image
image

"Cikgu...mahal tak harga buku ni? Saya bawa duit, ni duitnya 90 sen"- Cikgu Maria gagal tahan sebak

Roshlawaty Md Raieh
11 Jul 2021 07:54pm
A
A
A

"Ada gu, tok duit aku gu (ada cikgu, ini duit saya cikgu)…" kata Alycia sambil meletak kepingan syiling 10 sen, 20 sen dan beberapa syiling 5 sen. Jumlah kesemuanya baru 90 sen.

Kisah Alycia dan Cikgu Maria ini benar-benar membuatkan air mata pembaca berlinangan.

Juki Gaok - Sungguh menyentuh hati. Perjuangan anak-anak di pedalaman untuk mendapat pendidikan dengan serba kekurangan. Survival kehidupan. Semoga warga pendidik menjadi lilin dan pencetus aspirasi kepada mereka untuk maju ke hadapan.

Ummu Maryam - Semoga Allah membalas dengan sebaik-baik balasan untuk cikgu-cikgu semua...aamiin. Juga untuk anak-anak itu, semoga dikurniakan ketabahan dan kecekalan dalam menuntut ilmu dalam serba kekurangan...aamiin.

Norizayani Ibrahim - Sebak...Semoga kamu berjaya dalam hidup mu wahai anak kecil.

Penulis sendiri turut menangis kala membaca kisah ini.

Kepada Cikgu Maria, terima kasih banyak-banyak dan kepada Alycia, semoga kamu menjadi anak yang berjaya di masa hadapan.

Ikuti perkongsian Cikgu Emmet menerusi laman Facebooknya, baru-baru ini.

Diharapkan kisah ini dapat memberi manfaat dan inspirasi buat kita semua.

*****

Saya mendengar kisah ini dari mulut seorang guru. Dia tidak mahu dikenali. Tapi cukuplah saya nyatakan namanya sebagai Cikgu Maria (bukan nama sebenar).

Beliau mengajar di sebuah sekolah luar bandar. Sekolahnya terletak hampir 40km dari bandar Sri Aman, Sarawak.

Cikgu Maria mengajar Tahun Satu.

Satu hari saya berkesempatan bertemu dengannya dan kami bertanya khabar, kebetulan memang rakan dalam bidang yang sama.

“Cikgu Emmet, saya nak share satu cerita yang membuatkan saya insaf dengan kisah kehidupan masyarakat. Kisah anak murid saya cikgu." jelas Cikgu Maria pada saya.

Saya meminta beliau bercerita pada saya.

Kisahnya bermula dari Ziarah Cakna. Cikgu Maria kebetulan menerima giliran untuk membuat ziarah cakna bersama dua orang guru lagi di kawasan rumah panjang lebih kurang 25km dari sekolah.

Rumah yang dikunjungi ialah rumah seorang murid Iban Tahun Satu bernama Alycia (juga bukan nama sebenar).

Bagi memudahkan navigasi ke rumah Alycia, Cikgu Maria menawar untuk membawa Alycia pulang dari asrama pada hari Jumaat.

Perjalanan ke rumah Alycia agak jauh dan melalui jalan tanah dan berbatu.

Kereta Viva Cikgu Maria terus meredah jalan tanah merah yang kering.

"Jauh lagi rumah kamu Alycia? tanya Cikgu Maria.

"Agi sigu (lagi cikgu)…,” jawab Alycia.

Sudah tiga buah rumah panjang dilalui tapi masih belum sampai ke destinasi.

"Jauh mai rumah dek (jauhnya rumah awak)…,” rungut Cikgu Maria.

"Enda sigu, depan nyin agi (tak cikgu, depan sana lagi)…,” jelas Alysia.

Tak lama kemudian sampailah mereka ke rumah kayu bertiang, di sebuah kawasan tanah lot.

Ternyata Alycia bukan tinggal di rumah panjang.

Ada beberapa rumah lain sekitar rumah Alycia. Ibu Alycia menjemput Cikgu Maria dan rakan masuk.

Cikgu Maria membawa hamper untuk diberikan kepada keluarga Alycia.

Di sudut kanan rumah ada katil dan terlantar seorang tua yang lemah.

“Itu datuk sayalah itu…” kata Alycia dalam Bahasa Melayu.

Ternyata Ziarah Cakna hari itu amat bertepatan. Keluarga Alycia memang miskin dan menerima bantuan JKM.

Malah Alycia ada dua lagi adik yang masih kecil.

Bapanya bekerja buruh di Kuching. Rumah mereka sekadar ada yang asas, malah tiada tv.

Namun Alycia budak yang rajin walaupun masih merangkak membaca.

Cikgu Maria minta diri untuk pulang. Tiba-tiba Alycia bertanya…

"Siguuuu…Hari satu ila bisi urang berjual buku ba sekolah (Cikguuuu…Hari Isnin nanti ada orang jual buku di sekolah)? kata Alycia sambil menunjuk flyers jualan buku yang akan dijual oleh kedai buku dari Kuching di sekolah pada Isnin.

"Auk…Bisi (ye ada)…" angguk Cikgu Maria mengiyakan pertanyaan Alycia. Mungkin sekadar bertanya sahaja fikir Cikgu Maria.

Pada hari Isnin, Cikgu Maria mengajar Bahasa Melayu di kelas Alycia. Tiba-tiba pengawas datang.

"Cikgu, sekarang giliran kelas Tahun Satu melihat pameran buku,” kata pengawas.

Cikgu Maria menyusun murid-murid berbaris. Ada yang memegang borang berserta wang untuk membeli buku pilihan mereka. Harga buku pun tidaklah mahal dalam RM2 senaskah bagi buku cerita yang nipis.

"Sigu...mar kah harga buku nya sigu (Cikgu...mahal tak harga buku cikgu)…? tanya Alycia, sambil membuka lipatan flyers borang pameran buku.

Sayu juga hati Cikgu Maria mendengar pertanyaan Alycia.

"Kamu ada bawa duit ke? tanya Cikgu Maria.

"Ada gu, tok duit aku gu (ada cikgu, ini duit saya cikgu)…" kata Alycia sambil meletak kepingan syiling 10 sen, 20 sen dan beberapa syiling 5 sen. Jumlah kesemuanya baru 90 sen.

Cikgu Maria mengalih pandangan ke tingkap.

Menyembunyikan airmata yang bertakung.

"Ya ALLAH...begitu berusaha anak kecil yang miskin ini mengumpul duit untuk membeli buku,” getus hati Cikgu Maria sambil mengesat airmatanya.

Cikgu Maria menoleh kembali pada Alycia.

“Kamu nak buku yang mana? Nanti cikgu belikan untuk kamu ye. Duit kamu tu kamu simpan. Cikgu belanja kamu buku. Ok? terang Cikgu Maria sambil memegang kepala Alycia.

"Amat…gu…Terima kasih guuu (Betulkah cikgu? Terima kasih cikgu)..." jerit Alycia.

Sebelum waktu sekolah tamat, Cikgu Maria bertemu penjual buku yang sedang menyusun buku untuk pulang.

Cikgu Maria membeli beberapa buah buku. Esoknya Cikgu Maria memanggil Alycia.

"Alycia, ni buku kamu. Kamu janji dengan cikgu kamu baca sampai habis ok?

“Sigu (cikgu)……”Itu sahaja yang diluah oleh Alycia sambil memeluk buku-buku yang diberikan.

"Sigu (cikgu)……" kata Alycia lagi.

"Ye kenapa? tanya Cikgu Maria.

“Terima kasih guuuu" sambung Alycia sambil berlari kegembiraan.

Secara tak sedar saya yang mendengar kisah Cikgu Maria rasa sebak.

Namun itulah hakikat kami yang mengajar di pedalaman dan luar bandar. Pasti bertemu kisah anak-anak yang penuh dengan inspirasi.

Lihatlah anak-anak...Di sini walaupun dalam kemiskinan mereka sanggup membayar demi sebuah buku kecil yang nipis asalkan ada sisa ilmu mengalir dalam diri.

Semoga Allah memberkati Cikgu Maria dan Alycia pula berjaya dalam hidup.

Sumber: Facebook Cikgu Emmet Menulis

Artikel berkaitan 

Guna bola reput, pakai jersi lama berlatih ragbi, tak sangka sekolah ini mampu muncul johan

(VIDEO) Menangis jumpa guru, tanda sayang Adele buat ramai peminat terharu

Pelajar raih Mumtaz dalam STAM 2021, jadikan solat sunat duha sebagai amalan wajib


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok