mrsm-betong
mrsm-betong

Dua pelajar MRSM Betong akan wakili Malaysia pada WRO 2022

Adlan Farhan Azwan
19 Aug 2022 05:37pm
A
A
A

Dua pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Betong, Sarawak akan mewakili Malaysia pada World Robot Olympiad (WRO) 2022 yang dijadualkan berlangsung di Jerman pada November ini.

Kejayaan Luke Fedro dan Awang Muhammad Azfar mewakili negara ke kejohanan peringkat antarabangsa itu merupakan kesinambungan daripada kejuaraan mereka di pertandingan Robo Challenge MRSM Se-Malaysia Ke-17 2022.

Menurut guru pengiringnya, Cikgu Amran Tura, penyertaan MRSM Betong pada pertandingan Robo Challenge MRSM Se-Malaysia Ke-17 merupakan sesuatu yang membanggakan.

“Sebanyak tujuh kategori telah disertai pada penyertaan kali ini yang mana tiga daripadanya mendapat emas, dua penyertaan mendapat perak dan satu menduduki tempat kelima.

“Tiga emas yang dimenangi adalah menerusi kategori pertandingan Robo Challenge Quiz, 3D Robot Design dan The Rescue Robot.

“Perak pula diraih dalam pertandingan Sumo Robot 3 kilogram (kg) dan Robo Challenge Quiz, manakala tempat kelima bagi pertandingan Robot in Movie,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Tambahnya, kemenangan tersebut membolehkan MRSM Betong dinobatkan Juara Keseluruhan Kategori Standard dan membawa pulang piala pusingan.

“Lebih menarik apabila piala pusingan tersebut pertama kali datang ke bumi Sarawak,” jelas Cikgu Amran.

Jelas beliau lagi, MRSM Betong yang membawa tema ‘Integrating Nuclear For Smart City’ dibarisi 10 peserta bagi penyertaan dalam pertandingan tersebut yang diadakan di MRSM Bentong, Pahang.

“Penyertaan MRSM Betong diperkuatkan dengan 10 pelajar yang telah memberi kerjasama sepenuhnya dalam setiap kategori selain dibantu rakan guru pengiring, Muhamad Zaim Kassim,” ujarnya.

Dalam pada itu, Cikgu Amran turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak pengurusan MRSM Betong yang sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada Kelab Robotik sejak dari fasa latihan persediaan lagi.

Artikel berkaitan

9 bulan 22 hari Dany Al-Fathoni hafal 30 juzuk al-Quran, hebat didikan mak ayah pelajar MRSM ini

4 guru KV Keningau lakar kejayaan di Amerika Syarikat

Kueggen harumkan nama UM dan negara dalam sukan karate. Tahniah!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok