CICIR-MURID-SINARBESTARI-2023 (2)
CICIR-MURID-SINARBESTARI-2023 (2)

Gembleng tenaga bendung keciciran murid. Gilap permata masa depan negara

nadzarul.amir
10 Jan 2023 06:07pm
A
A
A

Anak ibarat kain putih yang perlu dicorak menjadi pelangi sehingga mampu berbakti kepada ibu bapa, bahkan mereka merupakan generasi yang akan menentukan hala tuju negara pada masa depan.

Dalam menggapai impian tersebut, ilmu pengetahuan perlu dipasak pada hati mereka terlebih dahulu agar tidak tergelincir berdepan liku-liku kehidupan kelak.

Sistem pendidikan, para guru dan sekolah merupakan destinasi terbaik dalam menyalurkan ilmu pengetahuan kepada anak-anak agar menjadi modal insan terbaik.

Begitupun, isu keciciran murid sudah pasti akan meninggalkan kesan mendalam dan mengundang kerugian kepada negara apatah lagi apabila permata masih belum digilap sepenuhnya sehingga menyinar.

Menyedari kepentingan tersebut, sekumpulan penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), menggembleng idea dan tenaga menerusi program Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPaS) yang mendapat sokongan kerajaan Negeri Kedah serta Yayasan Sime Darby dalam mengenalpasti punca murid berisiko tercicir.

Profesor Psikologi Pendidikan di Pusat Pengajian Pendidikan UUM, Profesor Dr Rosna Awang Hashim berkata, terdapat beberapa faktor yang mengundang risiko keciciran murid terbabit.

Ujarnya, dapatan awal daripada kajian KOMPaS di enam buah sekolah menengah di Kedah telah mengenal pasti lima faktor utama yang mempengaruhi keciciran murid antaranya institusi keluarga, sikap murid, pengaruh rakan sebaya, hubungan antara guru dan murid serta budaya sekolah.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak minat untuk ke sekolah. Gambar hiasan-unsplash

Institusi keluarga

“Apabila sesebuah keluarga berfungsi dengan baik ia dapat mendorong dan memberi motivasi kepada murid ini.

“Bagaimanapun, ketidakfungsian keluarga sebagai contoh penceraian, menetap bersama saudara atau kurang keprihatinan ibu bapa merupakan cabaran utama.

Murid kurang mendapat perhatian atau dorongan motivasi daripada keluarga sehingga mengundang keciciran murid,” beritahunya kepada Sinar Bestari.

Beliau menjelaskan, kajian juga mendapati keluarga golongan B40 yang sibuk mencari rezeki sehingga tidak sempat memantau anak-anak sekali gus menyebabkan mereka tiada dorongan untuk ke sekolah.

Tambahnya, keprihatinan keluarga sangat penting dalam memastikan murid-murid tidak keciciran dan terus pergi ke sekolah.

Sikap murid

“Kita turut mendapati tindak balas persekitaran memainkan peranan dalam risiko keciciran murid ini.

“Sebagai contoh, apabila murid kerap gagal, mereka akan hilang motivasi dan keyakinan untuk meneruskan pembelajaran.

“Senario berterusan ini jika tidak diberi intervensi akan menyebabkan mereka terus hilang minat dalam pelajaran,” ujarnya lanjut.

Selain itu, beliau berkata, dalam kajian tersebut turut mendapati empat mata pelajaran yang perlu diberi perhatian iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Matematik dan Sains.

Rosna menambah, kekerapan kegagalan dalam mata pelajaran bahasa Melayu menjadi antara penyumbang utama risiko murid tercicir.

Dr Rosna Awang Hashim

“Ia berikutan penguasaan bahasa Melayu sangat penting sebagai bahasa pengantar dan boleh menjejaskan prestasi mata pelajaran lain.

“Pra syarat untuk menimba ilmu lain adalah dengan menguasai bahasa Melayu untuk kefahaman.

“Kajian juga mendapati pergaulan bersama rakan-rakan sebaya juga menyumbang kepada keciciran murid,” jelasnya.

Dr Rosna yang merupakan Pengerusi Kluster Pendidikan dan Pembangunan Insan, Akademi Profesor Malaysia menjelaskan, terdapat murid yang melakukan kerja sambilan seperti berniaga di pasar malam sehingga memberi kesan kepada sesi persekolahan masing-masing.

Katanya, mereka mengambil peluang untuk mencari rezeki tetapi malangnya sebahagian daripada mereka menggunakan duit yang diperoleh untuk membeli barangan kesukaan seperti telefon pintar dan bermain permainan video.

“Selain itu, terdapat murid yang merasakan hubungan dengan guru tidak mesra malah mempunyai persepsi bahawa mereka dilabel.

“Hubungan murid dengan guru penting malah perasaan dihargai dan diiktiraf akan menjadi pemangkin untuk terus pergi ke sekolah.

“Jika mereka terasa hati atau terdapat faktor penolakan, ia akan membuatkan murid tidak minat untuk meneruskan persekolahan,” tegasnya

Budaya sekolah

Beliau menambah, budaya dan persekitaran sekolah termasuk kepimpinan sekolah boleh membantu dalam membendung keciciran murid.

Mengulas lanjut, katanya, murid yang berdepan masalah pembelajaran tetapi memiliki kemahiran lain seperti sukan dan sebagainya boleh diberi penghargaan agar mereka mempunyai sebab untuk meneruskan persekolahan.

“Pihak sekolah boleh mengamalkan budaya mengangkat harga diri muridmurid dengan mengiktiraf kekuatan murid itu sendiri.

“Jika terdapat murid yang mewakili sekolah dalam sukan bola sepak ataupun mewakili pasukan melukis, ia boleh memberi penghargaan sekali gus membuatkan mereka rasa dihargai dan seronok untuk terus ke sekolah,” katanya.

Sokongan masyarakat setempat memainkan peranan dalam membantu keciciran pelajar. Gambar hiasan-unsplash

Dalam pada itu, Dr Rosna memberitahu, masyarakat setempat terutama pemimpin tempatan boleh memainkan peranan dalam membendung risiko keciciran murid.

“Pada sesi persekolahan, pihak sekolah dan guru-guru boleh memantau perkembangan murid-murid.

“Bagaimanapun, apabila cuti persekolahan, masyarakat sekeliling boleh memantau anak-anak ini.

“Justeru kerjasama antara sekolah dan masyarakat tempatan harus diperkasakan dan peranan pemimpin harus dioptimumkan,” katanya.

Peranan guru

Dalam pada itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, tumpuan perlu diberikan kepada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) penguasaan asas membaca, menulis dan mengira (3M) terutama dalam kalangan murid-murid Tahap Satu.

Beliau menambah, program-program pemulihan literasi dan numerasi perlu dipertingkatkan supaya ia tidak membawa kepada penambahan keciciran murid.

“Sebagai contoh, pandemik Covid-19 yang melanda negara baru-baru ini memberi kesan mendalam terhadap pembelajaran murid-murid malah ada antara mereka yang hilang minat belajar.

“Justeru, pelbagai kaedah pembelajaran perlu diterapkan oleh guru-guru dalam menarik minat murid sekali gus memberi motivasi kepada mereka untuk terus menuntut ilmu,”ujarnya.

Mohd Azizee

Selain itu, Mohd Azizee menjelaskan, hubungan baik antara para guru dan ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam menangani isu keciciran murid tersebut.

Katanya, kerjasama kedua-dua pihak terbabit termasuk sekolah dapat membantu dari segi perkembangan murid.

“Bahkan, pendekatan berkenaan boleh membantu mencari jalan penyelesaian terbaik apabila terdapat anak-anak yang tercicir.

“Pihak sekolah boleh mengenal pasti murid-murid tersebut kerana data-data yang terkumpul amat penting bagi memastikan dapat membendung masalah ini (keciciran murid),” ujarnya.

Beliau memberitahu, kelas-kelas intensif boleh dilaksanakan pihak sekolah sekali gus dapat membantu murid dengan lebih berkesan.

Para pelajar melakukan kerja sampingan untuk bermain permainan video. Gambar hiasan - unsplash

Katanya lagi, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) juga memainkan peranan dengan membantu para guru berdepan pasca pandemik.

“PPD dan JPN boleh membimbing para guru dengan memperkenalkan kaedah terbaik.

“Sebagai contoh, para guru berpengalaman boleh dijadikan mentor kepada guru-guru baharu terutama yang mengajar para pelajar Tahap Satu kerana mereka perlu menguasai 3M,” jelasnya.

Kementerian Pendidikan

Mohd Azizee turut menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang diumumkan Menterinya, Fadhlina Sidek baru-baru ini.

Jelasnya, KPM boleh melibatkan pemegang taruh pendidikan daripada kalangan guru-guru untuk mendapatkan maklum balas melestari pendidikan negara.

“Ia berikutan para guru dan persatuan-persatuan guru dapat bersama-sama memberi pandangan terutama dalam menangani masalah keciciran murid.

“Selain itu, KPM perlu merangka pelan dasar pemulihan yang jelas dan dalam jangka masa panjang untuk melihat cabaran-cabaran mendatang,” tuturnya.

Beliau berkata, semua pihak perlu bergerak seriring dalam memulihkan semula kualiti dan transformasi pendidikan negara terutama selepas berdepan pandemik Covid-19.

Pemantauan ibu bapa

Sementara itu, seorang ibu, Hafiza Hurairi, 39, berkata, ibu bapa tidak boleh meletakkan sepenuh tanggungjawab mendidik anak kepada guru sahaja.

“Sebagai ibu bapa, kita perlu menetapkan jadual harian anak-anak untuk mengulangkaji pembelajaran di rumah dan sentiasa memantau perkembangan mereka.

“Ibu bapa juga boleh mendidik anak menggunakan pendekatan secara sistematik bagi memastikan mereka fokus dalam pembelajaran,” kata ibu kepada tiga orang anak tersebut.

Hafiza Hurairi

Hafiza yang bertugas sebagai pegawai pentadbiran di syarikat swasta memberitahu, dia turut menggunakan pendekatan mengajar seorang demi seorang anak-anaknya agar mereka lebih fokus.

Tuturnya, kadang kala anak-anak tidak memberi tumpuan sepenuhnya ketika di sekolah dan ibu bapa perlu memainkan peranan memastikan mereka terus mendapat didikan terbaik.

Info

  • Statistik dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM), seramai 21,316 murid tidak menamatkan pengajian dan tercicir dalam tempoh Mac 2020 hingga Julai 2021.
  • Seramai 10,015 murid berhenti sekolah dari Januari hingga Julai 2021.
  • Keciciran membawa maksud murid yang tidak mengikuti pendidikan wajib di sekolah atau murid yang tidak hadir melebihi tiga hari berturut-turut tetapi bukan kerana ponteng dan masalah kesihatan.
  • Selain itu, murid yang mendaftar tetapi tidak meneruskan persekolahan dalam sistem pendidikan formal (KPM, sekolah kerajaan negeri dan swasta)

Artikel berkaitan

KPM terus pantau dan lakukan intervensi murid berisiko cicir

Perlu ambil langkah serius tangani isu keciciran pelajar

3 kaedah mudah tangani keciciran murid Orang Asli, ini perkongsian Ustaz Quszaini


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok