seip 2022
seip 2022

Mahasiswa raih kemenangan berkembar, bukti pelajar kejuruteraan mampu berjaya dalam bidang keusahawanan

Rasyidah Zulkifi
13 Sep 2022 02:23pm
A
A
A

Bukan mudah untuk membolot dua kejayaan sekali gus dalam satu pertandingan seperti yang diraih mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Mohd Adzimnuddin Mohd Nor Azami.

Mohd Adzimnuddin diumumkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Terbaik (Kategori Perkhidmatan) dan Naib Johan (Pitching Competition) dalam Structured Entrepreneurial Incubator Program & Pitching Competition (SEIP 2022) serta membawa pulang hadiah berjumlah RM3,000, baru-baru ini.

SEIP 2022 merupakan inisiatif program keusahawanan nasional Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dianjurkan bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Ia bertujuan membangunkan syarikat pemula (start-up) mahasiswa berteraskan produk inovasi dan teknologi melalui pelaksanaan inkubator latihan keusahawanan.

Terdapat 10 penyertaan institusi pengajian tinggi terpilih dalam negara dan sebanyak lima kluster utama inkubator telah diwujudkan iaitu teknologi digital, sains dan teknologi, industri agro, keusahawanan sosial dan industri kreatif.

Menurut Naib Canselornya, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin, dua pencapaian berprestij itu adalah bukti pelajar kejuruteraan mampu berjaya dalam bidang keusahawanan.

Jelasnya, kejayaan tersebut menyerlahkan lagi kemampuan UTeM dalam melahirkan graduan yang holistik serta memiliki atribut keusahawanan.

Kongsinya lagi, pihaknya menghantar empat buah syarikat inovasi pelajar dengan kerjasama dan sinergi dengan mentor yang terdiri daripada pensyarah UTeM di bawah seliaan Pengarah Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (CREATE), Dr Isma Addi Jumbri dan Penyelaras Program SEIP-UTeM, Dr Mohd Amin Mohamad.

Dalam pada itu, Dr Isma Addi berkata, Anugerah Inovasi Terbaik (kategori perkhidmatan) yang dimenangi adalah menerusi projek Smart Baja Using IoT System for Fertigation diwakili Mohd Adzimnuddin dengan bimbingan pensyarah mentor UTeM, Ir Dr Anas Abdul Latif.

"Gabungan idea pelajar dan pensyarah mentor UTeM bersama membangunkan syarikat Eureka Technology Solution (ETS) turut terpilih sebagai naib juara bagi keseluruhan pertandingan yang membabitkan inisiatif padanan perniagaan,” ujarnya.

Tambahnya, KPT tertarik dengan produk syarikat ETS, inkubator UTeM yang disifatkan mempunyai prospek pasaran luas kerana menyediakan sistem pemantauan parameter asas pertanian meliputi suhu baja, cahaya matahari, kelembapan udara dan tanah secara dalam talian.

Artikel berkaitan 

“Mendidik manusia melalui sukan” – Usaha murni guru tubuh pasukan ragbi diterima baik oleh pelajar 

POLIMAS terima 328 pelajar baharu, bukti pendidikan TVET terus menjadi pilihan 

Penyelidik UTM berjaya bangunkan alat khas bantu golongan buta warna


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok