Untitled design
Untitled design

Jurulatih renang, Cikgu Abdul Latif akan terus berbakti selagi diperlukan

Roshlawaty Md Raieh
06 Dec 2021 03:19pm
A
A
A

Melahirkan ramai perenang muda yang berbakat antara kenangan manis bagi jurulatih renang, Cikgu Abdul Latif Ismail.

Apatah lagi, perenang-perenang tersebut tersenarai antara atlet kebangsaan seperti Tern Jian Han dan Hollymax Bell.

Cikgu Abdul Latif yang baru sahaja menamatkan kerjayanya sebagai pendidik di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar, Desaru, Johor, pada usia 60 tahun berkata, dirinya akan tetap berbakti dalam sukan renang selagi kepakarannya diperlukan.

“Ya, saya memang seorang guru, tetapi tugas saya lebih terarah sebagai jurulatih renang dan pengerusi teknik renang SSTMI selama 13 tahun tiga bulan.

“Saya juga mengajar beberapa subjek lain ketika berkhidmat di sekolah terdahulu, seperti Bahasa Melayu, Geografi dan Pendidikan Jasmani. Tetapi itulah, kecenderungan lebih kepada jurulatih renang,” katanya ketika dihubungi GPSBestari, baru-baru ini.

Tambah beliau, antara sekolah yang pernah dia mengajar ialah Sekolah Menengah Agama Al Maidah Addiniah, Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang; SMK Pekan Nenas, Pontian, Johor; SMK Rendah Rengit, Batu Pahat, Johor dan SMK Dato’ Bentara Luar, Batu Pahat, Johor.

Cikgu Abdul Latif yang kini dilantik sebagai Jurulatih Pakar, Program Grit Johor 2021-2030 berjanji akan mencurahkan segala ilmu dan pengalaman dalam sukan renang kepada jurulatih-jurulatih muda di Johor.

“Sekarang sudah ada 12 jurulatih program grit di bawah bimbingan saya. Semoga segala ilmu yang dicurahkan dapat dimanfaatkan untuk negeri ini,” ujarnya.

Baca juga Pegang rekod pingat emas terbanyak di Sukan SEA, Nurul Huda mahu atlet muda pecahkan rekod yang dicipta 

Baca juga 4 tip keperluan belajar berenang

Perjalanan hidup yang panjang

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu berkata, kisah hidupnya dalam sukan renang cukup panjang.

“Pada awalnya, saya tidak meminati sukan renang, tetapi, apabila menerima tawaran ke Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani dan Kesihatan pada tahun 1995 hingga 1998, semuanya telah berubah.

“Ketika itu, ada subjek renang dan saya perlu skor A jika mahu ke peringkat seterusnya. Untuk dapat A, memang bukan mudah. Pelbagai kerja kursus dan ujian berkaitan sukan renang harus saya jalani sehinggalah usaha yang dilakukan itu membuahkan kejayaan,” tuturnya.

Sebaik sahaja tamat pengajian di UPM, anak kelima daripada 10 adik beradik itu masih memberikan tumpuan sepenuhnya dalam sukan renang dan mengikuti pelbagai latihan dan kursus renang dalam negara. Antaranya, berpeluang berlatih dengan beberapa orang jurulatih kebangsaan pada ketika itu.

Setelah pelbagai ilmu ditimba, beliau kemudiannya mencungkil bakat anak-anak muda dalam sukan renang sehingga ramai antara mereka telah mencipta nama dalam sukan tersebut.

Pentingnya sukan renang Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 1993 dan 2013 ini berkata, sukan renang antara riadah yang banyak memberi manfaat kepada pelajar.

“Pelajar perlu berenang untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan diri, keselamatan di dalam air dan sekiranya ada potensi boleh ditingkatkan melalui latihan yang sistematik untuk menjadi atlet renang yang berjaya.

“Malah, ikatan persahabatan dalam sukan renang juga sangat bagus di mana mereka tidak bermusuhan dan kalah tidak membuatkan mereka merendah diri. Masing-masing sentiasa menyokong antara satu sama lain dalam apa sahaja keadaan dan terus berlatih bersama,” sambungnya lagi.

Cikgu Abdul Latif kini sangat bangga apabila anak-anak didik dalam sukan renang berjaya mencipta kejayaan tersendiri dalam sukan tersebut.

Seterusnya, Cikgu Abdul Latif berkongsi beberapa tip untuk pelajar mahir dalam sukan renang hingga mampu menjadi perenang yang hebat satu hari nanti.

“Ada lima tip latihan yang pelajar perlu ikuti berdasarkan kategori umur dan bukannya ‘pukul rata’.

“Kemudian, harus tahu susunan setiap kuak yang perlu dipelajari; mengikuti sesi latihan juga masa berlatih yang sistematik; kemahiran dan teknik setiap kuak ditingkatkan secara beransur-ansur serta ada perancangan juga penilaian berasaskan masa,” ujarnya.

Akhir sekali, cikgu hebat itu menasihatkan kepada bekas atlet renang SSTMI yang pernah dilatihnya agar terus menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat dan negara.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/ 

PROFIL

Nama: Abdul Latif Ismail

Umur: 60 tahun

Tahap Pendidikan:

1) Sijil Perguruan Asas (1981-1982) (Bahasa Melayu dan Geografi - Maktab Perguruan Kinta Ipoh, Perak)

2) Ijazah Sarjana Muda (1995 -1998) (Pendidikan Jasmani & Kesihatan - UPM)

Sijil Kejurulatihan:

1) Sijil Jurulatih (1998) - Persatuan Penyelamat Kelemasan Malaysia - UPM

2) Sijil Sains Sukan Level 1, 1999 dan Level 2, 2006 - Majlis Sukan Negara Malaysia

3) Sijil Kejurulatihan Renang Tahap 1 ASUM 2000 - Kuala Terengganu

4) Diploma Kejurulatihan (International Coaching Courseseptemer 2000 - Sukan Renang) -  Semmelweis University, Budapest, Hungry

Pencapaian dalam sukan renang:

1) Jurulatih Asian Age Group Swimming Championship Hong Kong, 2001

2) Pengurus Sea Age Group Swimming Championship Jakarta, 2006

3) Pegawai Pemantau Kejohanan Renang Remaja Dunia 1st Rio De Jeniro, 2006

4) Jurulatih 6th Pacific School Games , Sydney, 2000

5) Jurulatih Sukma Johor 2002, 2004, 2010, 2014,2016

6) Jurulatih 5th Asian School Palembang, 2016

7) Ketua Jurulatih Pasukan Sukma Johor , 2017-2018

8) Jurulatih Pakar, Program Grit Johor 2021-2030

Pencapaian sepanjang menjadi jurulatih renang:

1) Menjadi Penolong Jurulatih Renang ‘Rood To Sukan Asia 2006’ bersama jurulatih Nadha Solomantin dan Valdimir di Sekolah Sukan Bandar Penawar tahun 2000 di bawah progam MSN.

2) Belajar dan melatih di Kumming, China, selama sebulan bersama jurulatih dari China sebagai persediaan Sukma.

3) Jurulatih Sukma Melaka 2010 dan berjaya mendapat pingat gangsa acara 50 gaya kuak lentang melalui Tern Jia Han dari Batu Pahat.

4) Jurulatih Sukma Pahang 2012 dan berjaya mendapat dua pingat perak melalui Ng Wei Zheng dari Sekolah Sukan Bandar Penawar.

5) Jurulatih Khas Sukma Sarawak 2016 dan berjaya mendapat satu pingat emas dan satu perak melalui Wong Fu Kang yang berlatih di British International School Phuket, Thailand.

6) Ketua Jurulatih Renang Johor 2017-2018 mendapat satu pingat emas melalui Ng Ruen Chye dan satu perak melalui Nicholas Gan Zheng Bin dari SSTMI.

7) Jurulatih renang SSTMI 2018 dan mendapat satu pingat emas melalui Hollymax Bell di Sukma Perak 2018.

8) Melatih 25 atlet renang Johor yang layak mewakili Johor ke Sukma bermula 2002 hingga 2018.

9) Melayakkan tiga perenang Johor untuk ke Sukma Kuala Lumpur 2022 dan masih melatih untuk melayakkan atlet renang ke Sukma Kuala Lumpur 2022.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok