irfan
irfan

Bakat pelapis diasah sejak di bangku sekolah

Rasyidah ZulkifiRasyidah Zulkifi
20 Sep 2022 02:36pm

Legasi sukan boling negara perlu diteruskan dengan mengasah bakat muda sejak di bangku sekolah bagi memastikan negara mempunyai pelapis dalam sukan ini.

Untuk itu, hari ini pihak sekolah digalakkan bekerjasama dengan pelbagai pihak luar termasuk persatuan sukan di kawasan masing-masing dalam usaha mencungkil lebih banyak bakat sukan dalam kalangan murid-murid.

Ternyata langkah itu memberi kesan apabila terdapat ramai bakat-bakat muda yang terdiri daripada pelajarpelajar sekolah berjaya dicungkil pada usia awal.

Minggu ini, Sinar Bestari mengetengahkan tiga atlet boling sekolah yang berjaya merangkul pelbagai kejuaraan iaitu Nur Alia Hqadeeja Zawavi, 15; Alwan Anaqi Norzaini, 17, dan Irfan Hakimie Isa, 17.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Sains Dungun, Terengganu, Nur Alia, biarpun bakatnya dalam sukan itu diasah ‘agak lewat’ ketika berada di Tahun Dua, namun, ia tidak menghalangnya untuk menjuarai pelbagai pertandingan yang disertai.

Katanya, kekerapan latihan yang dilakukan menyumbang kepada kejayaannya selain melakukan praktis kendiri.

“Sebulan sebelum kejohanan saya akan berlatih di pusat boling dan tidak hanya bergantung kepada latihan yang diberikan jurulatih sekolah.

“Selalunya latihan harian yang dilakukan ialah tiga jam bersama keluarga dan empat jam sekiranya berlatih dengan jurulatih.

“Apabila tarikh pertandingan semakin dekat, kami akan berehat satu hari,” katanya ia bertujuan mengelakkan sebarang kemungkinan kemalangan berlaku.

Ujar anak kelahiran Kemaman itu lagi, selepas menyambung pengajian di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), rutin hariannya banyak berubah.

“Untuk kejohanan boling wakil Terengganu, saya akan menjalani latihan selama seminggu dan sepanjang tempoh tersebut saya diberikan pelepasan.

“Walaupun begitu, saya tetap mengutamakan pelajaran dan menyiapkan segala kerja kursus yang diberikan guru,” jelasnya yang bijak menguruskan jadual harian.

Dasar 1 Murid 1 Sukan

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Indah, Ampang, Selangor, Alwan Anaqi, memberitahu, sukan boling berjaya membawanya menyertai kejohanan yang lebih berprestij.

“Saya aktif dalam sukan ini apabila Kementerian Pelajaran (KPM) melaksanakan 1 Murid 1 Sukan.

“Sebelum ini saya telah mencuba beberapa jenis sukan lain tetapi akhirnya minat, kemampuan dan keupayaan lebih menonjol dalam sukan boling.

“Melalui boling saya telah ke seluruh semenanjung dan juga Sarawak serta berpeluang beraksi dengan pemain dari dalam dan juga luar negara,” kongsinya.

Menurutnya lagi, boling merupakan sukan yang memerlukan fokus dan stamina yang tinggi, jadi sedikit sebanyak ia mempengaruhi pencapaian akademik seseorang.

“Bersukan secara umumnya, bukan sekadar menyihatkan badan, malah ia juga mencerdaskan otak dan perkembangan minda kita.

“Bagi saya boling ini mampu membina jati diri dan sahsiah diri yang lebih baik, selain ia melatih kita agar sentiasa fokus, sabar serta tenang apabila berhadapan situasi yang mencabar.

“Boling juga secara tidak langsung melatih kita untuk berkomunikasi dengan baik bersama pemain yang berlainan latar belakang, agama dan bangsa,” ujarnya yang turut meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris untuk berinteraksi dengan atlet luar negara.

Dalam pada itu, bagi pelajar SMK Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, Irfan Hakimie, dia berharap dapat merealisasikan cita-citanya sebagai seorang atlet boling negara satu hari kelak.

“Berbekalkan semangat daripada pemain boling negara, Muhammad Rafiq Ismail, saya berusaha keras untuk menjadi lebih bagus dalam sukan ini.

“Saya berharap dapat memantapkan lagi kemahiran dalam sukan ini dan pada masa sama mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Seandainya diberikan peluang menjadi pelapis kebangsaan, saya berjanji akan bermain dan berlatih bersungguh-sungguh untuk menghadiahkan kemenangan buat negara,” ujarnya yang merupakan atlet boling terbaik sekolah.

Sambungnya lagi, antara kemahiran yang dapat dibina menerusi sukan itu adalah tangan, kaki, mata dan otak.

“Tangan berfungsi untuk mengangkat, menghayun dan melakukan balingan yang tepat, sementara kaki digunakan untuk melakukan pergerakan membaling serta menahan ketika bola dilepaskan.

“Selain itu, mata pula digunakan untuk melihat posisi atau sasaran yang dikehendaki sebelum dan semasa membaling bola.

“Kemahiran otak pula digunakan untuk mengira markah setiap pin yang berjaya ditumbangkan selepas melakukan balingan untuk mendapat markah bonus dan juga berguna ketika kejohanan berlangsung untuk melihat perbezaan markah kita dengan pihak lawan,” tuturnya lanjut.

**

KEJAYAAN NUR ALIA HQADEEJA ZAWAVI

1. Johan- Kejohanan Boling Tenpin Majlis Sukan Sekolah Terengganu 2022

2. Johan - Kejohanan Boling Tenpin Majlis Sukan Sekolah Daerah Kemaman 2022

3. Johan - Kejohanan Boling Tenpin Majlis Sukan Sekolah Daerah Kemaman 2019

4. Ketiga - Kejohanan Boling Tenpin Majlis Sukan Sekolah Terengganu 2019

5. Johan - Kejohanan Boling Tenpin Majlis Sukan Sekolah Daerah Kemaman 2018

KEJAYAAN ALWAN ANAQI NORZAINI

1. Tempat Keempat Berpasukan Majlis Sukan Sekolah Selangor 2022

2. Tempat Ketiga Individu Majlis Sukan Sekolah Daerah 2022

3. Naib Johan Individu Majlis Sukan Sekolah Daerah 2019

4. Tempat Ketiga Berpasukan Majlis Sukan Sekolah Selangor 2019

5. Tempat Keempat Individu MASTERS Majlis Sukan Sekolah Daerah 2018

6. Penyertaan Sarawak International Open 2019

7. Penyertaan Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) 2019

8. Penyertaan Milo Junior League 2019 - 2020

9. Penyertaan Sirkit Remaja Kebangsaan Boling 2018

KEJAYAAN IRFAN HAKIMIE ISA

1. Naib johan berkumpulan lelaki bawah 12 tahun

2. Johan berkumpulan lelaki bawah 18 tahun

3. Johan MASTERS lelaki bawah 18

Artikel berkaitan 

Kemahiran perlu diasah, bakat semula jadi bukan sandaran utama 

Cikgu Mohd Dhiauddin bangga sertai PBSM, aktif dalam PBSM sejak di bangku sekolah 

Pelaksanaan TV PSS Selangor, asah bakat kewartawanan, penulisan berita murid sejak di bangku sekolah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp