cekap kawal tin cat semburan skil
cekap kawal tin cat semburan skil

Cekap kawal tin cat semburan, skil wajib diperlukan untuk menjadi seorang pelukis grafiti yang berjaya

Rasyidah ZulkifiRasyidah Zulkifi
13 Sep 2022 03:08pm

Seni grafiti yang semakin popular hari ini merupakan medium serta kaedah anak seni menyampaikan idea juga ekspresi diri.

Lazimnya, dunia seni ini didominasi golongan lelaki, bagaimanapun ia turut mendapat perhatian dalam kalangan kaum wanita.

Nur Liyana Amiruddin, 31, merupakan salah seorang pelukis grafiti tempatan yang berbakat besar.

Mesra disapa Lana, anak kelahiran Kedah ini sudah berkecimpung dalam bidang grafiti sejak 2017.

Namun begitu, dia sebenarnya ‘terjebak’ dalam dunia seni lukis pada tahun 2014 tetapi ketika itu dia melukis menggunakan warna cat di atas kanvas.

Bertitik tolak dari situlah, lama-kelamaan Lana memperoleh kekuatan sehinggalah mampu menjadi pelukis grafiti berkat sokongan padu daripada seniornya.

Sehubungan itu, baru-baru ini Sinar Bestari berpeluang menemu bual Lana mengenai prospek pekerjaan ini.

Menurutnya, lakaran grafiti tertumpu kepada huruf dan karakter, begitupun dia lebih cenderung dan meminati huruf.

Ujarnya lagi, komuniti grafiti yang ada hari ini bukanlah komuniti yang memberi masalah kepada masyarakat, dan disebabkan itu setiap artis mahu memperkenalkan seni ini kepada umum.

“Buktinya hari ini seni grafiti semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan tidak lagi dipandang serong.

“Walaupun untuk menghasilkan sesuatu grafiti itu memerlukan pengorbanan yang banyak tetapi ia berbaloi.

“Yang pasti, hasil tangan kita dapat berjayadipaparkan kepada umum dan hari ini ia juga dilihat sebagai satu kerjaya yang mampu menjana pendapat lumayan,” jelas anak sulung daripada tiga beradik ini.

Kemahiran tangan

Melihat kepada hasil yang telah siap, tidak dinafikan untuk menghasilkan sesuatu grafiti kemahiran tinggi diperlukan.

Jadi kemahiran yang dimaksudkan itu adalah kemampuan tangan mengendalikan tin cat semburan kerana setiap penyemburnya berbeza.

“Dalam grafiti, terdapat teknik-teknik tersendiri untuk membuat lukisan tebal atau nipis yang mana saya masih belajar sehingga ke hari ini.

“Dalam masa setahun, kalau betul-betul berlatih, kita boleh menjadi seorang pelukis grafiti yang mahir, janji kekalkan momentum,” tuturnya lanjut.

Menurutnya, melukis di atas kertas tidak mencukupi kerana grafiti sememangnya perlu dicoretkan pada dinding.

“Walaupun saya seorang wanita, segala ukisan grafiti dihasilkan sendiri tanpa bantuan orang lain untuk mengekalkan keaslian karya seni saya,” tambahnya yang tidak pernah mendapat kritikan baik dari penganjur, mahupun orang awam.

Saluran yang betul

Oleh itu, untuk menjadi seorang pelukis grafiti yang berjaya, Lana menasihati para pelajar agar bijak memilih saluran yang betul.

“Bila bercakap mengenai grafiti, perkara ini sudah jadi tabu, orang ramai akan memahaminya sebagai satu bentuk vandalisme.

“Cuma vandalisme ini lebih kepada seni jalanan yang bertujuan untuk meluahkan kemarahan melalui cara yang diharamkan oleh pihak berkuasa.

“Namun, kalau adik-adik berminat dalam bidang ini, belajar dari ‘orang lama’ dan hadiri bengkel yang dianjurkan Balai Seni Negara,” jelasnya.

Pengajian tinggi sebagai nilai tambah

Sambungnya lagi, sekiranya pelajar-pelajar mempunyai pengetahuan asas tentang seni, ia sebenarnya membantu untuk menjadi seorang pelakar grafiti yang berjaya.

“Ini memudahkan adik-adik untuk memahami elemen di belakang tabir dan apa juga mesej yang hendak dibawakan dalam karya seni itu.

“Macam perkara-perkara asas seperti ‘shadow’, ia amat membantu. Memang orang nampak melukis itu mudah tapi hendak menitikberatkan sesuatu struktur itu bukan senang,” katanya yang menggalakkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pengajian kerana menyifatkan ia mampu memberikan nilai tambah untuk lukisan grafiti yang bakal dihasilkan nanti.

Berbicara mengenai mural pula, Lana memberitahu gaya lukisan yang dilakarkan pada dinding adalah lebih umum dan lazimnya ia mengikut tema, motif atau corak seperti abstrak dan ‘pop art’.

Katanya lagi, setiap mural yang dihasilkan mempunyai penceritaannya yang tersendiri tetapi berkongsi objektif yang sama dengan grafiti iaitu menjadi penyeri pada dinding bangunan awam.

Yang pasti, sama ada seni lukis mural atau grafiti, kedua-duanya menjurus kepada gabungan karya seni.

Artikel berkaitan

Mile kongsi 8 tip untuk menjadi pelukis grafiti dan mural berjaya 

Sentuhan karya grafiti guru ini cukup luar biasa 

Karya grafiti membawa Katun menjelajah dunia


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp