PENGAKAP-LAUT-SINARBESTARI-2022 (1)
PENGAKAP-LAUT-SINARBESTARI-2022 (1)

Pengakap Laut dilengkapi kemahiran kepelautan. Keselamatan dan kelangsungan hidup di laut menjadi keutamaan

nadzarul.amir
19 Dec 2022 03:20pm
A
A
A

Malaysia merupakan sebuah negara yang dikelilingi kawasan lautan dan ia berpotensi besar untuk dibangunkan serta melaksanakan aktiviti Pengakap Laut.

Justeru, tidak hairanlah jika Pengakap Daerah Kuala Terengganu mengatur pelbagai program melibatkan aktiviti-aktiviti air dalam memberi pendedahan kepada ahli-ahlinya mengenai kemahiran kepelautan.

Bahkan, kemahiran itu adalah antara elemen utama Pengakap Laut yang merupakan cabang Persekutuan Pengakap Malaysia.

Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah (Unit Pengakap Kelana), Daerah Kuala Terengganu, Ahmat Yazid Maliki berkata, setiap individu bergelar Pengakap Laut perlu melengkapkan diri mereka dengan kemahiran yang berkaitan dengan laut.

Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah (Unit Pengakap Kelana) Daerah Kuala Terengganu, Ahmat Yazid Maliki.

"Ia berikutan aktiviti-aktiviti unit berunifrom ini banyak berkisar dengan aktiviti air, malah merupakan satu keutamaan memahirkan diri masing-masing.

"Pengakap Daerah Kuala Terengganu banyak melaksanakan program yang melibatkan aktiviti-aktiviti air," katanya.

Jelas beliau, antaranya termasuk berkayak, water rafting, belayar dan selam skuba.

Katanya lagi, terdapat dua ahli Pengakap Daerah Kuala Terengganu memiliki lesen selam skuba memudahkan lagi program tersebut dilaksanakan.

"Selain itu, mereka juga memberi pendedahan kepada ahli-ahli dalam pengendalian bot, mengendali kapal layar dan keselamatan air serta survival di laut.

"Kami bertuah kerana Terengganu memiliki lautan luas dan pulau-pulau menarik untuk diterokai serta melaksanakan pelbagai aktiviti air. Ia sekali gus memberi peluang dan pendedahan kepada ahli-ahli menambah lagi kemahiran Pengakap sedia ada yang mereka miliki selama ini," ujarnya.

Ahmat Yazid berkongsi beberapa kemahiran yang perlu dimiliki Pengakap Laut kepada pembaca Sinar Bestari.

Keyakinan dalam air (water confidence)

Pengakap Laut perlu memiliki kemahiran keyakinan dalam air kerana kebanyakan aktiviti-aktiviti unit pasukan beruniform ini melibatkan air.

Justeru, keyakinan tersebut akan memberi kelebihan kepada ahli-ahli Pengakap Laut terutama apabila berdepan dengan situasi tidak diduga agar tidak panik, sekali gus dapat mengawal keadaan dengan baik.

Selain itu, mereka juga perlu mahir dalam aktiviti berenang kerana ia dapat membantu ketika waktu kecemasan.

Persekutuan Pengakap Malaysia, tidak akan dapat lari daripada mempelajari kemahiran simpul dan ikatan.

Simpul dan ikatan

Sebagai ahli Persekutuan Pengakap Malaysia, mereka tidak dapat lari daripada mempelajari kemahiran simpul dan ikatan.

Pelbagai jenis simpul dan ikatan perlu dipelajari untuk memastikan segala aktiviti yang dilaksanakan berjalan lancar.

Antaranya termasuk buka sila (reef knot), bunga geti (sheet bend), simpul manuk (clove hitch), tindih kasih (bowline), ikat seraya (square lashing), lilit balak (timber hitch) dan banyak lagi.

Malaysia merupakan sebuah negara yang dikelilingi kawasan lautan dan ia berpotensi besar untuk dibangunkan serta melaksanakan aktiviti Pengakap Laut.

Pengurusan risiko

Kemahiran pengurusan risiko lebih tertumpu kepada pemimpin ataupun guru-guru yang bertindak menyelia pasukan Pengakap Laut terutama di sekolah-sekolah ataupun peringkat universiti.

Mereka perlu mengetahui dengan terperinci apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa melakukan aktiviti-aktiviti melibatkan air.

Kemahiran pelautan merangkumi perkara-perkara yang diperlukan untuk menjadi seorang pelaut.

Kemahiran kepelautan

Kemahiran ini merangkumi perkara-perkara yang diperlukan untuk menjadi seorang pelaut.

Justeru, Pengakap Laut perlu melengkapkan diri dengan ilmu laut termasuk mengetahui jadual air pasang surut laut, kenal simbol-simbol yang terdapat pada carta laut, pengendalian bot dan enjin, menerangkan unsur tiupan angin serta pergerakan arus.

Selain itu, mereka perlu mengetahui cara asas komunikasi di laut dengan menggunakan abjad fonetik, kod morse dan mengenali bendera abjad yang biasa digunakan di kapal.

Keselamatan air dan survival di laut

Sebagai Pengakap Laut, mereka perlu peka dengan keadaan sekeliling dan mengetahui tugas yang diamanahkan apabila berada di lautan ataupun sungai.

Mereka juga perlu mempunyai minat dan tahu berenang. Ini kerana keselamatan menjadi keutamaan apabila melakukan aktiviti air.

Artikel berkaitan

80 murid unit beruniform jayakan perkhemahan sekolah pedalaman di Sabah

Nursafiy aktif selam skuba, semangat meneroka keindahan hidupan laut dalam

Aktiviti kokurikulum bantu bentuk kemahiran insaniah pelajar


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok