9
9

9 IPT menawarkan jurusan fesyen dan pakaian, inilah masa tepat untuk pelajar buat pilihan

Roshlawaty Md Raieh
20 Sep 2021 04:30pm
A
A
A

Hari ini dapat dilihat semakin ramai pereka fesyen yang berbakat dan berkemahiran telah dilahirkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) yang terpilih.

Antara nama-nama besar yang berjaya ialah Datuk Rizalman Ibrahim, Datuk Jovian Mandagie, Rizman Ruzaini, Datuk Seri Bernard Chandran, Alia Bastamam, Melinda Looi, Zang Toi dan ramai lagi.

Untuk menjadi seperti mereka, pelajar perlu mengikuti kursus fesyen dan pakaian serta yang berkaitan industri tersebut untuk menghasilkan rekaan terkini dan disukai ramai.

Justeru, Sinar Bestari senaraikan beberapa IPT yang menawarkan kursus untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lepasan peperiksaan lain membuat pilihan.

Jom jenguk IPT yang bersesuaian untuk adik-adik teruskan pengajian.

1) Politeknik Ibrahim Sultan adalah antara politeknik yang menawarkan program Diploma Rekaan Fesyen & Pakaian yang meliputi semua bidang utama dalam pengeluaran fesyen, termasuk reka bentuk, ilustrasi, lakaran pola, pembuatan pakaian dan keusahawanan.

Tempoh pengajian program ini enam semester, lima semester akademik dan latihan industri pada semester akhir.

Syarat kemasukan lulus Sejarah (bagi SPM tahun 2013 ke atas), Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Seni Visual/ Pendidikan Seni/ Lukisan Kejuruteraan.

2) Kolej Komuniti Bukit Mertajam menawarkan Kursus Sijil Fesyen dan Pakaian kepada pelajar yang memiliki SPM atau setaraf. Calon perlu lulus Bahasa Melayu dan Sejarah (bagi SPM tahun 2013 dan ke atas).

3) Cyberlynx International College menawarkan Diploma Fesyen kepada pelajar yang berminat. Kursus ini mengajar pelajar bermula dengan konsep dan proses seni reka hingga hasil akhir, serta menyediakan pengetahuan urus niaga serta konteks yang perlu.

Lulusan kolej ini mempunyai pelbagai peluang dalam industri fesyen.

Antaranya menjadi kurator fesyen, koordinator fesyen, jurugaya fesyen, pelukis fesyen, pereka fesyen/pengarah imej, perunding, jurugaya peribadi dan banyak lagi.

4) Turut menawarkan Diploma Rekaan Fesyen adalah Unitar International University. Pelajar akan mengikuti pengajian selama tujuh semester dan mereka perlu lulus SPM dengan minimum tiga kepujian dalam mana-mana subjek, atau yang setaraf dengannya

5) UiTM juga tidak terkecuali mewujudkan Diploma Teknologi Tekstil dan Pakaian selama lima semester.

Syarat am memiliki SPM atau yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan Malaysia dengan mendapat tiga kepujian termasuk Bahasa Melayu dan lulus Sejarah (mula diguna pakai SPM 2013).

Calon perlu memiliki keputusan MUET yang telah ditetapkan sebelum memohon ke peringkat sarjana muda.

6) Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB) melalui Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) menawarkan Sijil Teknologi Tekstil yang memberi pelajar pengetahuan teori dan amali mengenal mesin jahit, mesin jahit khas, mempelajari jahitan tangan, jahitan mesin, melakar fesyen, mengambil ukuran, mendraf pola, memotong pola, memotong fabrik, menjahit fabrik dan mengacu pakaian.

Antara pakaian wanita yang dijahit ialah kasual, tradisional, kanak-kanak, kontemporari, sukan, pakaian ibu hamil dan pakaian pejabat.

Prospek kerjaya yang bakal diceburi ialah tukang jahit, tukang potong, pengajar di IPTA/IPTS dan usahawan.

7) Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan turut menawarkan kursus Rekaan Fesyen & Pembuatan Pakaian Lelaki dan Wanita.

Kandungan latihan adalah berpandukan modul latihan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

Objektif kursus adalah memberi latihan kemahiran secara intensif dan berkualiti bagi memenuhi keperluan tenaga mahir dalam industri pembuatan pakaian. Juga melahirkan tenaga mahir yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran dalam bidang pembuatan pakaian, berakhlak dan berdisiplin, kreatif serta mampu berdikari dan bersaing di pasaran pekerjaan.

8) Tempoh pengajian Diploma Rekaan Fesyen di Institusi Tvet Mara @ KKTM, MJII & IKM ialah 36 bulan (sepenuh masa). Syarat kelayakannya adalah lulus SPM atau setara dengan tiga kepujian dalam mana-mana mata pelajaran. Bagi lulusan STPM pula, perlu mendapat sekurang-kurangnya Gred C (NGMP 2.0) dalam satu mata pelajaran.

9) Diploma Rekaan Fesyen Kreatif di Widad Education Group menawarkan kemahiran baru, pengetahuan dan pengalaman profesional dalam persekitaran pembelajaran dan pengajaran antarabangsa.

Program tiga tahun ini menyediakan peluang kepada para pelajar menceburkan diri dalam industri fesyen menerusi eksperimen dan pembelajaran mengenai tradisi sejarah dan budaya yang menjadi asas kepada inovasi industri fesyen.

Pengajian termasuk pelbagai kursus teras dalam reka bentuk, penggubalan corak, pembuatan tekstil, sejarah fesyen dan reka bentuk aplikasi komputer.

Program ini menawarkan pelbagai kurikulum yang membolehkan pelajar memilih tiga pilihan, tekstil, teknologi atau pemasaran.

Syarat kemasukan adalah lulus SPM, SPMV dengan tiga kredit termasuk Bahasa Melayu dan mana-mana dua mata pelajaran lain. Perlu lulus Sejarah dan lulus sesi temu duga/ ujian melukis/ penilaian portfolio bagi pemohon tanpa kelayakan mata pelajaran Pendidikan Seni.

Artikel berkaitan 

Tahniah pensyarah dan penyelidik UPM! Rangkul 9 pingat emas di PECIPTA 2022

UPSI jadi IPTA pertama lancar program 1 Pelajar 1 Pokok

10 tip menyiapkan kerja sekolah cara Cikgu Ziera


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok