PELAJAR-DRON-SINARBESTARI-2023 (1)
PELAJAR-DRON-SINARBESTARI-2023 (1)

Dron bukan sekadar hobi. Mampu membantu mengembangkan minat dan kerjaya dalam kalangan pelajar

nadzarul.amir
10 Jan 2023 12:00pm
A
A
A

Kenderaan udara tanpa pemandu atau juruterbang iaitu dron boleh dijadikan alat yang boleh mengubah cara hidup manusia.

Memandangkan gajet ini boleh diterbangkan tanpa memerlukan pemanduan dalam pesawat, ia dilihat berpotensi membantu manusia menyelesaikan urusan yang sukar seperti mendapatkan maklumat dari udara serta merekodkan video yang menarik untuk tontonan ramai.

Lebih daripada sekadar gajet, dron juga dilihat mula mendapat tempat di hati pelajar-pelajar sekolah yang berminat menceburi teknologi ini.

Muhammad Danish Aiman Khairul Azmi, Wan Harith Imran Wan Mohd Rizaluddin dan Muhammad Hazim Othman antara pelajar sekolah menengah yang menunjukkan minat dalam bidang pengendalian dron.

Jom kita lihat perkongsian mereka bertiga.

Muhammad Danish Aiman Khairul Azmi bersama dron miliknya.

1 Muhammad Danish Aiman Khairul Azmi

Pelajar Tingkatan Tiga, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1), Muhammad Danish Aiman Khairul Azmi antara pelajar yang menunjukkan minat dalam pengendalian dron terutama dalam fotografi dan videografi udara serta teknologi dron.

Muhammad Danish berkata, minatnya itu dipupuk sejak berusia sembilan tahun oleh bapa saudaranya, Muhammad Azinudin Aizal yang juga terlibat secara langsung dalam industri dron dan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) Malaysia.

Ia dilihat sebagai titik permulaan buat Muhammad Danish untuk terus terlibat dalam pengendalian dron sehingga berjaya membelinya hasil daripada wang simpanan sendiri.

“Saya berjaya membeli dron sendiri untuk digunakan sebagai latihan tambahan bagi mendalami kaedah pengendalian dron.

“Dron yang dibeli adalah jenis DJI Mini 2 hasil daripada simpanan wang belanja harian,” katanya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.

Tambah pelajar itu lagi, selain dijadikan sebagai hobi, dia juga aktif menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan.

Ternyata masa yang dihabiskan untuk mendalami ilmu dron tidak sia-sia apabila Muhammad Danish berjaya meraih tempat pertama dalam pertandingan fotografi sempena Program Insan Kamil yang dianjurkan sekolahnya.

Selain itu, dia juga berjaya mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Video Korporat Sekolah-Sekolah Menengah Putrajaya anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kementerian Pendidikan (KPM).

Muhammad Danish memberitahu, minat mengendalikan dron turut mendorong dirinya untuk terlibat secara aktif walaupun masih bersekolah.

Jelasnya, dia tiada masalah membahagikan masa antara latihan dan belajar memandangkan latihan dilakukan pada hari cuti sahaja.

Selain itu, dia juga memaklumkan latihan pengendalian dron yang disertainya adalah sebagai persiapan untuk menyertai pertandingan Malaysian Drone Racing tidak lama lagi.

Wan Harith

2 Wan Harith Imran Wan Mohd Rizaluddin

Bagi pelajar Tingkatan Tiga, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bentong, Wan Harith Imran Wan Mohd Rizaluddin, dia turut mempunyai minat yang sama dalam pengendalian dron ini.

Katanya, memandangkan MRSM merupakan salah satu institusi pendidikan yang memberi pendedahan dalam bidang Sains dan Teknologi maka ia satu peluang untuk dirinya menceburi bidang dron ini.

Wan Harith memberitahu, antara pencapaian tertinggi sepanjang terlibat dalam pengendalian gajet ini ialah meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Junior Skills Malaysia pada tahun lalu.

“Pertandingan ini memerlukan peserta mengendalikan dron menggunakan pengekodan (coding) hasil daripada idea pelajar.

“Coding ini juga menentukan bagaimana dron diterbangkan atau digerakkan melalui peta dan halangan yang telah ditetapkan.

“Walaupun pelajar menggunakan dron yang sama, tetapi coding berbeza akan menentukan pemenang dalam pertandingan ini,” jelasnya.

Tambah Wan Harith, dron merupakan antara gajet yang senang dikendalikan jika dibandingkan dengan alat robotik lain.

Oleh itu, dia akan menyertai lebih banyak pertandingan melibatkan pengendalian dron selain turut merancang untuk aktif dalam bidang berkenaan sehingga ke peringkat universiti.

Muhammad Hazim.

3 Muhammad Hazim Othman

Penglibatan Muhammad Hazim Othman dalam pengendalian dron bermula sebagai mengisi masa lapang.

Menurut pelajar Tingkatan Empat SMK Agama Kedah ini, dengan berbekalkan panduan melalui YouTube, dia berjaya mencipta dron serta coding dan pengaturcaraan (programming) sendiri untuk menggerakkan gajet tersebut.

Tambah Muhammad Hazim, minatnya dalam dron ini mendapat sokongan penuh daripada kedua ibu bapanya.

“Alhamdulillah mak dan ayah sangat menyokong minat saya dan ia tidak mengganggu pelajaran harian.

“Malah mereka juga terbuka menerima minat saya ini kerana ia akan diteruskan dengan menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan kelak,” tuturnya.

Tambah Muhammad Harith, perancangannya untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan kerana ingin mendalami ilmu mengenai kapal tebang.

Pelajar aliran Sains itu juga memberitahu, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) adalah antara universiti pilihan untuk menyambung pengajiannya.

Artikel berkaitan

Dron semakin mendapat perhatian ramai

Rakaman nadir dron tawan hati Mohd Die Shuhainie. Kerjaya juruterbang dron dapat permintaan

Kemahiran navigasi dron, aset masa depan. Dron medium baharu jana pendapatan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok