foto ihsan usim
foto ihsan usim

"Jadikan kamus sebagai rakan" - Tip cemerlang bahasa Arab

Rasyidah Zulkifi
12 Oct 2022 09:42am
A
A
A

Kamus seharusnya dijadikan sebagai teman rapat bagi pelajar-pelajar yang ingin berjaya dalam bidang linguistik termasuk bahasa Arab.

Antara manfaat yang bakal diperoleh adalah dapat meningkatkan gred peperiksaan, memahami makna setiap perkataan dan meneroka tatabahasa yang luas.

Menurut pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Arang, Selangor, Ahmad Zulhelmie Mohd Saiful, 12, kamus membantunya untuk memahami isi kandungan buku bahasa Arab.

“Saya juga sentiasa bertanya kepada guru di dalam kelas sekiranya tidak memahami sesuatu perkara untuk memudahkan saya mempelajarinya.

“Saya turut berusaha untuk berbual dengan rakan dan ibu dalam bahasa Arab sebagai salah satu cara bagi memahirkan lagi penggunaan bahasa ini.

“Selain itu, saya juga banyak membaca risalah-risalah dan buku cerita bahasa Arab untuk memantapkan lagi pengetahuan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Medium komunikasi dengan Pencipta

Sambungnya, mempelajari bahasa Arab merupakan hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) dalam usaha menjadikan murid-murid menguasai kepelbagaian bahasa.

Merujuk kepada jurnal Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bahasa Arab di peringkat sekolah rendah adalah salah satu usaha besar KPM bagi meningkatkan mutu pendidikan negara.

“Bagi saya subjek ini merupakan satu bonus terutamanya kepada para pelajar yang mahu menyambung pengajian di negara Timur Tengah.

“Pentingnya bahasa Arab kerana kita dapat lebih memahami maksud ayat al-Quran dengan mudah, pada masa sama dapat memotivasikan diri kerana banyak ilmu yang mendorong ke arah kebaikan.

“Ia juga merupakan medium perantaraan makhluk untuk berkomunikasi dengan ALLAH seperti dalam solat, zikir dan doa,” ujar Ahmad Zulhelmie lagi.

Bagi Nur Farra Soffeya Mohd Amer Adham, 10, pula, dia merasakan dirinya bertuah kerana dapat mempelajari bahasa Arab di Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), Madrasah Ad-Diniah, Sentul, Kuala Lumpur.

Walaupun baru tahun ini dia memulakan sesi persekolahan di KAFA, Farra Soffeya telah Puteraberjaya mendapat gred cemerlang dalam peperiksaan subjek Bahasa Arab.

“Ustazah dan rakan banyak membantu sehingga saya berjaya mendapat markah sebanyak 92 dalam peperiksaan baru-baru ini.

“Selain itu saya banyak membuat latihan daripada kertas soalan percubaan dan menekankan tajuk yang perlu kami fahami serta hafal.

“Setakat ini, saya memang belajar sendiri dan saya tidak mengambil masa yang lama untuk mengulang kaji subjek tersebut,” katanya yang suka menghafal dan membuat latihan latih tubi.

Begitupun, anak sulung daripada dua beradik ini mengakui ia bukanlah semudah yang disangkakan kerana bahagian paling mencabar ialah menyalin ayat dan isi tempat kosong.

Ujarnya, dalam banyak-banyak topik, dia suka belajar mengenai nombor dan bulan kerana ia mudah dihafal.

Kelas tambahan

Bagi pelajar Sekolah Rendah Islam Integrasi Ilmi, Ampang, Selangor, Reza Shah Putera Mohd Norisam, 11, dalam usaha memantapkan lagi penguasaannya dalam bahasa Arab, dia mengikuti kelas tuisyen.

“Apabila belajar di sini, saya dapat menambah satu lagi kemahiran berbahasa.

“Bagi saya bahasa Arab penting dalam pendidikan hari ini kerana dari situ kita dapat memahami ayat-ayat dalam al-Quran dengan lebih mudah.

“Yang pasti, kamus adalah ‘rakan karib’ sebagai rujukan awal dan alat bantuan dalam pembelajaran,” katanya.

Selain itu, Reza Shah turut berkongsi cara menguasai bahasa Arab iaitu memberikan sepenuh perhatian ketika di dalam bilik darjah.

Selain itu, dia rajin menyalin semua nota yang penting seperti terjemahan setiap perkataan supaya mudah memahami maksud.

Artikel berkaitan 

Mahu mahir berbahasa Arab? 7 tip ini membantu guru dan pelajar kuasai dengan mudah

UTP jadikan Dewan Canselor sebagai PPV

Jadikan Tatty Hassan sebagai idola, dorong Syamimi ceburi bidang perundangan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok