airiel3
airiel3

Airiel Haziq mahu jadi arkitek, hasilkan lukisan seni bina kerana minat

Nor Azma  Muhamat Laila
21 Feb 2022 01:22pm
A
A
A

Luar biasa. Itulah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan bakat yang dimiliki pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah, Airiel Haziq Mohd Hardy, 14, apabila berjaya menghasilkan pelbagai reka bentuk seni bina meskipun masih bergelar pelajar sekolah.

Bukan saja mampu menghasilkan lukisan seni bina dan model lakaran dalam bentuk 3D seperti arkitek profesional, Airiel Haziq turut diberikan kepercayaan oleh ibu dan ayahnya untuk mereka bentuk dapur basah yang ingin diubah suai.

Tidak cukup dengan itu, kebolehan yang dimiliki anak sulung daripada dua adik-beradik itu turut membuka peluang kepada dirinya untuk mengetengahkan lagi bakat yang ada apabila diminta menghasilkan satu rekaan terowong untuk dijadikan Galeri Sains dan Tamadun Islam oleh pihak pengurusan sekolah rendahnya iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Uda.

Bercerita lebih lanjut mengenai minatnya dalam bidang seni bina, Airiel Haziq berkata, semuanya bermula apabila dia sering teruja setiap kali melihat bangunan-bangunan pencakar langit yang mengetengahkan seni bina moden.

“Pada saya, betapa hebatnya seorang arkitek itu melalui idea seni bina yang pada asasnya hanyalah sebuah lakaran sebelum direalisasikan ke proses seterusnya lalu bergabung bersama jurutera bagi menjadikan rekaan itu satu kenyataan.

“Minat melukis itu memang ada sejak dari kecil lagi tetapi sewaktu berumur 10 hingga 11 tahun, kecenderungan melukis banyak ke arah menghasilkan lukisan seni bina dan setiap lukisan dibuat selalunya mempunyai unjuran perspektif kerana suka melihat garisan-garisan lakaran yang bertemu seterusnya mewujudkan dimensi berlainan.

Minat bidang seni bina

“Berikutan minat yang amat mendalam dengan seni bina bangunan ini juga, saya sering kali mengajak ibu bapa berkunjung ke galeri-galeri penjualan rumah mahupun bangunan untuk meneliti setiap aspek dibuat oleh arkitek dengan mengambil tahu konsep terkini, bahan digunakan, ukuran berdasarkan piawaian dan juga kerja-kerja kejuruteraan ketika proses pembinaan bermula,“ katanya kepada Sinar Bestari.

Ditanya adakah dia pernah mendapat bimbingan pendidikan secara formal dalam bidang lukisan seni bina, arkitek cilik yang dilahirkan di Alor Setar itu berkata, pada mulanya dia hanya belajar sendiri dengan mencari segala informasi berkaitan menerusi YouTube.

“Selebihnya saya banyak meminta pandangan dan bertanyakan soalan kepada bapa. Apabila melihat saya sering membuat rujukan di internet, ibu bapa membelikan saya buku-buku seni bina yang mana kebanyakannya digunakan oleh pelajar menengah teknik serta pengajian tinggi.

 

“Ayah turut membelikan komputer dan peralatan khusus yang digunakan untuk menghasilkan lukisan perspektif atau kejuruteraan supaya hasil karya dapat diterjemahkan dengan lebih baik,“ ujarnya yang menjadikan arkitek tersohor dunia, Zaha Hadid sebagai idola.

Sokongan dan cabaran

Sejak menyambung persekolahan di peringkat menengah, bakat Airiel Haziq yang pernah tular sebelum ini semakin menyerlah malah mendapat perhatian ramai mahasiswa dan tenaga pengajar dari universiti tempatan yang memberikan sokongan, galakan dan tunjuk ajar melalui perkongsian maklumat.

“Insya-ALLAH, atas dorongan dan galakan ibu bapa serta semua yang menyokong, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mengejar cita-cita sebagai seorang arkitek.

“Tumpuan utama haruslah pada pelajaran dan saya tahu tanggungjawab tersebut. Oleh itu saya membuat jadual waktu untuk memudahkan pengurusan masa kerana selain minat bidang seni bina, saya juga aktif dalam sukan taekwondo,“ kongsinya.

Seperti kebanyakan pelajar lain yang punya minat tersendiri, Airiel Haziq juga turut berdepan cabaran iaitu kos peralatan agak mahal kerana perlu menggunakan komputer atau komputer riba berprestasi tinggi untuk memenuhi aplikasi perisian yang digunakan.

“Buat masa ini, lukisan yang saya hasilkan agak terhad untuk merencanakan aspek butiran dan perincian seni bina kerana komputer sedia ada tidak dapat menampung jumlah perisian yang tinggi.

“Buat rakan-rakan yang berminat untuk menceburi bidang seni bina ini, jangan mudah putus asa.

"Mulakan dengan apa yang kita ada, kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan dan rajinkan diri mendapatkan maklumat berkaitan seni bina,“ tuturnya mengakhiri perbualan.

PROFIL

Nama penuh : Airiel Haziq Mohd Hardy

Tarikh lahir : 16 Ogos 2008

Pencapaian: Johan peringkat negeri, kategori (The Article Trailer for Secondary Schools)

The Kedah English Cyberspace Challenge 2021

Johan peringkat kebangsaan, kategori Article Trailer Competition (secondary)

English Cyberspace Challenge - National Level 2021

Pingat emas 1st RTS Virtual International Club Taekwondo Poomsae Championship 2021 yang disertai enam buah negara

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok