sek3
sek3

“Saya sanggup tolong datang mengecat cikgu, demi murid-murid sekolah kita walaupun tiada upah cikgu.” - Ngatiman

Rasyidah Zulkifi
18 Feb 2022 02:45pm
A
A
A

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah sebuah organisasi yang signifikan di sekolah-sekolah Malaysia.

Persatuan ini membantu perkembangan sekolah dengan menggerakkan ibu bapa dan guru-guru secara aktif dalam dunia pendidikan.

Fungsi PIBG juga dilihat memenuhi seruan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam anjakan kesembilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) tahun 2013 hingga 2025.

Melalui hantaran di Facebook yang dibuat oleh Ali Adon baru-baru ini, Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya, Ngatiman Seeron merupakan ikon ibu bapa yang patut dicontohi.

Difahamkan, pengguna media sosial Ali Adon itu adalah guru besar sekolah berkenaan.

Di dalam perkongsiannya, Ali berbesar hati dengan kemuliaan hati Ngatiman.

Menurutnya, beberapa hari lepas, Ngatiman secara sukarela turun padang menawarkan diri bagi mengecat dua blok bangunan SK Melayu Raya.

“Yang Dipertua PIBG sumbang tenaga beliau sendiri datang ke sekolah untuk mengecat dua blok bangunan sekolah kami.

“Alhamdulilah, hasil untuk dikongsi bersama,” katanya.

Hasil mengecat yang dibantu oleh Ngatiman.

Pada masa sama, guru besar sekolah tersebut berkesempatan bertanyakan kepada Ngatiman tentang kesudian beliau meluangkan masa semata-mata untuk mengecat di sekolah.

Ngatiman menjawab, “Saya bangga dengan sekolah yang inginkan kemajuan, kejayaan dan kecemerlangan.

“Saya sanggup tolong datang mengecat cikgu, demi murid-murid sekolah kita walaupun tiada upah cikgu.

“Biar sekolah nampak cantik dan ceria. Murid-murid mesti suka,” katanya.

Guru besar sekolah di negeri Johor itu mengakui berasa bangga mendengar jawapan yang meniti daripada bibir Ngatiman.

“Itulah kata-kata yang kedengaran di cuping telinga saya, tersentap di hati dan berasa bangga ada insan-insan hebat yang sanggup mencurahkan tenaga.

“Ia semestinya menguatkan lagi kami semua untuk bersama berganding bahu bagi mencapai misi dan visi menghasilkan sekolah berkualiti dan kemenjadian murid,” katanya.

Dalam pada itu, perkongsian tersebut berjaya meraih 4,900 reaksi daripada warganet yang rata-rata kagum dengan teladan yang ditunjukkan oleh Ngatiman.

Artikel berkaitan

Sumbangan PIBG: SJKT dapat bantuan dermawan dan wakil rakyat YDP buka cerita

RM2 juta bajet naik taraf sekolah agama di Kelantan

Inisiatif PIBG SK Setia Alam sumbang kelengkapan sekolah terpakai


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok