portal-inovasi2
portal-inovasi2

Aplikasi pembelajaran mudah alih berkonsep realiti maya

Mariatul Qatiah Zakaria
17 Aug 2021 02:33pm
A
A
A

Solat adalah salah satu daripada lima Rukun Islam. Ia adalah kewajiban bagi seorang Muslim yang wajib dilaksanakan dan tidak boleh diambil mudah.

Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menekankan pentingnya mendidik anak-anak kita menunaikan solat dari usia muda mereka.

Pada masa kini, dengan keadaan dunia yang teruk dilanda pandemik Covid-19, semua premis perniagaan termasuk sekolah terpaksa ditutup dan pelajar terpaksa belajar secara dalam talian.

Oleh yang demikian, platform alternatif diperlukan untuk meneruskan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

Senario ini telah mendorong pelajar-pelajar jurusan Diploma Teknologi Maklumat, Pusat Pengajian Diploma (PPD), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan inovasi hingga terhasilnya produk ‘Adik-Adik Solat 2.0 (AR)’.

Ketua Projek, Ts. Mohd Hatta Mohamed Ali @ Md Hani berkata, produk ini merupakan aplikasi pembelajaran mudah alih yang menggunakan teknologi realiti maya untuk meningkatkan pengalaman belajar dalam solat.

“Aplikasi yang dibangunkan ini sesuai dengan teknologi semasa di mana teknologi realiti maya digunakan sebagai nilai tambah untuk menyokong gaya pembelajaran VAK (video, auditori, kinestetik).

“Melalui aplikasi ini, ia akan membantu guru-guru untuk menginovasikan gaya pengajaran mereka dan berjaya melibatkan pelajar dengan penggunaan teknologi.

“Pada masa yang sama, aplikasi ini juga membantu sektor pendidikan meningkatkan kandungan digital untuk kepentingan masyarakat,” ujarnya kepada GPSBestari.

Kejayaan Produk Inovasi Adik-Adik Jawi 2.0 3D AR yang telah merangkul Anugerah Best of the Best dalam International Competition for Educational Innovation and Research (EDUINNOVATION 2020) anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Konvensional ke digital

Bercerita lebih lanjut mengenai aplikasi tersebut, Mohd Hatta yang juga merupakan pensyarah merangkap Ketua Jabatan Teknologi Maklumat Pusat Pengajian Diploma, UTHM, menjelaskan, ia merupakan aplikasi yang diadaptasikan daripada pembelajaran secara konvensional kepada pembelajaran menggunakan platform digital.

Katanya, jika dahulu anak-anak akan mempelajari ilmu secara konvensional menggunakan buku, poster, kad imbas dan sebagainya, tanpa suara hanya melalui gambar dan penulisan tetapi dengan aplikasi ini isi buku yang dahulunya memaparkan imej pegun akan ‘dihidupkan’.

“Dengan aplikasi ini, setiap gambar pegun akan ‘hidup’ menjadi 3D, begitu juga dengan bacaan dalam solat, semuanya secara audio, yang dirakam bacaannya oleh ustaz-ustaz sekolah agama di Johor.

“Ini memudahkan proses pembelajaran anak-anak di mana mereka boleh belajar dengan sendiri dan bereksplorasi tanpa bantuan sepenuhnya daripada guru atau ibu bapa.“Aplikasi ini juga menjadikan proses pembelajaran lebih menarik dan ia pastinya akan membuatkan anak-anak ingin terus belajar,” sambungnya.

Di samping itu, apa yang menarik mengenai aplikasi ini lagi, ia juga bersifat interaktif.

Dengan gabungan teknologi terkini, produk Adik-Adik Solat 2.0 pastinya menyemarakan lagi kemahiran pelajar mengenai pemikiran kritikal, penyelesaian masalah dan menyerlahkan kreativiti.

Tambah Mohd Hatta lagi, melalui aplikasi ini, kaedah pembelajaran eksploratif dapat diterapkan bukan sahaja kepada para pelajar tetapi kepada semua lapisan masyarakat untuk mempelajari solat dengan mudah, berkesan, fleksibel, menarik, dan menyenangkan.

Projek tersebut yang mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan diusahakan oleh pasukan yang terdiri daripada enam pelajar dan empat pensyarah.

Memulakan projek tersebut penghujung tahun 2019, hari ini ia telah menerima pelbagai anugerah baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Ternyata, sebagai tanggungjawab sosial terhadap generasi muda, Mohd Hatta berharap dengan adanya aplikasi ini, pihaknya dapat menanamkan keimanan dan nilai-nilai Islam yang tinggi di dalam diri setiap lapisan masyarakat.

Ts. Mohd Hatta (tengah, berdiri) bersama pasukan pembangunan produk Inovasi Adik-Adik Solat pada The International Research and Symposium and Exposition (RISE) 2019.

INFO

Gold Award (International Innovation Awards)

- Malaysia Technology Expo (MTE) 2021 - The International Expo on Innovation and Technology.

22-26 Mac 2021

International Award Of Merit

- The Malaysia – Croatia Technology Exchange 2021

22-26 Mac 2021

Best Of The Best Award

- International Competition for Educational Innovation and Research (EDUINNOVATION 2020) – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

2 Disember 2020

Gold Award

- International Competition for Educational Innovation and Research (EDUINNOVATION 2020) – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

2 Disember 2020

Gold Award

- The International Research and Symposium and Exposition (RISE) 2020 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

16 Disember 2020

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok