10
10

Kegigihan kumpulan guru SRA Puncak Alam cipta inovasi Plaza tol RaPuSa tarik perhatian ramai. Apa rahsia mereka?

Roshlawaty Md Raieh
15 Nov 2021 06:47pm
A
A
A

Pengurusan Sekolah Rendah Agama (SRA) Puncak Alam, Selangor, memahami akan kesulitan yang dihadapi murid-murid berkenaan subjek Bahasa Arab.

Untuk itu, dalam usaha membantu mereka, maka lahirlah inovasi Plaza tol RaPuSa iaitu satu teknik meningkatkan kemahiran murid menukar kalimah kepada nombor, bagi subjek Bahasa Arab.

Ustazah Munera Hashim yang merupakan pencetus kepada penghasilan Plaza tol RaPuSa berkata, inovasi berkenaan mampu membantu murid mengatasi masalah yang mereka hadapi.

“Plaza tol RaPuSa dapat menolong murid mengatasi kekeliruan bagi rumah ratus, puluh dan sa pada bab Nombor dan Bilangan di dalam subjek Bahasa Arab.

“Ia juga memberi manfaat kepada guru dan murid supaya mudah menerima isi pelajaran dengan baik dari segi bahan bantu mengajar dan motivasi murid,” katanya kepada Sinar Bestari.

Bagi mengembangkan lagi inovasi Plaza tol RaPuSa ke arah yang lebih baik, satu penggubahan idea telah dilakukan bersama barisan guru yang terpilih.

“Seramai lapan guru termasuk saya telah menubuhkan pasukan i-SRAPA yang terdiri daripada Ustazah Jamaliah Salleh (Guru Besar), Ustazah Usmifadhlina Mohd Yunos, Ustazah Noorhafizah Shapeei, Ustazah Fatimah Nor Badrun Hisam, Ustazah Nurul Akmal Mohd Zaki, Ustaz Muhammad Bahirul Hayat Masduki dan Ustaz Muhammad Fateh Abdul Muthalib,” kata Ustazah Munera.

Pasukan i-SRAPA yang terdiri guru SRA Puncak Alam.

Inovasi Plaza tol RaPuSa

Semua murid pasti suka akan permainan yang berkonsepkan kenderaan. Kerana itu, Plaza tol RaPuSa dijadikan sebagai alat permainan untuk murid-murid mudah memahami.

Berikut adalah penerangan berkenaan teknik permainan bagi inovasi tersebut.

a) Plaza: tiga bangunan yang di bina

b) Tol: tiap murid perlu hafaz nombor صفر hingga تِسْعَةٌ (٠-٩). Objektifnya untuk murid mengenal rumah ratus, puluh dan sa.

Kemudian, lihat dan kenal warna lampu isyarat (merah, hijau dan kuning).

a) RaPuSa (nombor) PuSaRa (kalimah)

Ra: Rumah Ratus

Pu: Rumah Puluh

Sa: Rumah Sa

Seterusnya, Plaza tol RaPuSa mempunyai enam kata kunci utama iaitu Signboard, Destination Target, Plaza Bil, Number Bil, Roll Touch dan Resit.

Dalam pada itu, menurut Ustazah Munera, terdapat lima kelebihan inovasi ini yang telah menjadi johan Seminar Kajian Tindakan dan Inovasi Pendidikan peringkat Daerah Kuala Selangor, JAIS pada tahun 2017.

Kelebihannya adalah:

1) Mudah dibawa dan digunakan serta sesuai dengan semua peringkat umur tanpa mengira bangsa dan agama.

2) Menjimatkan kos, operasi, masa, wang dan perlaksanaan serta sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPC) dapat dijalankan dengan mudah dan berkesan.

3) Membantu ramai orang memperkayakan pelbagai bahasa dalam kehidupan terutama dalam sistem jual beli.

4) Dapat mengubah emosi dan meningkatkan motivasi yang tinggi. Ia juga membantu perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor dengan lebih baik dan seimbang.

5) Memudahkan murid mendalami ilmu al-Quran dan hadis kerana isi kandungan al-Quran terdapat nombor dan bilangan seperti di dalam Surah An-Nisa’ ayat 3 (Munkahat), Surah An-Nisa ayat 11 (Faraid) dan Surah An-Nur ayat 2 (Jinayat).

Sementara itu, guru-guru dan ibu bapa telah memberi sokongan yang berterusan terhadap inovasi Plaza tol RaPuSa ini.

Pihak lain seperti PIBG SRA Puncak Alam dan Unit Pendidikan Islam, Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor pula turut melahirkan rasa bangga dan tidak henti-henti memberi sokongan kepada barisan guru-guru KAFA yang berjaya menghasilkan produk inovasi yang hebat dan unik itu.

Artikel berkaitan

Idea bernas tiga pelajar ini tarik perhatian juri sehingga diumum sebagai pemenang. Betullah, rezeki tak pernah salah alamat!

Mendidik dan berfikir melalui hati: Mendasari kajian kes dari sudut pandangan seorang pendidik

Guru interim berjaya temu duga SPP bakal dapat lantikan secara tetap


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok