Untitled design (17)
Untitled design (17)

Jana pendapatan sampingan dengan hobi mengait

Azleenda Sahaludin
17 Nov 2022 12:44pm
A
A
A

Sejak negara mengalami pandemik Covid-19 dan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan wabak ini, ramai mula mencari hobi baharu untuk mengisi masa lapang.

Ada yang bercucuk tanam, membuat video masakan dan ada juga yang mula menceburi bidang mengait.

Mengait merupakan satu aktiviti mencipta fabrik seperti baju, beg dan beberapa barangan lain dengan menggunakan benang dan jarum kait.

Bidang ini juga telah mencetuskan idea kepada seorang pempengaruh media sosial Tiktok yang mempunyai 25,300 pengikut untuk berkongsi ilmu serta mengajar kepada mereka yang berminat dan ingin mencuba bidang ini.

Nur Nabilah Hamdino, 21, berkata, minatnya dalam bidang mengait tercetus apabila ibunya menerima hadiah bekas tisu yang dikait oleh jirannya.

Nur Nabilah ketika memakai salah satu koleksi fabrik yang dihasilkannya dengan mengait.

“Sejak itu, saya mula meminta bantuan jiran untuk mengajar saya mengait, memandangkan pada waktu itu kita sedang berdepan dengan PKP, jadi saya ambil peluang untuk mengisi masa lapang.

“Selain belajar dengan jiran, saya juga mempelajari pengetahuan asas dalam mengait di Youtube,” katanya kepada wartawan Sinar Bestari, baru-baru ini.

Anak kedua dari lima beradik itu turut memberitahu, video yang merakam dirinya mengait telah berjaya meraih perhatian beberapa pengikutnya yang berminat untuk mempelajari ilmu tersebut, di mana kebanyakannya terdiri daripada pelajar sekolah menengah.

“Pada awalnya, saya agak terkejut dengan penerimaan yang positif daripada pengikut saya, oleh itu saya mengambil peluang untuk mula memberi tunjuk ajar dan boleh mendatangkan manfaat kepada orang ramai,” ujarnya.

Tambahnya, selain mengisi masa lapang, mengait juga boleh memberikan sumber pendapatan sampingan.

Dalam pada itu, Nur Nabila turut berkongsi empat tip asas kepada mereka yang sememangnya berminat hendak cuba mengait di rumah.

1) Ketahui perbezaan antara saiz jarum yang ingin digunakan. Saiz jarum terbahagi kepada dua jenis iaitu jarum kait dua (knitting) dan jarum kait satu (crochet). Bagi seseorang yang baru mencuba, digalakkan untuk menggunakan jarum yang bersaiz antara 4.0 milimeter hingga 5.0 milimeter. Sekiranya sudah mahir, tiada masalah untuk menggunakan saiz jarum yang lain mengikut keselesaan masing-masing.

2) Pemilihan benang juga amat penting memandangkan ia boleh didapati dengan mudah mengikut jenis ketebalan dan tekstur yang berbeza walaupun diperbuat daripada material yang sama. Hal ini kerana, semakin tebal benang, semakin besar saiz jarum yang digunakan.

3) Cara memegang jarum juga memainkan perana penting. Jarum mestilah dipegang sama seperti anda memegang pensel dan perlu diingatkan lekuk pada jarum mestilah menghadap ke muka. Jika jarum ini dipegang dalam kedudukan yang salah, ia akan mengalami satu proses yang susah bagi mereka yang baru mencuba.

4) Diingatkan untuk sentiasa berlatih dengan jahitan yang asas bagi membiasakan diri dengan mengait. Ia juga dapat mendidik diri supaya bersabar dalam setiap proses pembelajaran mengait.

Artikel berkaitan

7 tip tarik minat anak-anak belajar subjek Matematik

Ben kongsi tip bermain boling

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi kongsi 7 tip elak diri daripada dibuli


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok