Kerana Ammar, sekumpulan guru sanggup kumpul duit dan jahit seluar sekolah. Warga maya sebak!
Mana mungkin seorang guru akan berdiam diri apabila melihat anak-anak muridnya berada dalam kesusahan.
Walaupun mereka tidak bercerita penderitaan yang dialami, namun cikgu-cikgu ini tahu segala masalah anak murid masing-masing dengan hanya melihat apa yang terjadi di depan mata.
Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Mempada 2, Pahang, Cikgu Huzaire Ahmad berkongsi tentang kisah anak muridnya kepada Sinar Bestari.
Murid Tahun Enam, Muhammad Ammar Izuddin Ismail, merupakan seorang yang berbadan besar dan mempunyai keperibadian yang cukup disenangi oleh warga sekolah iaitu suka membantu guru-guru, baik hati dan sentiasa bercakap dalam nada yang sopan.
Menurut Cikgu Huzaire, ada kisah menyentuh hati yang membabitkan adik Ammar itu.
“Kisah tentang seluar sekolah Ammar yang ketat hingga membuatkan dia malu untuk berada di sekolah sepanjang hari.
“Kerana kisah seluar Ammar, ramai guru-guru dari sekolah ini mahu menghulurkan bantuan. Saya pula sebak,” katanya.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kisah adik Ammar ini, mari kita ikuti perkongsian ikhlas Cikgu Huzaire kepada wartawan, Roshlawaty Raieh, baru-baru ini.
*****
Ammar berbadan besar. Kadang-kadang kesian melihatnya apabila terpaksa memakai seluar sekolah yang sudah ketat.
Bila tiba waktu perhimpunan, Ammar selalu tidak selesa. Dia sukar untuk duduk di tapak perhimpunan dek seluarnya yang ketat itu.
Kedengaran juga beberapa rakan-rakan mengejek Ammar sehingga membuatkan dia malu dan merasakan rendah diri.
Sebagai seorang guru, saya begitu sedih dengan apa yang berlaku. Jadi, pada saat itu saya mula memasang niat untuk menempah seluar khas buat Ammar. Ya, khas untuk dia!
Pada suatu hari, ketika berborak dengan rakan-rakan guru di kantin pada waktu rehat, saya berkongsi cerita Ammar dengan mereka. Jujurnya, saya tidak sangka yang kisah Ammar telah membuatkan mereka menangis dan bersedia untuk menghulurkan sedikit wang bagi membeli seluar untuk Ammar.
Allahuakbar, saya benar-benar terkejut! Terima kasih kawan. Terima kasih banyak-banyak.
Di suatu petang, kami (rakan-rakan guru) sepakat membawa Ammar ke sebuah kedai jahit bagi menempah seluar khas untuk dia. Ini kerana, saiz Ammar agak susah untuk dicari di kedai dan untuk mendapatkan seluar tersebut, ia perlu ditempah dan dijahit oleh tukang jahit.
Apabila membawa Ammar ke kedai jahit, saya dan Cikgu Mazwan sempat bertanya tentang latar belakang keluarganya.
Rupa-rupanya, ayah Ammar mengalami strok dan kini hanya ibunya sahaja yang bekerja.
Bila mendapat tahu kisah Ammar, barulah saya mengerti bahawa dia memang dalam kalangan murid susah. Patutlah Ammar selalu tidak menyediakan bahan-bahan melukis ketika subjek saya, rupa-rupanya dia tidak mampu untuk membeli. Allahu. Maafkan cikgu, Ammar. Cikgu tidak tahu.
Untuk Ammar, cikgu harap dengan pemberian seluar sekolah ini, dapat membuatkan kamu lebih selesa apabila berada di sekolah. Jika ada masalah, datanglah berjumpa dengan cikgu atau rakan-rakan guru yang lain.
Demi Ammar dan anak-anak murid yang lain, kami akan hulurkan bantuan semampu yang mungkin. Insya-ALLAH.
Artikel berkaitan
Guna bola reput, pakai jersi lama berlatih ragbi, tak sangka sekolah ini mampu muncul johan
(VIDEO) Menangis jumpa guru, tanda sayang Adele buat ramai peminat terharu
Pelajar raih Mumtaz dalam STAM 2021, jadikan solat sunat duha sebagai amalan wajib