Dunia sebenar menanti anda, inilah 8 ingatan mesra buat pelajar lepasan SPM
Dengan pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 baru-baru ini, maka berakhirlah sudah perjalanan pelajar-pelajar di peringkat sekolah menengah.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, tahun ini juga menyaksikan ramai pelajar berjaya melakar kejayaan apabila memperoleh keputusan yang cemerlang.
Bagaimanapun, ia bukanlah suatu pengakhiran mahupun penentu hala tuju hidup pelajar sepenuhnya kerana ini merupakan permulaan ke arah dunia yang sebenar.
Sinar Bestari tertarik dengan satu hantaran yang dibuat oleh Shahid Ibnu Ahmad yang merupakan seorang kaunselor di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Taiping, Perak menerusi laman Facebooknya.
Beliau berkongsi lapan ingatan mesra yang penting dan perlu difahami oleh setiap pelajar yang akan mula memasuki fasa seterusnya.
Jom ikuti perkongsian tersebut.
**
Kepada calon SPM yang telah mengambil keputusan SPM, ingatan mesra dan penting.
Percayalah.
1) Hasil usaha semalam, setimpal dengan keputusan diperoleh
Keputusan yang diperoleh adalah hasil usaha ‘semalam’. Apa yang anda usahakan, itulah yang anda dapat. Terimalah dengan seadanya. Bersangka baiklah dengan ALLAH. Nabi bersabda (hadis Qudsi, "Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
2) Anda berhak untuk kecewa
Jika keputusan SPM tidak seperti yang anda harapkan, percayalah hari esok akan sentiasa ada untuk mereka yang bangkit pada hari ini. Anak-anak berhak kecewa, kerana kekecewaan itu adalah perkara yang perlu dilalui oleh semua orang. Banyak orang hebat bermula dengan kekecewaan dan gagal. Bangkitlah.
3) Raikan keputusan anda
Berikan penghargaan kepada diri sendiri juga orang terdekat dengan cara kongsikan kegembiraan itu bersama ibu bapa, ahli keluarga, rakan-rakan dan jangan dilupakan guru anda. Cukup sekeping gambar keputusan yang cemerlang itu diambil bersama mereka akan memberi kepuasan kepada guru dan boleh juga belanja ahli keluarga anda makan. Syukur itu penting.
4) Sesuaikan keputusan SPM dengan IPTA/IPTS
Apa sahaja keputusan SPM yang anda perolehi, pergilah berjumpa dengan kaunselor atau pakar dalam bidang kerjaya dan pengajian supaya dapat membuat analisis keputusan tersebut. Ramai yang salah pilih jurusan di institusi pengajian tinggi (IPT) selepas mendapat keputusan SPM. Keputusan SPM cemerlang, tetapi salah pula masuk bidang pengajian. Sangat rugi.
5) Nasihat untuk ibu bapa
Jangan terlalu emosi dengan keputusan SPM anak-anak dan jangan bandingkan keputusan SPM mereka dengan sesiapa sahaja termasuklah ibu bapa itu sendiri. SPM ketika zaman mereka jauh berbeza cabarannya berbanding zaman sebelum ini disebabkan Covid-19 dan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Sangat tidak adil untuk mereka dibandingkan.
6) Masa depan anda masih panjang
SPM adalah satu permulaan bukan garisan penamat. Masih banyak cabaran yang perlu mereka hadapi. Terus bersabar dengan apa jua keputusan yang mereka perolehi dan bersemangat. Insya-ALLAH tiada perkara mustahil bagi orang yang berusaha.
7) Boleh buat semakan semula
Jika anda rasa gred sesuatu subjek itu diluar jangkaan yang sepatutnya anda dapat, boleh mohon untuk buat semakan secara dalam talian. Semakan boleh dibuat dalam tempoh 30 hari dan keputusan akan dapat dalam tempoh dua bulan.
8) Buat sedikit pembacaan tentang universiti pilihan hati
Kehidupan mahasiswa berbeza dengan apa yang anda alami ketika zaman belajar di sekolah. Tiada lagi kawalan guru dan semuanya lebih bergantung kepada diri sendiri. Sangat penting untuk memahami kehidupan di universiti agar kecemerlangan SPM anda akan dapat memberi cerminan kejayaan di universiti nanti.
Artikel berkaitan
Dijangkiti Covid-19 ketika SPM, hikmah buat Alyssa raih keputusan cemerlang
1,803 calon di Selangor peroleh A bagi semua subjek dalam SPM 2021
Pelajar cemerlang SPM berat hati sambung belajar