9F7A402B-5B88-461D-AE9D-DE0AE678F483
9F7A402B-5B88-461D-AE9D-DE0AE678F483

Kepentingan tablet dalam penggunaan pembelajaran di sekolah

Rasyidah Zulkifi
05 Feb 2022 10:38am
A
A
A

Di negara kita, penggunaan tablet dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mula diuar-uarkan ketika wabak Covid-19 memburuk.

Kini, para pelajar sudah mula bersekolah seperti biasa dan mereka kembali menjalani PdP secara konvensional.

Kebergantungan mereka terhadap tablet berkurang kerana di kebanyakan sekolah rendah dan menengah mempunyai kelengkapan komputer.

Baca juga Keliru untuk beli komputer riba yang sesuai? Ikuti 5 tip pemilihan komputer riba mengikut keperluan pelajar

Baca juga 12,887 unit peranti pintar sudah diagih

Namun begitu, tidak dinafikan tablet memberikan banyak manfaat kepada warga sekolah kerana sifatnya yang lebih canggih dan seiring dengan kemajuan zaman.

GPSBestari ingin berkongsi mengenai kepentingan tablet dalam penggunaan pembelajaran di sekolah.

Apakah itu tablet?

Tablet bermaksud peranti mudah alih yang lebih besar dari telefon pintar dan lebih kecil dari buku nota.

Peranti tersebut mempunyai pelbagai perisian moden yang mempunyai banyak maklumat yang tidak terdapat dalam buku teks.

Pun begitu, tablet masih belum diterima pakai oleh pendidik yang mengajar murid dan pelajar secara bersemuka di sekolah.

Jika diterima pakai, penggunaannya masih belum meluas dan masih dalam skala kecil.

Kepentingan tablet ketika pembelajaran

1. Meningkatkan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)

Suka ataupun tidak, pada era kini pengetahuan ICT menguasai dunia dan seisinya.

Jika perhatikan keadaan sekeliling sekolah, kini semuanya memang mempunyai unsur tersebut jadi warga pendidik perlu menerapkan kaedah digital ketika mengajar.

Tambahan lagi, di dalam perisian tablet banyak aplikasi berorientasikan pendidikan tersedia dalam semua platform; Google Play Store bagi pengguna Android atau Apple Store bagi pengguna Apple.

Melalui aplikasi tersebut, kreativiti murid dan pelajar dapat ditingkatkan, contoh, gubahan muzik, lukisan dan banyak lagi.

2. Lebih murah dari buku teks

Semua sedia maklum buku teks untuk setiap subjek memakan kos tinggi dan jika menggunakan tablet, silibus yang banyak akan berada dalam satu peranti.

Apabila warga pendidik membenarkan murid dan pelajar menggunakan tablet di sekolah, beg galas mereka juga akan menjadi lebih ringan.

Selain itu, penggunaan peranti mudah alih ini dapat mengelakkan risiko beg terkoyak kerana warga sekolah hanya perlu membawa barangan tersebut dan wayar pengecas.

3. Penilaian menjadi lebih mudah

Kita kerap mendengar rungutan pendidik untuk menanda kertas jawapan murid dan pelajar sekolah, namun, masalah tersebut dapat diatasi dengan penggunaan tablet ketika sesi PdP.

Guru cuma perlukan masa singkat untuk menyemak jawapan dengan lebih cekap dan tepat.

Ini kerana, tablet mempunyai sistem penggredan yang lebih bagus secara tidak langsung memberikan peluang kepada mereka untuk menumpukan perhatian kepada kerja kelas.

4. Ilmu di hujung jari

Dalam masa nyata, guru boleh menghantar sukatan pengajaran yang menarik kepada murid dan pelajar dengan satu ketikan.

Dengan teknologi di hujung jari begini memudahkan kedua-dua pihak ini untuk bekerjasama melengkapkan tugasan sekolah.

Hasilnya, murid dan pelajar dapat ilmu dalam masa singkat dan lebih interaktif dari buku teks.

5. Komunikasi banyak hala

Penggunaan tablet menggalakkan komunikasi banyak hala melibatkan ibu bapa, guru, murid dan pelajar.

Ini kerana, kesemua pihak ini boleh disambungkan dalam satu rangkaian tanpa perlu bersemuka.

Contohnya, aplikasi Google Meet dalam tablet digunakan untuk membincangkan prestasi akademik murid dan pelajar secara maya.

Rumusan

Rumusannya, penggunaan tablet di sekolah banyak manfaat asalkan penggunaannya dikawal oleh pihak sekolah dan ibu bapa supaya murid dan pelajar tidak terleka.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

GPSBestari berharap warga pendidik dapat menyesuaikan sesi PdP dengan cara digital kerana gelombang teknologi sudah pun melanda sektor pendidikan di negara kita.

Sumber: The Daily Iowan

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok