CANTING-SINARBESTARI-2022
CANTING-SINARBESTARI-2022

Natasha Farhana kongsi teknik asas batik canting

nadzarul.amir
09 Nov 2022 03:10pm
A
A
A

Pembuatan batik canting melalui proses agak lama dan bersifat tradisional menjadikan produk keluaran tempatan itu agak eksklusif.

Bahkan, rekaan yang diterjemahkan pada permukaan kain putih, menampilkan nilai-nilai seni tersendiri mengikut kreativiti pembuat batik.

Natasha Farhana Abd Halim, 20, berkata, pembuatan batik canting memerlukan daya kreativiti dan tahap kesabaran yang tinggi.

Begitupun, pelajar jurusan Diploma Seni Kraf Batik, Institut Kraf Negara (IKN) itu menjelaskan, ia tidak menghalang penggiat dan pencinta batik canting terus berkarya.

Untuk itu, Natasha Farhana berkongsi lima tip asas dalam pembuatan batik canting bersama pembaca Sinar Bestari.

1) Bingkai dan kain putih

Sebelum memulakan proses mencanting batik, terlebih dahulu perlu menyediakan bingkai dan kain putih. Bingkai bertindak meregangkan kain mengikut saiz ukuran produk akhir manakala kain boleh dipilih daripada fabrik kapas ataupun sutera.

2) Panaskan lilin putih dan rozin

Selain itu, lilin putih dan rozin merupakan bahan penting dalam penghasilan karya batik canting. Kedua-dua bahan tersebut akan 'dimasak' menggunakan set dapur sehingga cair dan sebati sebelum mencelup canting dalam penghasilan rekaan corak pada permukaan kain putih. Bagaimanapun, campuran tidak boleh terlalu panas ataupun sejuk bagi memudahkan proses mencanting nanti.

3) Alat Canting

Alat canting merupakan medium penghalang warna untuk melakar motif dan reka corak di atas permukaan kain. Ia terbahagi kepada tiga saiz iaitu S, M dan L akan menterjemahkan olahan seni batik. Pemilihan saiz canting bergantung kepada pereka batik mengikut kesesuaian lakaran corak pada permukaan kain dalam memastikan kemasan produk akhir. Proses mencanting perlu dilakukan dengan teliti dan kemas, cairan campuran lilin serta rozin pada kain tidak boleh terlalu nipis kerana akan menyebabkan proses mewarna 'bocor' sehingga menjejaskan batik.

4) Proses mewarna

Serbuk warna jenama Remazol menjadi pilihan dalam pembuatan kain batik dan perlu dibancuh dahulu sebelum proses mewarna. Pastikan lilin kering sepenuhnya pada kain sebelum memulakan proses mewarna.

5) Jemur dan proses silikat

Selepas kering, kain akan dijemur selama 10 minit di bawah pancaran matahari. Bagi 'mematikan' warna tersebut, proses silikat menggunakan sodium silicate akan dilakukan selama 5 hingga 6 jam bergantung kepada saiz kain. Ia akan dibasuh dan direbus untuk meninggalkan lilin sebelum dijemur sekali gus boleh melihat produk akhir.

Artikel berkaitan

Graduan cemerlang IKN promosi seni batik guna Tiktok

Jom Masuk IKN, buka peluang pelajar sambung pengajian dalam bidang seni dan kraf

Hargai seni tenunan, ini pesanan Cikgu Amin untuk semua murid


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok