grand-award-winner
grand-award-winner

20 pelajar Malaysia lakar kejayaan di pentas International Applied Biology Olympiad 2022

Adlan Farhan Azwan
12 Jul 2022 12:29pm
A
A
A

Seramai 20 pelajar Malaysia melakar kejayaan apabila berjaya merangkul pingat di International Applied Biology Olympiad (IABO) 2022 yang diadakan di Bali, Indonesia pada 30 Jun hingga 3 Julai lalu.

Prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh pelajar Malaysia telah membuahkan hasil dengan memenangi dua Grand Award, satu Special Award, enam pingat emas, 10 pingat perak dan empat pingat gangsa.

Kejayaan negara merangkul dua Grand Award daripada tiga yang dipertandingkan sekali gus melayakkan Malaysia sebagai negara terbaik dalam pertandingan ini.

Mereka terdiri daripada 11 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Kuala Lumpur, lapan pelajar Sekolah Menengah (SM) Sains Kuching, Sarawak dan seorang pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chan Wa, Negeri Sembilan.

Dua penerima Grand Award ialah Wong Kye Fung dari SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan Angelina anak Andrew Ragai dari SM Sains Kuching, Sarawak.

Kye Fung (kiri) dan Angelina (kanan) mempamerkan pingat masing-masing apabila dinobatkan penerima Grand Award.

IABO kali ini telah disertai oleh 10 buah negara berdasarkan jemputan daripada Indonesia Scientific Society (ISS) iaitu Indonesia, Malaysia, Thailand, Vietnam, Filipina, Korea Selatan, Singapura, Bangladesh, Peru dan Mexico. 

IABO merupakan satu platform antarabangsa di mana pelajar berumur 14 sehingga 17 tahun bertanding bagi memberi pendedahan dan mencungkil bakat dalam pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), terutamanya bidang biologi.

Menurut Kye Fung, pertandingan ini merupakan peluang istimewa baginya untuk menjelajahi persepsi baru tentang budaya negara dan sains terutamanya dalam bidang biologi.  

Tambahnya, dia dapat berinteraksi dengan pelajar lain dari luar negara dan menikmati perbezaan budaya dan kehidupan seharian mereka. 

“Penyertaan saya dalam pertandingan IABO ini telah membakar semangat saya untuk mencintai ilmu sains,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, baru-baru ini.

Pada peringkat akhir pertandingan, peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan dan dikehendaki untuk menyelesaikan kajian kes.              

Setiap peserta perlu menyelesaikan kajian kes dan membentangkannya di hadapan juri dalam tempoh masa 10 minit serta bersoal jawab dengan tiga juri.

Artikel berkaitan

Tak sangka rangkul Anugerah Pelajaran Diraja, Wee Tyg dedikasi kejayaan kepada keluarga

Graduan UiTM terima Anugerah Khas, keluarga dan pensyarah pembakar semangat

Raih 10 pingat, UTeM menang besar di ITEX 2022


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok