7 tip belajar di rumah yang boleh mak ayah lakukan, anak-anak pasti teruja!
7 tip belajar di rumah yang boleh mak ayah lakukan, anak-anak pasti teruja!

7 tip belajar di rumah yang boleh mak ayah lakukan, anak-anak pasti teruja!

Roshlawaty Md Raieh
01 Aug 2022 05:38pm
A
A
A

Mengajar anak-anak di rumah sememangnya salah satu cabaran terbesar yang dihadapi kebanyakan ibu bapa.

Ini kerana, tidak semua mak ayah mahir dan memahami tentang kandungan subjek yang diikuti oleh anak-anak mereka di sekolah.

Jika faham sekali pun, mungkin hanya perkara yang asas sahaja boleh diajar, selebihnya anak-anak perlu mendapatkan penerangan daripada guru atau individu yang pakar dengan subjek tersebut.

Guru tuisyen, Cikgu Nurul Husna Zakaria yang kini mengajar di Pusat Tuisyen Minda Proaktif, Parit Raja, Johor mengakui bahawa ibu bapa sentiasa berdepan kesukaran untuk mengajar anak di rumah.

Bagaimanapun, masih ada cara khusus yang boleh dilakukan dalam mendidik anak masing-masing.

Kata Cikgu Nurul Husna, ada tujuh tip belajar yang ingin dikongsi olehnya kepada ibu bapa di luar sana.

“Diharapkan dengan tip-tip ini, dapat membantu anda mengajar anak-anak apabila berada di rumah nanti. Semoga bermanfaat,” katanya yang sudah menjadi pendidik selama 11 tahun.

1) Buat jadual pembelajaran

Setiap hari pastikan ibu bapa siapkan jadual belajar untuk anak-anak. Sebagai contoh, sekali pada waktu pagi dan sekali pada waktu malam. Tidak perlu tetapkan masa terlalu lama. Cukuplah sekadar 30 minit untuk satu sesi, supaya mereka tidak cepat rasa bosan.

2) Pastikan anak bersedia

Sebelum memulakan sesi pembelajaran, pastikan anak-anak sudah bersedia iaitu sudah makan dan minum. Pensel, pemadam, pembaris dan buku sudah tersedia di atas meja.

Jangan nanti, bila sudah mula belajar, ketika itulah anak-anak mahu tajamkan pensel, cari pemadam dan sebagainya. Ini boleh mengganggu fokus mereka. Jangan lupa, pastikan juga televisyen ditutup, telefon bimbit diletak jauh daripada pandangan kecuali jika ibu bapa mengajar menggunakan telefon bimbit.

3) Ibu bapa mesti duduk bersama

Bila sudah namanya belajar di rumah, maka ibu bapa adalah cikgunya. Bila sudah jadi cikgu, pastikan anda duduk mengadap anak-anak secara formal. Jangan biarkan mereka belajar sendiri sedangkan ibu bapa melihat telefon, menonton televisyen atau makan di dapur. Ingat, bila waktu ulang kaji atau belajar, anak-anak pastikan ibu bapa turut serta dengan mereka. Boleh sama-sama belajar atau baca buku. Ilmu itukan luas, macam-macam boleh belajar. Selagi kita hidup selagi itulah proses belajar tidak akan pernah habis.

4) Mulakan dengan subjek kegemaran mereka

Jika ini adalah sesi belajar di rumah, anda boleh mulakan kelas dengan subjek kegemaran supaya mereka lebih bersemangat hendak belajar. Sesi berikutnya bolehlah tukar dengan subjek lain. Ingat, tidak perlu lama-lama. 30 minit satu sesi sudah memadai.

5) Mulakan bab yang mereka telah kuasai atau lebih mudah

Untuk subjek yang bukan kegemaran mereka, ibu bapa boleh mulakan dengan ulang kaji bab atau buat latih tubi yang lebih mudah. Mereka pasti akan gembira dan tempoh 30 minit tidak akan terasa. Misalnya, ibu bapa mahu mengajar subjek Matematik bagi anak Tahun Dua. Boleh dimulakan dengan buat ulang kaji atau latih tubi Matematik Tahun Satu dahulu. Bila mereka sudah kuasai konsep asas, insya-ALLAH bab berikutnya murid-murid akan lebih mudah dan cepat faham.

6) Kawal emosi

Situasi ini selalu sahaja berlaku jika ibu bapa bertukar memakai topi cikgu di rumah. Cepat sangat melenting bila anak-anak tidak memahami apa yang diajar. Jangan. Kawal perasaan. Ini boleh mengurangkan motivasi anak-anak dan akhirnya mereka hilang minat untuk belajar. Cara mendidik atau mengajar bagi setiap anak-anak adalah tidak sama. Penting untuk anda pelbagaikan kaedah pengajaran dan penerangan.

7) Bagi ganjaran (reward)

Konsep ganjaran ini sebenarnya sering diamalkan oleh guru-guru di sekolah. Jadi, ibu bapa buat perkara yang sama. Setiap kali anak-anak boleh jawab soalan dengan betul dan cepat, berikan mereka ganjaran. Tidak perlu barang yang mahal. Kadangkala stiker pun boleh buat anak-anak gembira. Bagi wang tunai pun boleh, paling mudah bagi RM1, ikutlah kemampuan masing-masing.

Artikel berkaitan 

6 tip menjadi akauntan bertauliah

Nota ringkas Sains tulisan tangan Cikgu Nur Faralina buat pelajar bersemangat nak belajar

Ini 6 tip yang perlu ada pada seorang doktor gigi!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok