no image

Berjaya majukan pendigitalan pendidikan di Melaka, sekolah ini bakal terima pengiktirafan Microsoft!

Rasyidah Zulkifi
12 Jul 2022 11:22am
A
A
A

Sekolah Menengah Kebangsaan Hang Kasturi (SMKHK), Masjid Tanah bakal menjadi sekolah pertama di Melaka yang mendapat pengiktirafan ‘Microsoft Showcase Schools’ (MSS), Ogos depan.

Ini berikutan kejayaan sekolah berkenaan mengaplikasikan sistem perisian daripada Microsoft Corporation, syarikat pengeluar sistem perisian komputer berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat dalam usaha memajukan pendigitalan pendidikan.

Menurut pengetua SMKHK, Norfa’iza Mustafa, seramai empat guru terpilih sebagai ‘Microsoft Innovative Educator’ (MIE) selepas mengikuti kursus secara maya yang disediakan syarikat tersebut setakat ini. 

“Mereka dipilih berdasarkan kekerapan menggunakan perisian Microsoft dalam pelbagai aspek pembelajaran secara digital.

“Ini sejajar dengan usaha kami yang ingin memajukan prasarana pendidikan melalui kemajuan teknologi komunikasi maklumat (ICT).

“Hasil kerjasama dengan perunding ‘Content Capital’ yang diterajui Dr Azma Abdul Hamid, kami yakin sembilan guru lagi akan dipilih sebagai MIE bulan depan,” katanya.

Tambahnya, bagi memajukan pendigitalan pendidikan, sebelum ini Hewlett-Packard (HP) menyumbangkan 10 unit komputer kepada sekolah berkenaan.

“SMKHK mempunyai 730 pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima yang dibimbing 78 guru serta dibantu 11 kakitangan. 

“Sememangnya jumlah komputer yang disumbangkan itu sedikit, jadi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berusaha sedaya upaya untuk menambah bilangan komputer dalam makmal yang setakat ini ada 25 unit.

“Selain itu, kami juga akan menyediakan projektor dan ‘digital board’ untuk bilik tayangan kedua SMKHK,” ujarnya yang ingin menambah lagi bilangan 'digital board' seperti yang sedia ada dalam makmal komputer sekolah itu.

Artikel berkaitan

Pertandingan eKelas galak pendigitalan pendidikan Bahasa Inggeris, 30 pelajar menang peranti pintar

Program empowerNCER Akademik dalam Pendigitalan Pendidikan

Program Microsoft Innovative Teachers dilancarkan demi melahirkan guru berintegriti

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok