faizah
faizah

Murid seronok dapat RMT percuma, ringankan beban keluarga berpendapatan rendah

Rasyidah Zulkifi
08 Aug 2022 12:23pm
A
A
A

Rancangan Makanan Tambahan (RMT) adalah program pemberian makanan tambahan kepada murid-murid sekolah rendah yang layak mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Mengikut statistik Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2018, seramai 489,117 murid di 7,316 buah sekolah seluruh negara telah menerima manfaat daripada program ini.

Untuk program RMT ini, penerima terdiri daripada murid-murid Tahun Satu hingga Enam, bersekolah di kawasan luar bandar dan berasal daripada keluarga yang berpendapatan rendah.

Nur Faizah Abdul Manaf, 10, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bunga Raya 1, Rawang, Hulu Selangor, merupakan salah seorang penerima RMT.

Nur Faizah

Dia yang baru sahaja dipilih untuk menerima RMT pada tahun ini pastinya gembira dan bersyukur memandangkan keluarganya bukanlah orang berada di mana bapanya seorang pekerja kilang dan ibunya suri rumah.

“Saya baru sahaja menerima bantuan makanan ini kira-kira empat bulan yang lalu selepas sekolah dibuka secara bersemuka.

“Alhamdulillah saya dapat menikmati makanan berat seperti nasi putih berlaukkan sambal ayam tanpa dikenakan sebarang bayaran.

“Selain itu, turut dibekalkan minuman yang membantu saya untuk berjimat-cermat dalam perbelanjaan seharian,” kata anak bongsu daripada tiga adik beradik ini.

Selain nasi putih bersama sambal ayam, antara menu RMT yang dihidangkan di SK Taman Bunga Raya 1 adalah nasi putih serta kari ayam; nasi lemak, nasi tomato dan nasi hujan panas.

Sementara itu, Nurul Nazierah Zubaiddi, 10, murid SK Batu Muda, Sentul, Kuala Lumpur, pula memberitahu, makanan yang disediakan pihak kantin di sekolahnya itu mengenyangkan.

 

Nazierah

“Makanan RMT yang disediakan oleh pihak kantin sekolah tidak pernah mengecewakan kerana sentiasa menepati selera.

“Menu-menu yang dihidangkan setiap hari juga bertukar dan menarik minat kami murid sekolah rendah untuk menikmatinya.

“Ada kala menu yang disediakan ialah nasi putih, paprik ayam dan sayur goreng, jadi kami tidak bosan” ujarnya yang turut diberikan air milo percuma untuk minuman.

Nurul Nazierah yang lebih mesra disapa Nazierah terpilih sebagai salah seorang penerima RMT kerana pendapatan isi rumah keluarganya di bawah RM3,000 sebulan.

“Dalam kelas, selain saya, ada empat orang lagi rakan-rakan lain turut terpilih untuk menerima RMT dan kelas-kelas lain pun begitu.

“Saya terpilih disebabkan keempat-empat adik saya sebelum ini sememangnya penerima RMT,” tuturnya yang tergolong dalam kelompok miskin bandar di Kuala Lumpur.

Walaupun Nazierah menerima skim bantuan makanan tersebut, dia masih lagi diberikan wang saku ke sekolah.

“Dengan duit belanja RM2 yang diberikan oleh ibu setiap hari, saya gunakan untuk membeli makanan sampingan.

“Ada kala duit belanja yang diberikan tidak digunakan dan saya akan menyimpan wang itu ke dalam tabung.

“Duit yang disimpan ini nanti boleh digunakan apabila ada keperluan hendak membeli barangan keperluan sekolah ataupun digunakan pada waktu kecemasan,” katanya.

Dalam pada itu, murid SK Sungai Tiang Darat, Selekoh, Perak, Muhammad Waiz Mohd Samudi, 8, berkata, sekolahnya yang dikategorikan sekolah kurang murid telah melayakkannya menjadi salah seorang penerima RMT.

Waiz

“Saya baru mendapat bantuan tersebut pada tahun ini kerana sebelum ini guru bertugas mengutamakan anak yatim yang kehilangan ayah.

“Kali ini pemilihan penerima RMT dilonggarkan memandangkan murid di sekolah tidak ramai di mana Tahun Satu hingga Enam hanya ada enam kelas kesemuanya.

“Setiap bilik darjah pula mempunyai bilangan murid yang minimum 20 orang dan paling ramai pun 28 orang, jadi kuota untuk penerima RMT diperbanyakkan lagi,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu.

Tambah Muhammad Waiz, sebelum mendapat RMT ibunya sering memasakkan bekal untuknya dibawa ke sekolah setiap hari.

“Perut saya agak sensitif di mana tidak boleh tersilap makan dan jika tersalah makan, ia akan memudaratkan kepada saya.

“Ketika dimaklumkan berjaya menerima RMT, saya bersyukur sangat, jadi ibu tidak perlu bersusah-payah masakkan bekal untuk saya lagi.

“Kini, sudah enam bulan saya menerima bantuan makanan percuma dan sudah pasti saya dapat menyesuaikan diri dengan juadah yang diberikan dan berhenti membawa bekal ke sekolah,” tuturnya sebelum mengakhiri perbualan.

Artikel berkaitan

1,311 murid tadika teruja dapat ‘naik haji’

Tular isu makanan RMT, Radzi arahkan KPM jalankan siasatan 

RMT perlu diperluas ke sekolah menengah bantu pelajar kurang berkemampuan bersarapan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok