arkitek
arkitek

6 kemahiran yang perlu dimiliki seorang arkitek

Roshlawaty Md Raieh
21 Feb 2022 11:17am
A
A
A

Untuk menjadi seorang arkitek yang berkredibiliti, mereka perlu memiliki beberapa kemahiran dalam diri masing-masing,“ demikian menurut Mohd Rozaiemi Mohd Sukeri, 38, seorang arkitek yang kini berkhidmat dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Ujarnya, sifat diri seperti rajin, fokus, disiplin, kreatif, inovatif dan boleh melukis wajib ada pada mereka yang menceburi kerjaya tersebut.

“Rajin pada pandangan saya adalah rajin berusaha, membaca, melukis dan mewarna, melakukan penyelidikan dan meneroka berkaitan ilmu seni bina.

“Fokus pula adalah kemahiran yang memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang lukisan kesenibinaan,“ katanya yang berpengalaman lebih 12 tahun dalam dunia arkitek.

Sambungnya lagi, dalam pada itu disiplin adalah antara sifat diri yang perlu dititikberatkan dalam kerjaya tersebut untuk menepati masa tugasan serta tarikh akhir dengan pelanggan juga mematuhi segala peraturan di bawah amalan seni bina.

Mohd Rozaiemi

“Bergelar arkitek ini, mereka juga perlu ada skil kreatif iaitu kebolehan merancang, mereka bentuk, mencipta, menghasilkan dan mengembangkan sesuatu idea atau konsep berkaitan seni bina.

“Arkitek juga perlu sentiasa inovatif yang boleh dilihat melalui proses pengubahsuaian atau penambahbaikan dalam bentuk sistem atau prosedur cara kerja mahupun pengenalan teknologi.

“Misalnya, dahulu kaedah penyediaan lukisan reka bentuk adalah secara manual, sekarang ia dilakukan secara digital menggunakan perisian 2D Autocad manakala terkini, penggunaan sistem perisian 3D BIM iaitu proses mereka bentuk dan butiran hanya mengambil masa singkat untuk disediakan serta wujudnya 3D visual/animasi dengan konsep yang lebih realistik,“ katanya.

Kemahiran terakhir, kata Mohd Rozaiemi adalah melukis.

“Skil melukis diperlukan oleh seorang arkitek bagi mengambarkan terus kehendak pelanggan dengan menyediakan konsep lakaran awal seperti pelan susun atur ruang, reka bentuk bumbung, ketinggian dan fasad bangunan tanpa skala tetapi berkadaran (proportion) sebelum penyediaan lukisan terperinci bangunan dilakukan untuk proses selanjutnya,“ ujarnya.

Baca juga 

Eleena, arkitek terbaik Malaysia

Tip menjadi seorang arkitek yang berjaya

Cara mendapat idea

Ditanya mengenai idea, graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Senibina (Kepujian), Universiti Tekonologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, ini berkata, setiap arkitek ada cara yang tersendiri.

“Bagi saya di mana-mana sahaja boleh mendapat idea, yang pasti faktor sekeliling juga membantu.

“Untuk mendapatkan idea dan reka bentuk yang sempurna, sebagai arkitek, anda perlu ke tapak cadangan bagi menganalisis serta mengetahui kesesuaian, kekuatan, kelemahan, potensi juga konstrain tapak tersebut,“ kata anak sulung daripada enam adik-beradik ini.

Ketika sesi pemantauan kerja pembinaan Masjid Al-Ismaili, yang lalu.

Selain kemahiran dan sifat diri yang positif, seorang arkitek juga perlu jelas dan tahu tentang tugasnya dalam kerjaya tersebut.

“Tugas seorang arkitek ialah mereka bentuk sesuatu bangunan yang sesuai dengan kehendak pelanggan, kos, alam sekitar dan memenuhi syarat-syarat, undang-undang serta akta perancangan setempat.

“Kerjaya ini bermula apabila diminta untuk menasihati atau menjadi tempat rujukan mengenai proses pembinaan sesuatu projek berdasarkan kepada tiga peringkat, pertama, mereka bentuk bangunan iaitu menganalisis keperluan pelanggan dan lokasi yang dicadangkan sebelum menyediakan lukisan-lukisan lakaran ke arah skematik reka bentuk dengan konsep bangunan yang sesuai.

“Peringkat kedua pula merancang atau pengeluaran iaitu menyediakan pelan-pelan terperinci untuk kelulusan pihak-pihak berkuasa tertentu dan seterusnya membuat lukisan kerja untuk memudahkan aktiviti pembinaan di tapak.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

“Peringkat ketiga, mengurus projek iaitu mengawasi dan menyelia kerja semasa pembinaan. Arkitek akan bertindak sebagai ketua kumpulan menyelaras tugas pakar-pakar perunding serta pihak kontraktor yang terlibat. Pada masa yang sama mereka juga merupakan penasihat dan menjadi orang tengah atau perantara di dalam perkara-perkara yang melibatkan tuan bangunan dengan pihak kontraktor seperti spesifikasi, mutu kerja, sijil pembayaran dan perkara lain yang berkaitan,“ jelasnya lanjut.

Pada keseluruhannya, seorang arkitek seharusnya dapat memberi khidmat terbaik di dalam reka bentuk bangunan serta menentukan bahawa kerja pembinaannya bermutu dan dapat disiapkan mengikut jangka masa, kualiti dan kos yang telah dirancang.

Melawat bunga di Tapak Projek Konservasi Rafflesia Lojing.

Akhir sekali, Mohd Rozaiemi memasang impian mahu menjadi seorang arkitek dan penjawat awam yang boleh mengubah sesuatu ke arah perancangan lebih mampan dan berinovasi kepada pembangunan negeri.

Juga mendominasikan konsep rekaan sendiri dan mengekalkan ciri-ciri warisan seni bina tempatan dengan cara kerja lebih efisien serta merealisasikan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan oleh semua pihak.

INFO

10 sifat yang perlu ada pada seorang arkitek

1) Profesional

Menjaga penampilan dan sikap, sentiasa menggunakan kepakaran, kecekapan atau kemahiran dalam bidang mengikut hak tatacara di bawah peraturan dan perundangan profesion tersebut.

2) Benar

Perlu mempunyai sifat benar dalam percakapan dan perbuatan kerana berkhidmat sebagai penasihat mengikut amalan kesenibinaan.

3) Amanah

Mempunyai sifat jujur dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugasan.

4) Bijaksana

Sifat bijaksana perlu dimiliki dalam memberi keputusan yang adil untuk perancangan yang lebih tepat dan berkesan.

5) Menyampaikan Menyampaikan segala tugasan berlandaskan peraturan dan perundangan dalam mencapai hasrat pelanggan.

6) Cerdas

Badan sentiasa bertenaga dan sihat, akan dapat melahirkan pemikiran yang sempurna akalnya.

7) Sabar

Sentiasa bersabar dengan pelbagai ragam pelanggan dan kontraktor.

8) Hormat

Merendah diri dengan menunjukkan rasa khidmat atau takzim kepada semua orang, kejiranan dan kehidupan alam.

9) Bertawakal

Berserah kepada Tuhan setelah berikhtiar dan tawakal. Kita hanya perlu berusaha, bersabar dengan segala ketentuan rezeki ALLAH SWT.

10) Bersyukur Sentiasa bersyukur terhadap sesuatu ganjaran, nikmat yang dianugerahkan oleh ALLAH.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok