Guru besar baiki longkang tersumbat hingga buat ramai terkejut!
Guru besar baiki longkang tersumbat hingga buat ramai terkejut!

Guru besar baiki longkang tersumbat hingga buat ramai terkejut!

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
01 Jun 2022 05:43pm

“Cikgu, longkang kat prasekolah tersumbat, air tak boleh mengalir…”

“Kat mana kak”

“Kat sana cikgu, luar pagar…”

“Tidak apa biar saya tengok…”

“Cikgu nak buat apa…semak cikgu takut ada ular ke apa…”

“Tidak apalah, saya pernah buat kerja lebih susah daripada ini”

“Hati-hati cikgu”

“Tolong ambil kayu kak…kayu…”

*****

Kisah seorang guru besar yang sanggup membersihkan sendiri kawasan longkang sekitar sekolahnya, telah menjadi bualan ramai, baru-baru ini.

Walaupun kejadian sudah berlaku lebih dua tahun lalu, namun ia masih diingati sampai sekarang.

Baru-baru ini, Sinar Bestari menghubungi guru yang dikenali sebagai Cikgu Mohamad Ali Alimin iaitu Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Changgang, Banting, Selangor.

Menurutnya, kawasan hujung longkang prasekolah tersebut memang bermasalah pada waktu itu.

“Sebelum ini, pekerja pembersihan ada memberitahu kepada saya yang longkang di situ tersumbat.

“Dek kekangan masa, saya tidak berkesempatan untuk meninjau kawasan berkenaan sehinggalah pada suatu hari, saya berpeluang melihat sendiri apa yang terjadi pada longkang tersebut,” katanya mengimbau kembali kejadian longkang prasekolah yang tersumbat beberapa tahun yang lalu.

Bagi mencari solusi, Cikgu Mohamad Ali memberitahu dia mula mencari punca bagaimana longkang prasekolah tersumbat.

“Masa meninjau sekeliling, saya dapati ada pokok pisang yang telah ditebang menutupi longkang tersebut.

“Saya bersama beberapa pekerja pembersihan (walaupun mereka halang saya daripada buat kerja)…telah menarik pokok pisang yang tumbang itu. Kemudian, saya dapati ada gumpalan rumput kering yang menutupi saluran longkang menyebabkan air tidak dapat mengalir,” jelasnya.

Sementara itu, Cikgu Mohamad Ali berkata, apa yang dilakukan, tidak sukar dan semuanya berjalan lancar.

“Sebelum memasuki bidang perguruan, saya pernah bekerja di kilang papan, kilang memproses besi dan juga membuat kerja-kerja kampung.

“Jadi, apabila membersihkan longkang ini, ia tidaklah susah jika dibandingkan dengan kerja-kerja yang pernah saya lakukan pada waktu muda dahulu,” kata guru berkenaan.

Apabila ditanya mengenai kesudian beliau membersihkan sendiri longkang, ini kata guru besar; “Sebagai seorang pentadbir, menjadi tanggungjawab dan keutamaan untuk kita menyelami denyut nadi warga sekolah, mendengar apa juga permasalahan yang dihadapi sama ada daripada guru, murid, kakitangan, ibu bapa, pengawal keselamatan, pekerja pembersihan dan juga pengusaha kantin.

“Jika ada perkara berbangkit, mohon berbincang dan berkongsi pandangan dengan kadar segera demi kebaikan kita bersama,” katanya.

Cikgu Mohamad Ali memberi sedikit nasihat kepada mereka yang memegang jawatan tinggi dalam sesebuah organisasi.

“Jika boleh, walau apa pun pangkat dan jawatan kita, biarlah kita bekerja dalam keadaan yang gembira tanpa tekanan dan sentiasa bekerjasama.

“Saya yakin, sekiranya semua dalam keadaan baik, kita mampu mewujudkan budaya kerja yang sejahtera, harmoni dan saling hormat menghormati,” jelasnya.

Artikel berkaitan 

“Hargai guru bukan hanya pada 16 Mei sahaja” – Cikgu Mohamad Ali

“Setiap malam mengigau seolah-olah dipukul” – bapa mangsa buli

Tumpangkan graduan ke konvokesyen, USM beri penghargaan buat Ashri


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp