Untitled design
Untitled design

Tidak mahu pelajarnya ketinggalan, guru ini sanggup bawa mereka jelajah negara guna aplikasi Skype. Kagum!

Roshlawaty Md Raieh
12 Oct 2021 01:08pm
A
A
A

Mungkin ramai yang tidak mengenali dengan lebih rapat si pemilik nama Cikgu Mohammad Aliff Othman ini.

Namun, dari kaca mata seorang Kaunselor, Dr Zulkifli Hussain, ada banyak keistimewaan yang dimiliki anak kelahiran Sabah tersebut.

Menerusi perkongsian yang dibuat Dr Zulkifli dalam akaun Facebooknya, Cikgu Mohammad Aliff merupakan antara guru yang hebat di Malaysia.

Beliau berjaya membawa pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Mohammad Fuad Stephens, Sandakan, Sabah, menjelajah ke 103 buah negara, menggunakan aplikasi Skype.

Ini hanyalah sebahagian kesungguhan beliau terhadap pelajarnya. Masih banyak lagi yang ada dalam diri guru ini yang ramai tidak tahu.

Mari ikuti siapa Cikgu Mohammad Aliff yang sebenar menerusi hantaran Dr Zulkifli.

*****

Kisah Cikgu Mohammad Aliff - Permata MRSM

Ya! Cikgu-cikgu MRSM memang hebat! Rajin! Komited! Saya angkat bakul sikit. Tidak salah kan. Tapi itulah kenyataan.

Kisah kali ini adalah salah satu contoh bukti kehebatan tersebut.

Cikgu Mohammad Aliff Othman, anak muda kelahiran Sabah ini memang hebat. Pada saya, beliau adalah salah satu permata Sistem Pendidikan MRSM. Saya benar-benar terinspirasi dengannya.

Kami pernah jumpa beberapa kali semasa saya mengadakan lawatan ke Sandakan, Sabah.

Orangnya sangat merendah diri tetapi idea beliau dalam inovasi pendidikan sangat luar biasa.

Bekas mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini merupakan Guru Geografi di MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens.

Ikuti perkongsian menarik tentang Cikgu Mohammad Aliff.

1) Beliau berkongsi dua kejayaan besar sepanjang bergelar pendidik MRSM iaitu pada 2017 – Mewakili Malaysia dalam Program Microsoft Education Exchange di Toronto, Kanada dan menang dalam pertandingan Hack the Classroom.

Kejayaan kedua adalah pada 2018 di mana beliau mewakili Malaysia pada Unleash Innovation Lab di National University of Singapore (NUS) dan memenangi Silver Award di pertandingan inovasi untuk Track Quality Education.

2) Namun begitu, beliau tidak pernah melihat dua kejayaan ini sebagai kepuasan utama. Lebih daripada itu, beliau merasakan kejayaan utama sebagai pendidik adalah berdasarkan kemenjadian anak-anak pelajar yang diajarnya.

Peluang untuk menjadi pendidik MRSM dan bergelumang dengan aktiviti program pemerkasaan pelajar adalah kepuasan dan kejayaan yang sukar untuk diterangkan dengan kata-kata.

Walaupun program tersebut mampu diukur dengan jelas seperti pencapaian akademik, namun beliau yakin program-program tersebut mampu memberi impak kepada aspek pembinaan karekter pelajar.

3) Pelajar di Sabah sememangnya kurang pendedahan kepada dunia luar. Mereka jarang berpeluang ke Semenanjung. Malah ke Kota Kinabalu pun mungkin ada yang tidak pernah menjejakkan kaki.

Justeru, Cikgu Mohammad Aliff cuba mendedahkan pelajar untuk terlibat dengan dunia luar secara maya. Melalui aplikasi skype, pelajar MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens telah berjaya menjelajah ke 103 buah negara di seluruh dunia sejak 2017.

Paling menarik apabila pelajar terlibat dalam program khidmat masyarakat secara maya.

Dengan kerjasama Mitahato Education and Development Fund yang berpangkalan di Kenya, pelajar MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens ini berjaya mengumpul wang sebanyak RM2,000 dalam tempoh dua minggu. Wang tersebut telah digunakan untuk membina pam air untuk masyarakat Naibori, Kenya, yang diuji dengan jangkitan HIV.

4) Paling membanggakan apabila pelajar di sini telah didedahkan dengan aktiviti bersifat global sejak Tingkatan Dua. Mereka diberi kebebasan untuk kreatif dalam menganjurkan program dengan bimbingan Cikgu Mohammad Aliff.

Sebenarnya banyak lagi program yang telah dilaksanakan.

Kisah Cikgu Mohammad Aliff ini seharusnya memberi inspirasi kepada semua warga pendidik untuk sentiasa mencabar diri dalam memastikan profesion perguruan sentiasa bersinar. Hendak Seribu Daya!

Pada saya, kalau kita benar-benar berdarah pendidik, segala cabaran dalam usaha memberi perkhidmatan adalah peluang untuk kita mencipta pelbagai inovasi. Tidak kiralah ditempatkan di MRSM mana sekali pun, kalau kita bersungguh-sungguh kejayaan pasti milik kita.

Tahniah Cikgu Mohammad Aliff! Kami bangga dengan anda! Teruskan usaha sebagai pendidik ulung MARA!

Sementara itu, kisah cikgu hebat ini telah mendapat respon positif daripada warga maya setelah dikongsi Dr Zulkifli, baru-baru ini.

Antara komen yang sempat Sinar Bestari senaraikan ialah:

@Mdm Rina - Minat, komited dan sokongan dari segenap ruang. Tiada yang mustahil. Hebat cikgu ni

@Zaimi Jamal Ikhlas - Kebanggaan warga MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens

@Mohammad Rieza Fahmi Misrah - Terbaik Aliff Othman. Idola MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens

@Hasnah Ahmad - Terbaik

Semoga 'kerja buat' Cikgu Mohammad Aliff ini dapat dijadikan contoh dan panduan untuk warga pendidik.

Good luck cikgu!

Artikel berkaitan 

Guna bola reput, pakai jersi lama berlatih ragbi, tak sangka sekolah ini mampu muncul johan

(VIDEO) Menangis jumpa guru, tanda sayang Adele buat ramai peminat terharu

Pelajar raih Mumtaz dalam STAM 2021, jadikan solat sunat duha sebagai amalan wajib


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok