10 petua menjadi pemidato hebat, ini perkongsian Ikon Pemidato Malaysia
10 petua menjadi pemidato hebat, ini perkongsian Ikon Pemidato Malaysia

10 petua menjadi pemidato hebat, ini perkongsian Ikon Pemidato Malaysia

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
25 Jun 2022 05:29pm

Pidato atau pengucapan awam adalah satu bidang yang amat mencabar.

Tidak ramai dalam kalangan pelajar meminatinya, namun kepentingan pidato memang sukar dinafikan dalam urusan perniagaan, pentadbiran, politik dan agenda sosial.

Ikon Pemidato Malaysia, Datuk Dr Syed Ahmad Syed Samsuddin Al-Saggof berkata, kemahiran berpidato boleh diasah dan dicungkilkan potensinya.

Malah kata beliau, pelajar yang mendapat pendedahan luas boleh membawa mereka lebih jauh ke hadapan.

Ujarnya lagi, cara untuk mendapatkan ilmu itu adalah dengan belajar dan untuk mempertajamkan ilmu tersebut pula ialah dengan latihan demi latihan.

“Teruskanlah menggali segala formula dan tip agar ia dapat diselami serta dipahatkan di dalam jiwa untuk muncul sebagai pemidato hebat suatu hari nanti,” katanya seperti dipetik menerusi sebuah buku tulisan beliau sendiri.

Bagi menjadi pemidato yang hebat, Dr Syed Ahmad berkongsi sebahagian tip dan petua berpidato untuk pelajar jadikannya sebagai rujukan dalam pertandingan.

Semoga dengan perkongsian ini, ia dapat membantu anak-anak didik berkeyakinan menyampaikan pidato di hadapan khalayak ramai kelak.

1) Pengumpulan maklumat sebelum berpidato

Pelajar perlu mencari dan seterusnya mengumpulkan segala maklumat sebelum berpidato.

Maklumat tersebut mungkin dari segi gaya yang akan digunakan, bahasa yang akan disampaikan, saiz audies, faktor di dalam penyampaian, gambaran sebenar tentang khalayak, tujuan pidato dan isi yang bernas ketika berpidato.

2) Memahami kehendak audiens

Sebuah pidato yang hambar akan membosankan audiens. Oleh itu, fahamilah minat dan kehendak audiens terlebih dahulu sebelum anda dengan penuh kebijaksanaan dapat memahami jiwa dan perasaan audiens agar keperluan dan kehendak tersebut dipenuhi.

3) Menghayati topik yang hendak disampaikan

Penghayatan yang baik di dalam jiwa akan menghasilkan sebuah pidato yang baik.

Gambar hiasan daripada Unsplash.

4) Menghafal kunci kata penting yang hendak disampaikan

Penghafalan adalah asas keyakinan diri di dalam berpidato. Pelajar tidak perlu menghafal kesemua baris ucapan yang berjela-jela panjangnya untuk berpidato tetapi cukup sekadar kunci kata atau fakta penting di dalam pidato.

5) Menganalisa setiap penyampaian pidato anda itu

Analisa kelebihan dan kekurangan yang pelajar miliki ketika berpidato dimasa lalu.

Perbaiki kesilapan dan kekurangan tersebut. Mulakanlah berpidato dengan lancar, berkesan dan menarik.

Penganalisaan yang baik sebelum berpidato akan menghasilkan sebuah penyampaian yang baik.

6) Penyebutan perkataan yang jelas dan fasih

Sebutan perkataan yang jelas akan merangsang pemikiran audiens untuk mendengar kata-kata yang disampaikan itu.

7) Struktur kerangka pidato yang rapi dan teratur

Sebuah pidato yang baik perlulah ada pembuka, badan atau isi, pra-penutup dan penutup.

Sebuah kerangka pidato yang baik juga haruslah ada pembahagian masa tertentu untuk pembuka, isi, pra-penutup dan penutup ucapan.

Pelajar akan dikagumi audiens dek persediaan pidato yang hebat berlandaskan struktur kerangka pidato yang rapi dan teratur.

8) Sentiasa befikiran positif sebelum, ketika dan selepas berpidato

Hanya dengan fikiran positif sahajalah pelajar akan dapat mempersembahkan pidato yang berkesan dan menarik.

9) Membentuk personaliti dan berperwatakan menarik

Cara pelajar berinteraksi disertai cara anda mengawal mental dan spiritual akan membentuk personaliti dan perwatakan yang menarik.

Hati yang luhur, semangat kental dan pakaian bersih menggambarkan pelajar seorang pemidato yang hebat.

Perlakuan di pentas mencerminkan perwatakan pelajar ketika berpidato. Wajah yang ceria dan kelihatan bersahaja ketika berpidato memperlengkapkan pembentukan personaliti menarik.

10) Keupayaan mengawal emosi ketika berpidato

Kawalan emosi yang baik mampu membuatkan penonton gembira, sedih, bersemangat, ceria dan suasana majlis tidak kaku.

Kehangatan atau kelembapan suasana majlis audiens itu bergantung kepada sejauh mana kemahiran dalam mengawal dan memandu emosi anda ketika berpidato.

Artikel berkaitan 

Graduan UTHM berjaya siapkan tesis di pusat hemodialisis demi menjaga suami sakit

Rahsia tersembunyi pelajar cemerlang, berikut 9 perkara dikongsi mereka

CV dan resume, inilah perbezaan yang pelajar perlu tahu


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp