman, pada mulanya memang penat, namun lama-kelamaan saya dapat membiasakan diri.

“Malah, saya berasa seronok kerana mendapat sokongan penuh daripada ayah yang merupakan otai ragbi SKSC.

“Semangat kesukanan saya semakin bertambah selepas dilantik menjadi ketua pasukan bagi sesi 2022 ini,” ujarnya yang juga aktif olahraga dalam acara 4x100 meter (m) dan lompat tinggi di sekolahnya.

Sementara itu, rakan sepasukan Dani, Muhammad Rayyan Rifqi Muhammad Anas, 12, berkata, dia bertuah kerana diberi peluang untuk menganggotai kumpulan ragbi SKSC.

“Saya dapat bermain untuk pasukan ini di peringkat MSSD, kemudian johan dan bermain di peringkat Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) Selangor hingga berjaya mendapat tempat ketiga.

“Ketika bertanding, keadaan agak kelam kabut tetapi syukur kepada ALLAH prestasi pasukan kami di tahap yang cemerlang kerana menggunakan dua daripada lima pemain simpanan sahaja,” ujarnya yang memberitahu kesemua atlet termasuk pemain simpanan turut dianugerahkan pingat kemenangan secara sama rata.

Walaupun berbadan kecil, Muhammad Rayyan masih boleh bermain ragbi kerana mempunyai skil dalam larian.

“Kalau ikutkan sukan ini memang sesuai untuk pemain yang berbadan besar, namun saya dipilih kerana mampu bergerak tangkas dari satu kedudukan ke kedudukan yang lain di dalam padang.

“Di samping itu, saya juga merupakan atlet bagi acara larian 100m, lompat jauh dan lompat tinggi di SKSC.

“Apabila bermain ragbi, saya dapati badan akan menjadi cergas dan pada masa sama ia membuatkan saya lebih fokus ketika di dalam kelas,” tuturnya yang juga mengamalkan pemakanan seimbang dalam diet seharian.

Sambungnya, pengambilan air kosong, vitamin C dan protein seperti ayam, ikan serta daging yang secukupnya penting bagi mereka yang bermain sukan ragbi.

“Saya mengamalkan diet ini bukan semata-mata untuk perlawanan tetapi untuk menjaga kesihatan badan.

“Ini kerana ibu bapa saya sangat menitikberatkan kepentingan menjaga kesihatan sejak di usia muda lagi. “Secara tidak langsung, ia mendidik saya untuk membiasakan yang betul dan membetulkan yang biasa,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.

Artikel berkaitan

Murid Berkeperluan Khas berpotensi dalam sukan ragbi. Wargamaya luah rasa bangga!

Sukan ragbi serlah bakat murid-murid SK Bandar Tun Hussein Onn (2)

Guna bola reput, pakai jersi lama berlatih ragbi, tak sangka sekolah ini mampu muncul johan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok