Web-Tatler-Magazine-4-1
Web-Tatler-Magazine-4-1

Kelestarian pembelajaran di Green School, Bali

Adlan Farhan Azwan
27 Dec 2021 05:02pm
A
A
A

Bayangkan sebuah sekolah tanpa tembok, ditambah dengan suasana yang merangsang deria dan rasa ingin tahu semula jadi kanak-kanak, dan tempat di mana inovasi, kreativiti serta pembelajaran digalakkan.

Matlamat Green School Bali adalah untuk membantu kanak-kanak belajar dengan menjalankan perbincangan pelajar yang bermakna, mengalami pertumbuhan harian secara menyeluruh dan merasai kegembiraan menjadi sebahagian daripada komuniti pelajar yang bertenaga.

Terletak di dalam hutan di Bali, Indonesia, sekolah ini merupakan bangunan mesra alam yang menyediakan pendidikan swasta dan antarabangsa bermula dari pra-tadika hingga sekolah menengah.

Premis sekolah yang terdiri daripada bangunan tiga tingkat itu dibina oleh tukang kayu dari negara Jerman, Jorg Stamm dan pengukir dari Switzerland, Aldo Landwehr dengan jumlah binaan seluas 140,092 kaki persegi.

Green School Bali, yang terletak di sepanjang Sungai Ayung, sungai terpanjang di Bali, menyediakan pendidikan holistik berunsurkan kehijauan kepada lebih 200 kanak-kanak berumur tiga hingga 18 tahun dari 40 negara, termasuk Indonesia.

Kredit Foto: Green School Bali

Pelajar di sini akan mempelajari mata pelajaran tradisional seperti Matematik, Sains dan bahasa yang diletakkan dalam konteks situasi kehidupan sebenar, dengan kurikulum yang dibina menggunakan matlamat pembangunan lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai panduan.

BACA JUGA: Sekolah di UK perkenalkan kamera pengecaman muka di kantin untuk transaksi makanan

BACA JUGA: Inspirasi! Ramai yang nak tahu bagaimana pasukan inovasi KV Sungai Petani 2 menang besar di Indonesia. Ini kata pengarahnya…

Diasaskan oleh John Hardy dan isterinya, Cynthia, pada tahun 2008, Green School Bali diwujudkan bagi membentuk komuniti pelajar yang akan menjadikan dunia ini lebih mampan. Dia juga mahu mencari cara baharu untuk mendidik kanak-kanak, cara yang berunsurkan alam sekitar dan menawarkan peluang yang relevan untuk pelajar pada masa hadapan," kata John.

Kredit Foto: Green School Bali

Pembelajaran di Green School

Kurikulum di sekolah ini merangkumi segala-galanya di dalam dan luar bilik darjah. Green School percaya pembelajaran adalah paling berkesan apabila ia nyata sekali gus membolehkan pelajar mengembangkan idea dan isu dunia sebenar dengan fokus yang dipacu misi serta rangka kerja yang mampan untuk kemajuan.

Sekolah ini menggabungkan pembelajaran berasaskan pengalaman dalam mata pelajaran seperti alam semula jadi, kelestarian dan ekologi, serta mata pelajaran akademik tradisional seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris dalam kurikulum Cambridge.

Di sinilah pelajar akan berpeluang untuk menjalani perkembangan peribadi dan akademik melalui kurikulum holistik yang dibangunkan di rumah, sementara guru pula menumpukan pada kemahiran mengajar dan nilai yang menggalakkan tindakan serta interaksi yang bermakna.

Sekolah ini turut mempunyai kedua-dua guru tempatan dan antarabangsa.

Green School Bali percaya dalam memberi peluang kepada pelajar mengambil peranan aktif dalam mencipta pembelajaran mereka bersama guru dan tidak menjadikan guru berkuasa secara mutlak. Ini bermakna pelajar dibenarkan untuk mengikuti topik yang menarik minat mereka.

Dari segi struktur bangunan di kampus, ia dibuat daripada buluh, disebabkan ketahanan dan bersifat serba boleh. Bumbungnya dibentuk secara berpusing antara satu sama lain dan disokong oleh tiga menara buluh gergasi. Sekolah ini juga menempatkan penjana vorteks berkuasa hidro, panel solar, ruang perhimpunan, bilik persidangan, bilik darjah, kafe, pejabat serta dapur dan gimnasium.

Kredit Foto: Green School Bali

“Kami bekerjasama dengan tukang tempatan untuk membina lebih daripada 100 bangunan buluh, termasuk Heart of School seperti katedral yang kekal sebagai hab pusat di kampus. Sekolah buluh kami dijangka bertahan selama 100 tahun dan akan menjadi model untuk generasi akan datang, " kata John.

Ikuti GPSBestari di Twitter dan Facebook

Setiap bilik darjah di sekolah itu terdiri daripada astaka buluh dengan bumbung rumput alang alang dan meja buluh, kerusi dan tandas kompos. Pelajar turut menggunakan kecapi buluh untuk belajar muzik dan bermain sukan di dalam pagar buluh.

Pembelajaran dijalankan di dalam bilik darjah yang diperbuat daripada buluh tanpa dinding, memberikan pengalaman pendidikan yang unik dan luar biasa untuk pelajar.

Sumber: The Edge Markets

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok