cfinder-utm
cfinder-utm

Penyelidik UTM berjaya bangunkan alat khas bantu golongan buta warna

Adlan Farhan Azwan
10 Aug 2022 05:20pm
A
A
A

Sekumpulan penyelidik dari Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya membangunkan sebuah alat khas bagi membantu golongan buta warna mengesan warna objek dalam kehidupan seharian mereka.

Ia merupakan hasil kerjasama antara Profesor Madya Ir Dr Mohd Zarhamdy Md Zain selaku ketua penyelidik, Dr Maziah Mohamad, Dr Syahril Ramadhan, Dr Norazila Othman dan Dr Mastura Ab Wahid.

Menurut Dr Mohd Zarhamdy, alat yang dikenali sebagai CFinder ini juga mempunyai kemampuan untuk mengesan, mengenal pasti dan memberitahu pengguna tentang warna objek tertentu.

“Situasi buta warna ini terbahagi kepada dua jenis, pertamanya adalah golongan yang tidak dapat membezakan warna merah dan hijau tetapi mereka boleh melihat warna biru dan kuning.

“Jenis kedua pula ialah mereka yang hanya boleh melihat beberapa warna sahaja.

“Individu yang mengalami kedua-dua situasi ini kebiasaannya tidak dapat mengesan masalah ini dengan sendiri dan sering kali menafikannya,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Alat CFInder masih lagi berada di fasa prototaip.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengguna CFinder perlu mendekatkan alatan itu dengan objek dan pengesan bercahaya akan mengenal pasti warna yang dikesan.

“Kemudiannya, maklumat akan disampaikan kepada pengguna melalui alat pembesar suara yang dipasangkan pada peranti.

“Namun, pasukan kami masih lagi mencari jalan untuk melaksanakan beberapa penambahbaikan kepada alat ini seperti mengecilkan saiznya dan juga menggunakan pembesar suara yang lebih ‘mesra pengguna’ untuk digunakan di tempat awam.

“Ini kerana bagi memudahkan pengguna CFinder menyimpan alat tersebut di dalam poket seluar atau beg tangan untuk digunakan pada bila-bila masa apabila diperlukan,” jelasnya lagi.

Tambahnya, alat ini masih di peringkat prototaip dan diberikan kepada mereka yang mengalami masalah rabun warna untuk mencuba keberkesanannya.

“Apabila proses penambahbaikan selesai, Insya-ALLAH kami akan hasilkan alat ini bagi penggunaan sebenar untuk golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

“Apa yang kami perlukan adalah sokongan dari segi kewangan dan perhatian pihak-pihak berwajib seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan bahagian pendidikan khas yang lain,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Kepakaran penyelidik UTM dan UiTM dalam teknologi 3D berjaya hasilkan tangan palsu untuk mangsa ragut

Cipta model roket bahan api pepejal ketika usia 9 tahun, Khawo kini ‘Rocketeer Termuda Malaysia’

UPM hasilkan inovasi alat navigasi bantu pesakit demensia


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok