Picture1
Picture1

Lawatan sambil belajar di Selangor? Ini 6 tempat menarik untuk dilawati

Adlan Farhan Azwan
15 Feb 2022 12:11pm
A
A
A

Lawatan sambil belajar merupakan aktiviti yang sangat menyeronokkan dan paling ditunggu-tunggu oleh murid-murid, tidak kira di peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

Program lawatan seperti ini akan membantu murid-murid untuk menimba ilmu pengetahuan yang berbeza daripada pembelajaran di dalam kelas.

Menjelang cuti persekolahan yang bakal berlangsung tidak lama lagi, ketahui enam lokasi menarik di bawah yang sesuai untuk lawatan sambil belajar.

Baca juga

Kem Smart Robotic fokus pendidikan STEM, peserta teruja sertai program sempena cuti sekolah

Melestarikan kesejahteraan intelektual sepanjang cuti sekolah

1) Muzium Coklat, Kota Damansara

Kredit: Muzium Coklat, Kota Damansara dari @ Chocolate Museum

Muzium Coklat terletak di Kota Damansara dan telah beroperasi sejak tahun 2013. Muzium Coklat yang pertama di Malaysia ini mengalu-alukan kedatangan para pelajar untuk membuat lawatan yang menekankan tiga elemen asas iaitu pendidikan mengenai koko dan coklat serta proses pembuatan dan pembelian coklat keluaran tempatan. Paling menyeronokkan, pihak muzium akan membuat demonstrasi pembuatan coklat secara langsung dan murid-murid dapat merasai coklat yang dihasilkan.

2) Zoo Negara

Kredit: Zoo Negara dari Puspanita KPDNHEP Putrajaya @ Facebook

Zoo Negara menyediakan sesi seminar dan pembelajaran yang melibatkan aktiviti pemuliharaan dan pengurusan hidupan liar. Lawatan ini dapat memberi pengetahuan tentang tingkah laku haiwan, cara pengendalian haiwan dan keselamatan awam. Ini adalah selaras dengan matlamat utama Zoo Negara iaitu pemuliharaan hidupan liar. Selain itu, pihak Zoo Negara turut menyediakan satu program dinamakan Zoo Camp Programme yang merangkumi aktiviti Night Walk, Wildlife Enrichment Programme dan Campfire.

3) Selangor Fruit Valley

Kredit: Selangor Fruit Valley dari @ Selangor Fruit Valley

Selangor Fruit Valley yang terletak di Bestari Jaya merupakan kawasan yang terbentang luas dengan pelbagai daya tarikan bagi membolehkan para pelajar mengalami sendiri pengalaman aktiviti pertanian dan merasai pelbagai jenis buah tempatan serta sayur-sayuran yang segar. Pelbagai aktiviti menarik yang terkandung dalam program lawatan tersebut termasuk aktiviti memetik sayur dan menoreh getah, lawatan ke taman haiwan dan rumah kampung, serta pelbagai lagi.

4) Kampung Sungai Sireh, Tanjung Karang dan Kampung Haji Dorani, Sungai Besar

Kredit: Kampung Sungai Sireh, Tanjung Karang dan Kampung Haji Dorani, Sungai Besar dari Mandi Palong @Homestay sungai sireh, Tanjong Karang (palong soaking) @ Youtube

Lawatan ke Kampung Sungai Sireh dan Kampung Haji Dorani akan memberi pengalaman yang sangat memuaskan dan menggembirakan kepada para pengunjung. Di sini, mereka dapat merasai suasana kampung dan mempelajari sendiri cara kehidupan orang kampung. Aktiviti seperti menggagau ikan dan menganyam daun kelapa serta lawatan ke sawah padi dan rumah tradisional turut ditawarkan.

5) Institusi Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Kredit: Institusi Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dari Sekolah Kebangsaan Damansara Jaya 1 @ Facebook

Antara tempat menarik untuk program lawatan sambil belajar adalah di Institusi Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang terletak di Kepong. Mempunyai keluasan 600 hektar dan dikelilingi oleh Hutan Simpan Bukit Lagong, ia menawarkan pelbagai aktiviti alam semula jadi kepada para pelajar. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah berjoging di Rover Track, berkelah, berbasikal serta dapat mempelajari mengenai keunikan alam semula jadi. Para pelajar juga tentu terpegun melihat keindahan sekililing di sini.

6) Taman Botani Negara Shah Alam

Kredit: Taman Botani Negara Shah Alam dari Taman Botani Negara Shah Alam @ Facebook

Taman Botani Negara Shah Alam merupakan salah satu tarikan yang tidak asing lagi di Selangor. Mula dibangunkan pada 24 April 1986, Taman Botani Negara telah menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pemuliharaan bagi pembangunan botani dan lain-lain yang berkaitan dengannya. Ia sebuah lokasi yang sesuai untuk membawa para pelajar mempelajari proses penanaman bunga, lawatan ke taman haiwan, nature walk dan penjagaan alam sekitar. Selain itu, kemudahan yang disediakan seperti tram akan membuat lawatan ini lebih menyeronokkan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Tidak dinafikan lagi, program lawatan sambil belajar adalah sangat menyeronokkan bagi para pelajar, malah banyak perkara boleh dipelajari menerusi aktiviti berkenaan.

Negeri Selangor memang terkenal dengan pelbagai tempat yang menarik untuk dilawati dan lawatan ke lokasi-lokasi di sekitar negeri ini tentunya akan memberikan sebuah pengalaman pembelajaran yang tidak akan dilupakan!

Walau bagaimanapun, para pelajar serta pengunjung adalah diingatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti memastikan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka setiap masa di tempat awam dan kawasan sesak serta menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok