Untitled design (8)
Untitled design (8)

Karya grafiti membawa Katun menjelajah dunia

Norliza Wasilan
12 Sep 2022 11:52am
A
A
A

Pengiktirafan diterima buktikan kehebatan artis tempatan.

Bermula dengan menghasilkan grafiti di lorong belakang kedai bersama rakan, kini Abdul Hafiz Abdul Rahman, 35, atau lebih dikenali dengan gelaran Katun menjadi artis grafiti yang cukup disegani.

Tidak keterlaluan jika menyatakan keunikan karya anak muda ini cukup hebat sehingga berjaya menghasilkan lukisan grafiti artis antarabangsa terkenal, Dua Lipa dan Post Malone.

Katun yang juga berbakat dalam rekaan illustrasi turut mendapat perhatian artis popular R&B Amerika Syarikat, Chris Brown untuk menghasilkan seni sempena pelancaran albumnya, Undecided pada 2019.

Abdul Hafiz Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Katun dalam kalangan artis grafiti. Foto/Katun@Abdul Hafiz Abdul Rahman.

Katun turut diberi kepercayaan bekerjasama dengan jenama terkenal, antaranya Nike, Vans, Oppo, New Era, Foot Locker, Marshall, JBL dan KFC.

Selain itu, dia turut menerima undangan menghasilkan karya di Perancis, Croatia, Korea Selatan, Filipina, Indonesia, Taiwan, Shanghai, Brunei, Singapura, Australia, Thailand dan Dubai.

Disebabkan bakatnya juga, Katun diberi penghormatan menjadi artis pertama di Asia Tenggara bekerjasama menghasilkan tin semburan edisi terhad bersama Montana Colors, Sepanyol, pembekal semburan cat untuk artis grafiti seluruh dunia.

Katun diberi penghormatan menjadi artis grafiti pertama di Asia Tenggara bekerjasama menghasilkan spray can edisi terhad bersama Montana Colors, Sepanyol, pembekal spray paint untuk artis graffiti seluruh dunia Foto/Katun @ Abdul Hafiz Abdul Rahman.

Menceritakan penglibatan awalnya, ia bermula selepas tamat sekolah menengah.

Mengakui ketika itu lukisan grafiti dipandang negatif dan dikaitkan dengan vandalism, namun baginya ia sebahagian daripada seni.

“Ia terletak pada pandangan seseorang, bagi kami itu adalah seni yang dihasilkan menggunakan tin semburan dan sekarang kita boleh melihat bagaimana gahnya penerimaan seni ini,” ujarnya.

Katun menjelaskan, pelbagai kata negatif dilemparkan, namun tidak sedikit pun melunturkan semangatnya untuk berjaya.

“Ketika saya masih dalam proses membina kerjaya, ramai mengatakan bidang ini tidak ada masa depan dan membuang masa.

“Bidang ini banyak membantu saya terus maju kerana jatuh bangun itu adalah proses dalam kehidupan,” tambahnya.

Karya grafiti Katun di Bali. Foto/ Katun @ Abdul Hafiz Abdul Rahman.

Berkongsi pengalaman manisnya, Katun mengakui cukup gembira apabila terlibat dengan pelbagai projek grafiti di luar negara yang dianggap sebagai penghormatan buatnya.

“Cabaran ketika proses menyiapkan karya ialah faktor cuaca, panas dan hujan, saiz bangunan atau dinding, lebih besar (ruang) maka lebih lama untuk menyiapkannya.

“Bagaimanapun, ia menjadi satu kepuasan yang tidak terkira apabila berjaya menyiapkannya, di samping dapat mempelajari beberapa kemahiran dan menjana idea baharu,” ujarnya.

Identiti

Menurut Katun, setiap artis mempunyai identiti tersendiri dan lazimnya terbahagi beberapa reka bentuk utama seperti ‘lettering’ yang menjadi akar utama kepada seni itu.

Lettering sangat penting dalam grafiti, setiap artis mempunyai gaya nama tersendiri dalam reka bentuknya, diikuti tagging, throwie, blockbuster, watak, 3D dan realism.

“Kami ada gaya tersendiri untuk mudah dikenali, contohnya karya saya selalu mempunyai elemen monyet yang menjadi signatur dan gaya.

“Elemen ini memberi kesan mendalam dalam karier saya kerana berjaya menghasilkan karakter yang diterima dalam dunia grafiti,” ujarnya lanjut.

Selain itu, pemegang Diploma dan Ijazah Seni Rekaan (Grafik) Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini turut berkongsi pandangannya mengenai masa depan artis grafiti.

“Kita ada banyak platform media sosial untuk berkongsi karya, bagi saya istilah (pendapatan) lumayan itu bergantung kepada kemahiran artis itu sendiri,” ujarnya yang kini sedang menyiapkan karya bersama Apes R Us dan 4Stage.

Selain itu, anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga memaklumkan, pernah menghasilkan karya menggabungkan mural dan grafiti sekitar tahun lewat 1990-an.

Karya Katun di Paris. Foto/Katun @Abdul Hafiz Abdul Rahman.

“Ketika itu karya saya menonjolkan suasana kehidupan kampung dan gambaran bintang di hutan,” ujarnya yang cukup mengagumi artis Can2, Hombre, Aryz, OG slick, 123klan dan Malaysia Graffiti Scene.

Katun juga berkongsi nasihat kepada penggiat grafiti supaya percaya diri, jangan berhenti, terus berkarya dan sentiasa syukur atas kurniaan bakat.

Untuk itu, Katun turut berkongsi ilmu dengan pembaca mengenai perbezaan antara grafiti dan mural.

Artikel berkaitan

Sentuhan karya grafiti guru ini cukup luar biasa

Kempen hijau SMK Darul Ehsan, kumpul 10,000 botol plastik untuk hasilkan mural

Tetap disayangi ramai walau berperangai pelik. Itulah istimewanya Cikgu Zul!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok