Untitled design (37)
Untitled design (37)

Perlu banyak pendedahan di peringkat sekolah

Azleenda Sahaludin
30 Nov 2022 03:45pm
A
A
A

Walaupun hanya mempelajarinya secara teori dan kadangkala mempraktikkan teknik ringkas dalam menghasilkan batik, ia bukanlah alasan untuk Nur Farah Adeeba Zulkiflee mendalami ilmu seni itu kerana keunikannya.

Dia yang mesra disapa Farah mengatakan, seni batik merupakan salah satu silibus dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual (PSV) dan peluang untuknya mempelajari seni warisan itu.

“Di sekolah, selain teori, kami (pelajar) juga diberi peluang untuk mencuba teknik mencanting batik.

“Kami turut diberi peluang menghasilkan baju batik dengan menggunakan teknik batik celup yang sememangnya ada dalam silibus PSV Tingkatan Empat dan Lima,” katanya kepada Sinar Bestari ketika ditemui baru-baru ini.

Membentuk kreativiti

Pendidikan seni batik dalam PSV adalah untuk melatih serta membentuk kreativiti pelajar-pelajar dengan pelbagai imaginasi bagi menggalakkan perkembangan persepsi dan daya intuisi.

Bagi pelajar Tingkatan Empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 6, Bandar Pusat Jengka, Pahang, pendedahan seni batik dalam sesi pembelajaran membantu dirinya dan kawan-kawan lain tampil dengan idea baharu dalam apa jua penghasilan yang melibatkan seni.

“Memandangkan seni batik mempunyai keunikan yang tersendiri, ia juga mendorong idea baharu kepada kami (pelajar) untuk lebih kreatif dalam menghasilkan karya seni terutamanya ketika menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” ujarnya.

Selain itu, Farah turut menjelaskan, seni batik yang diterapkan di sekolah adalah lebih kepada huraian tentang prinsip asas, jenis, motif, alatan, bahan serta proses yang digunakan dalam menghasilkan batik secara teori.

Namun begitu, terdapat juga beberapa cabaran yang perlu ditempuh dalam mempelajari ilmu seni tradisional ini.

Pendedahan yang terhad

Seni batik peringkat sekolah menengah tidak diberi pendedahan yang mendalam kerana beberapa faktor antaranya kos yang tinggi.

Ini kerana ujar Farah, seni itu memerlukan peralatan yang khusus seperti canting dan lilin.

“Disebabkan ini kami lebih banyak mempelajarinya secara teori yang ada dalam buku teks.

“Cuma ada ketika, kami diberi peluang untuk menghasilkan batik celup kerana kosnya yang lebih murah berbanding batik canting,” jelasnya.

Tambah Farah lagi, dia tidak menolak sekiranya diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana dalam bidang seni batik.

“Ia adalah satu peluang untuk saya mendalami ilmu seni tradisional ini memandangkan hanya sedikit sahaja pendedahan di peringkat sekolah menengah.

“Pada pendapat saya, dalam usaha untuk menaikkan nama batik dalam kalangan semua peringkat umur ia perlu dimulakan di peringkat sekolah rendah dan menengah,” ujarnya.

Mengikut silibus yang dikeluarkan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dalam subjek PSV, seni batik sekolah menengah menjelaskan empat jenis batik yang dipelajari.

  1. Batik skrin

Batik skrin merupakan satu proses yang merujuk kepada kaedah melakar corak atau motif dengan kaedah menerapkan warna yang berbeza mengikut kreativiti masing-masing. Corak atau motif ini dibentuk di atas skrin yang diperbuat daripada kain polyester yang akan dilekapkan di atas kain putih. Selain itu, batik skrin ini juga banyak digunakan kerana prosesnya menjimatkan masa dan tenaga.

2) Batik lukis/canting

Batik ini merujuk kepada proses melukis corak atau motif secara bebas dan tidak terikat. Batik lukis juga mempunyai pelbagai corak dengan keunikan yang tersendiri. Di Malaysia, kebanyakan corak batik yang digunakan adalah corak bunga. Dalam proses ini, terdapat dua peralatan yang digunakan iaitu canting dan lilin. Canting bertujuan melakar corak dengan lilin panas di atas permukaan kain. Setelah itu, proses mewarna dilakukan mengikut kesesuaian corak dan bahagian yang terkena lilin tidak akan meninggalkan kesan warna apabila proses mematikan warna dilakukan.

3) Batik cop

Batik cop atau batik tekap adalah antara kraf tradisional yang terkenal di negeri pantai timur, khususnya Terengganu. Batik ini turut dipelajari di sekolah dengan memberi pendedahan tentang kaedah dalam menghasilkan batik menggunakan alat cop yang diperbuat daripada logam atau tembaga. Tambahan pula, penghasilan batik ini perlu melalui proses berulang dengan mencelupkan alat cop ke dalam pewarna terlebih dahulu sebelum menerapkannya pada permukaan kain mengikut susunan tertentu.

4) Batik ikat celup/Pelangi

Selain daripada jenis batik yang disenaraikan, batik ikat celup adalah antara batik yang tidak memerlukan kos yang tinggi untuk dihasilkan dan ia banyak dipelajari di sekolah kerana kaedahnya yang senang dilakukan. Batik ikat celup adalah batik yang dihasilkan dengan mencelup kain ke dalam pewarna beberapa kali bagi menghasilkan corak. Kebiasaannya, kain akan dicelup dengan warna cerah terlebih dahulu, diikuti dengan warna yang semakin gelap. Ini bertujuan mengelakkan sebarang campuran antara warna sehingga menjejaskan kualiti penghasilannya. Dalam pada itu, untuk mengelakkan campuran warna terjadi, kain hendaklah diikat atau dililit dengan menggunakan tali atau getah.

Artikel berkaitan

Graduan cemerlang IKN promosi seni batik guna Tiktok

Natasha Farhana kongsi teknik asas batik canting

6 tip pembuatan kostum yang selesa


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok