pelancaran tv pss
pelancaran tv pss

Pelaksanaan TV PSS Selangor, asah bakat kewartawanan, penulisan berita murid sejak di bangku sekolah

Rasyidah Zulkifi
07 Sep 2022 11:48am
A
A
A

Hari ini bidang kewartawanan, penulisan berita dan juga penyiaran semakin mendapat tempat dalam komuniti kita termasuk murid sekolah.

Ia bertujuan untuk mengasah bakat mereka agar menjadi pengamal media yang bertanggungjawab menyampaikan isu kepada masyarakat.

TV PSS seperti yang dilancarkan baru-baru ini, merupakan satu bentuk inisiatif yang dilakukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) untuk melahirkan pengamal media cilik.

Melaluinya, segala aktiviti berkaitan sekolah akan direkodkan oleh murid-murid dalam bentuk digital di mana mereka yang akan menjadi penyampai berita, penulis skrip dan editor.

Secara tidak langsung program yang akan disiarkan menerusi saluran ini bakal menyokong agenda Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21).

Menurut Pengarah Pendidikan, JPNS, Rohayati Abd Hamed, TV PSS Selangor ini bermatlamat membentuk murid-murid untuk mempunyai nilai tambah, berdisiplin, berintegriti, berkualiti dan mampu bersaing di pasaran terbuka selepas mereka menamatkan alam persekolahan.

“Mereka juga diharapkan agar menjadi murid yang bermaklumat dan mempunyai jati diri yang beracuankan negara Malaysia.

“Untuk itu, tahniah dan syabas kepada TV PSS Selangor yang berjaya melahirkan modal insan yang berpotensi dan kreatif.

“Selain mengasah bakat mereka untuk menjadi seorang pemimpin yang berani mendepani cabaran, berkaliber, berfikiran kritis, mahir dalam menyampaikan idea secara spontan dan berwibawa di sekolah mahupun di luar sekolah,” katanya.

Berbicara dengan lebih lanjut, TV PSS merupakan satu usaha yang baik untuk melatih murid sekolah negeri Selangor agar berbahasa dengan cara yang betul.

“TV PSS ini akan menjadi satu wadah untuk membimbing anak-anak ke arah kerjaya berkaitan media sosial pada masa hadapan.

“Bagaimanapun, nasihat saya kepada mereka yang berminat untuk menjadi seorang pempengaruh media yang berwibawa perlu mencari tapak dan asas yang kukuh terlebih dahulu.

“Menerusi TV PSS ini akan menjadi satu medan untuk anak murid agar menyampaikan berita yang betul dan bukan menyebarkan perkara-perkara negatif,” ujarnya yang menggalakkan mereka untuk mempelajari amalan terbaik dalam bidang penyiaran sekali gus menjadi penyebar media yang bertanggungjawab.

Artikel berkaitan 

Pelaksanaan ‘spotcheck’ mengejut, tangani isu buli di sekolah berasrama  

Sekolah tubuh Nour TV, SAM Tengku Ampuan Jemaah asah bakat pelajar

Cikgu Mohd Dhiauddin bangga sertai PBSM, aktif dalam PBSM sejak di bangku sekolah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok