WhatsApp Image 2021-11-27 at 11.55.26 AM
WhatsApp Image 2021-11-27 at 11.55.26 AM

Serba kekurangan namun berjaya tamatkan pengajian, hafaz 30 juzuk al-Quran. Warga maya kagum!

Roshlawaty Md Raieh
30 Nov 2021 03:15pm
A
A
A

Kekurangan yang ada dalam diri Ahmad Zahiruddin Zailani tidak sedikit pun menghalang dirinya untuk menggapai impian sebagai pakar teknologi golongan berkeperluan khas kelak.

Ini kerana, impian dapat direalisasikan sekiranya seseorang itu tidak pernah mengenal erti penat dalam menuntut ilmu.

Ahmad Zahiruddin yang dilahirkan dengan penyakit autisme berkata, selama empat tahun dia mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian al-Quran dengan Multimedia di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai cabaran dan ujian telah dilalui oleh dirinya.

“Pahit manis semua ada, namun saya tidak pernah patah semangat dan mengalah sebaliknya nekad untuk menghabiskan pembelajaran.

“Alhamdullilah, semuanya berakhir dengan baik dan saya berjaya menggenggam segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen USIM Kali Ke-19,” ujarnya.

Anak sulung daripada lima adik beradik itu berkata, kehadiran pandemik Covid-19 turut memberikan dia peluang membantu proses pembelajaran secara dalam talian dengan menghasilkan lebih 40 video berkaitan mata pelajaran Syariah dan Usuluddin.

“Ketika pandemik Covid-19, kami menjalani pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dan saya melihat tenaga pengajar banyak menggunakan lisan berbanding bahan mengajar seperti video.

“Ketika menjalani latihan industri di Ummi Maktum USIM, saya tekad menghasilkan lebih 40 video bagi membantu pensyarah,” katanya yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.20.

Anak kepada pasangan Zailani Ahmad dan Hanes Mohd Nasir ini juga turut mencipta kejayaan dalam hafazan apabila berjaya menghafaz 30 juzul al-Quran ketika pengajian di peringkat diploma.

“Tiada sebarang rahsia sebaliknya saya lebih suka menghabiskan masa mengulang kaji pelajaran dan ‘mentasmik’ bacaan al-Quran di Masjid USIM.

“Cuma apa yang saya nak kongsikan di sini adalah ‘mereka’ yang menjadi tulang belakang, sentiasa menyokong dan memberi semangat tanpa henti adalah ibu dan ayah. Terima kasih banyak-banyak,” ujarnya yang berhasrat untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang pendidikan khas.

INFO

Senarai penerima Ijazah Kehormat, Gelaran Profesor Emeritus dan anugerah-anugerah lain:

1) Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Undang-Undang - Datuk Baljit Singh Sidhu

2) Ijazah Kehormat Sarjana Kaunseling (Penyalahgunaan Dadah) - Ramli Abdul Samad

3) Ijazah Kehormat secara Anumerta - Allahyarham Datuk Dr Siddiq Fadzil (mantan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah USIM)

4) Profesor Emeritus

(i) Profesor Datuk Dr Mahmud Mohd Nor dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

(ii) Profesor Dr Bachok M Taib dari Fakulti Sains dan Teknologi

5) Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang)

(i) Graduan Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Suwaibah Mustapha

(ii) Graduan Sarjana Muda Sains dengan Kepujian, Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko, Fakulti Sains dan Teknologi, Muhammad Syamim Md Morshid

6) Anugerah Canselor

(i) Graduan Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dengan Kepujian, Fakulti Syariah Undang-Undang, Nur Alia Farisha Jemangin

(ii) Graduan Program Doktor Falsafah Sains dan Teknologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Muslimah Ithnin

7) Anugerah Lembaga Pengarah Universiti - Graduan Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat), Fakulti Sains dan Teknologi, Nur Amirah Yahaya

8) Pingat Emas Naib Canselor - Graduan Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat), Fakulti Sains dan Teknologi, Syed Muhammad Ibrahim Syed Mud Pu'ad

Artikel berkaitan

Tumpangkan graduan ke konvokesyen, USM beri penghargaan buat Ashri

Menjadi ibu kepada 4 anak dan bekerjaya sepenuh masa bukan alasan buat graduan ini raih keputusan cemerlang

Graduan UiTM terima Anugerah Khas, keluarga dan pensyarah pembakar semangat


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok