cita cita doktor gigi
cita cita doktor gigi

Ajieharmie, Najlaa minat jadi doktor gigi dan ingin berbakti

Rasyidah Zulkifi
21 Jun 2022 11:02am
A
A
A

Setiap orang pasti pernah merasai pengalaman dirawat oleh doktor gigi sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Pelajar-pelajar adalah golongan yang sudah pastinya tidak akan terlepas dengan pemeriksaan gigi berkala yang dilakukan sejak di sekolah rendah lagi.

Perkhidmatan pemeriksaan pergigian itu sememangnya diberikan kepada pelajar-pelajar bagi memastikan kesihatan mulut masing-masing berada pada tahap optimum.

Muhamad Ajieharmie Hasan, 17, salah seorang pelajar yang tidak terkecuali menerima rawatan pergigian di sekolah.

Dia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Intan Perdana, Port Dickson, Negeri Sembilan itu berkata, rawatan yang sering diterima dia dan juga rakan-rakan lain ialah tampalan dan juga cabut gigi.

Disebabkan pengalaman itulah, secara tidak langsung telah mendorong Muhamad Ajieharmie untuk menjadi seorang pegawai pergigian tambahan pula aliran sains tulen yang diikutinya hari ini menguatkan lagi hasratnya untuk bergelar doktor gigi.

“Saya bercita-cita hendak menjadi seorang doktor gigi sebab terlalu minat dengan komponen-komponen gigi dan sistem saraf yang berada dalam mulut.

“Jadi, saya tertarik dengan perkara sebegitu. Walaupun mencabar, itu yang membuatkan saya hendak tahu dengan lebih mendalam dan mempelajarinya lagi.

“Lagipun, saya yakin dan berani untuk berhadapan dengan situasi-situasi yang melibatkan darah dan sebagainya,“ katanya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Sememangnya amat meminati mata pelajaran Biologi, ia memberi kelebihan buat Muhamad Ajieharmie kerana subjek tersebut adalah penting untuk bergelar pakar pergigian.

"Subjek yang ada kaitan dengan kerjaya sebagai seorang doktor gigi ialah Biologi.

“Dalam subjek ini ada ilmu berkaitan dengan organ-organ dalam badan manusia termasuk bahagian mulut.

“Kesemua ini menimbulkan minat saya dan pastinya akan mencuba yang terbaik. Apa yang diharapkan waktu peperiksaan nanti ialah saya dapat skor subjek Biologi ini,“ ujarnya.

Namun begitu, ini tidak bermakna subjek sains tulen lain seperti Kimia dan Fizik tidak penting, malah ia juga sama penting dan ia perlu dikuasai sepenuhnya.

Disebabkan ketiga-tiga subjek sains tulen ini berkait rapat antara satu sama lain, Muhamad Ajieharmie berusaha untuk meningkatkan pencapaian dalam kesemuanya.

Pada masa yang sama, pelajar ini juga berhasrat untuk menabur bakti dengan memberi perkhidmatan penjagaan gigi kepada golongan yang kurang berkemampuan satu hari nanti.

Profesion yang mencabar

Begitu juga bagi seorang lagi pelajar Tingkatan Lima, Adlina Najlaa Amiruddin di mana dia juga ingin 'memberi kembali' kepada masyarakat apabila bergelar doktor gigi.

Tidak menafikan untuk menjadi seorang doktor gigi bukanlah mudah seperti yang disangkakan, begitupun ia tidak menghalang Adlina Najlaa untuk terus melakukan yang terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 kelak.

“Sasaran saya untuk SPM sudah tentulah 9A+ dan berharap ia tercapai agar saya dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang pergigian.

“Walaupun tempoh masa pengajian agak lama, ia tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus menimba ilmu dalam bidang perubatan.

“Insya-ALLAH, diharapkan apa yang dicita-citakan ini akan tercapai satu hari nanti,“ tuturnya lanjut.

Ternyata Adlina Najlaa seorang yang bertuah kerana dia sentiasa dikelilingi oleh mereka yang sering memberinya semangat dan sokongan.

Selain kedua ibu bapanya, rakan-rakan merupakan orang yang menyokong kuat cita-cita Adlina Najlaa.

Pengurusan masa

Seperti Muhamad Ajieharmie, Adlina Najlaa juga merupakan seorang pelajar jurusan sains tulen.

Turut menyatakan mata pelajaran sains tulen bukanlah semudah subjek-subjek lain, Adlina Najlaa bagaimanapun mempunyai rutin hariannya yang tersendiri dalam usaha mengejar cita-citanya itu.

“Dalam usaha menjadikan segala urusan harian saya berjalan lancar, pengurusan waktu yang betul adalah penting. Ini untuk mengelakkan daripada terbeban dengan perkara-perkara yang tertangguh dan juga benda-benda yang remeh.

“Selain itu, sebagai seorang pelajar, kita mestilah sentiasa mengulang kaji dan juga membuat latihan agar kita mampu menjawab ketika peperiksaan nanti.

“Dan yang paling penting, sebagai seorang yang beragama Islam, kita mestilah menjaga waktu solat dan menghormati kedua ibu bapa kerana jika kita sayangkan ALLAH, pasti DIA akan sayang dan tolong kita,“ katanya sebelum mengakhiri perbualan.

Artikel berkaitan

Ini 6 tip yang perlu ada pada seorang doktor gigi!

Kemahiran teknikal dan insaniah sama penting, doktor gigi perlu sentiasa belajar

Tak mahu jumpa doktor gigi! Ini cara mudah menangani rasa takut dalam kalangan murid 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok