Perluas program vokasional, beri kemahiran kepada lepasan PT3
Bagi memberikan peluang kepada lebih ramai pelajar Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mendapatkan pelbagai kemahiran, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) berharap Kementerian Pendidikan (KPM) agar memperluaskan Program Vokasional Menengah Atas (PVMA).
Timbalan Pengarahnya, Zaidi Ishak, berkata kesempatan itu dapat membantu pelajar yang mendapat keputusan kurang baik dalam PT3 daripada keciciran akademik.
Tambahnya, setakat ini, kira-kira 29 sekolah aliran vokasional yang menawarkan PVMA dan empat sekolah menawarkan kursus kemahiran estetik di Negeri Sembilan.
Antaranya, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Ampuan Najihah (SMKTAN), SMK Puteri dan SMK Taman Tuanku Jaafar dan SMK Tunku Kurshiah.
“Konsep JPNS adalah bagi memastikan tiada pelajar yang tertinggal dan mana-mana pelajar yang kurang berjaya dalam akademik, mereka memerlukan sokongan kita supaya dapat menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran.
“Dengan memperluaskan PVMA ini di kebanyakan sekolah, cara ini dilihat mampu memupuk minat lepasan PT3 untuk terus datang ke sekolah.
“Insya-ALLAH kita akan menambah lagi bilangan kursus PVMA ketika ini kepada lebih dari 29 sekolah sekiranya terdapat peruntukan atau geran,” ujarnya pada Karnival Kerjaya Estetik dan Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi Rakan Strategik di SMKTAN.
Mengulas lanjut, Zaidi berkata, KPM sudah meletakkan penanda aras agar tiada pelajar-pelajar yang tertinggal untuk mendapatkan kemahiran dan ilmu sepanjang berada di sekolah.
Ulasnya lagi, JPNS juga boleh menambah bilangan pelajar sekiranya mendapat permintaan yang tinggi terhadap bidang estetik yang kini hanya dihadkan kepada 25 pelajar.
Artikel berkaitan
Kemahiran digital SK Dato’ Wan Kemara raih pengiktirafan antarabangsa
Mansuh PT3, KPM perkasa pelaksanaan PBS
Pelajar aliran vokasional bakal penuhi keperluan industri