Kejayaan peserta hasil 300 bongkah cendawan buat ramai kagum
Kejayaan peserta hasil 300 bongkah cendawan buat ramai kagum

Kejayaan peserta hasil 300 bongkah cendawan buat ramai kagum

Roshlawaty Md Raieh
13 Jun 2022 04:45pm
A
A
A

Fakulti Pertanian Lestari (FPL), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Kuamut Kinabatangan, Sabah berjaya menghasilkan 300 bongkah cendawan menerusi projek inovasi bongkah cendawan tiram, baru-baru ini.

Projek yang berlangsung selama 20 bulan yang dimulakan sejak 1 November 2020 itu merupakan sebuah projek inovasi yang dibiaya oleh Dana Inovasi Sekolah (DIS2020) melalui Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (PPIP) UMS.

Ketuanya, Profesor Madya Dr Suzan @ Sarah Benedick berkata, projek tersebut selari dengan hasrat UMS ke arah melahirkan budaya berinovasi yang boleh memberi manfaat kepada komuniti sekitar.

“Program dijangka dapat membantu komuniti Kuamut yang merupakan golongan berpendapatan rendah untuk mempelbagaikan pendapatan sampingan selain dapat menimbulkan minat murid mempelajari penghasilan bongkah cendawan dengan mudah secara kreatif dan berinovatif.

“Walaupun perjalanan ke SK Kuamut hanya melalui pengangkutan air dan mengambil masa lebih kurang tujuh jam dari Bukit Garam, ia tidak mematahkan semangat para pensyarah UMS untuk mendekati masyarakat Kuamut untuk berkongsi ilmu dan kemahiran tanaman cendawan,” katanya.

Ketua Anak Negeri Daerah Tongod, Awang Bantan berbangga dengan bongkah cendawan yang berjaya dihasilkan.

Sementara itu, menurut Suzan, projek tersebut turut disertai ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kuamut yang berasal dari perkampungan berhampiran di Mukim Kuamut seperti Kg Kuamut, Kg Tulang-tulang dan Kg Tangkuyan.

Aktiviti yang dilaksanakan pada projek berkenaan melibatkan dua peringkat iaitu perkongsian ilmu tentang tanaman cendawan secara dalam talian dan perkongsian kemahiran secara bersemuka tentang inovasi membuat bongkah cendawan.

Pada peringkat pertama, para peserta telah diberi pendedahan ilmu tentang jenis-jenis cendawan yang sesuai diusahakan oleh komuniti, campuran asas membuat bongkah cendawan, kaedah menghasilkan bongkah cendawan dan kaedah membuat benih cendawan.

Manakala pada peringkat kedua pula, para peserta telah mempelajari teknik penghasilan bongkah cendawan menggunakan bahan organik yang terdapat di sepanjang Sungai Kinabatangan.

“Pemantauan dari semasa ke semasa tentang perkembangan pertumbuhan benih cendawan pada bongkah tersebut turut dilaksanakan dalam memastikan projek ini berjaya dilaksanakan,” ujar Suzan.

Sebahagian yang terlibat dalam pelaksanaan projek inovasi tanaman cendawan.

Pada sesi lawatan tersebut, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan, Munah Nasri; Guru Besar SK Kuamut, Abdullah Abdulajid; Profesor Dr Abdul Hamid Ahmad, Dr Mohd Rakib Mohd Rashid, Dr Salumiah Mijin, Dr Clament Chin Fui Seung dan Dr Januarius Gobilik tidak ketinggalan menyertai untuk melihat dengan lebih dekat perjalanan projek tersebut.

Artikel berkaitan 

Faizul dinobat Ikon Ulul Albab UPSI, sedia galas tanggungjawab

10 faktor Jerman boleh dijadikan pilihan pelajar sambung pengajian

Cantiknya pondok, penuh dengan bunga. Untung sekolah ini, ada pengawal keselamatan yang kreatif!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok