db677a78-0866-42be-85bc-9ca6df7fd871
db677a78-0866-42be-85bc-9ca6df7fd871

Kerana kepakaran dalam IT, Cikgu Raheym kini jadi sumber rujukan warga pendidik

Roshlawaty Md Raieh
16 Aug 2021 04:45pm
A
A
A

Ketika guru-guru lain menjalankan pembelajaran bersemuka di sekolah (sebelum Covid-19), Cikgu Abdul Raheym Ahmad, dari Kolej Vokasional (KV) Balik Pulau, Pulau Pinang, sudah pun mengaplikasikan pembelajaran dalam talian secara berperingkat.

Berkemahiran dalam bidang Teknologi Maklumat (IT), Cikgu Raheym memberitahu Sinar Bestari, dirinya telah memulakan pembelajaran secara dalam talian sejak 2018.

“Saya seorang guru yang aktif dengan penglibatan luar seperti membawa pelajar ke pertandingan kemahiran, inovasi dan menghadiri mesyuarat mahupun bengkel anjuran pihak berkaitan.

“Memandangkan seringkali tiada di sekolah, saya akan mengajar dalam talian dengan berkongsi video tutorial, video pembelajaran dan sebagainya.

“Pelajar saya akan menonton semua video tersebut dan mencatat segala nota diberikan. Jika ada yang tidak faham, mereka akan whatsapp atau pun berjumpa saya bila berada di sekolah,” kata guru subjek Rekabentuk Grafik & Media Cetak ini.

Cikgu Raheym yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Matematik Pengkomputeran dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berkata, Covid-19 telah banyak mengubah landskap dunia pendidikan hari ini.

Cikgu Abdul Raheym pada sesi demonstrasi kaligrafi dalam rakaman DidikTV KPM pada Julai 2020.

“Dulu semua guru dan pelajar perlu datang ke sekolah untuk mengajar dan belajar. Namun baru-baru ini, semuanya perlu belajar di rumah menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Bila PdPR, majoriti akan guna telefon, komputer, laptop dan gajet-gajet lain. Di sini, anak-anak akan memberi tumpuan 100 peratus terhadap gajet berkenaan. Cuma masalahnya sekarang, sama ada penggunaan gajet itu dapat digunakan untuk perkara positif atau sebaliknya,” katanya.

Dunia pendidikan pantas berubah

Penerima Anugerah Ikon Guru: TVET Negeri Pulau Pinang itu berkata, gajet seperti telefon memang menjadi 'kewajipan' dan keperluan bagi pelajar sekarang.

“Saya ambil contoh portal pelajar iaitu platform yang dibangunkan untuk maklumat dan sumber setempat pelajar KV Balik Pulau.

“Ia dibangunkan bagi memudahkan pelajar mendapat info yang cepat, tepat dan terkini. Info-info seperti jadual waktu kelas, e-book, aduan, pendaftaran kursus, video tutorial, pertandingan, komunikasi, koleksi video kelas dan sebagainya, memerlukan pelajar melayari menggunakan telefon.

“Begitu juga dengan Instagram KV Balik Pulau dan TikTok. Banyak kandungan dalam media sosial itu meletakkan video pendidikan yang ringkas dan padat dengan ilmu. Jadi, di sinilah letaknya kepentingan telefon kepada pelajar untuk mereka mendapatkan ilmu,” katanya.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 telah mengubah dunia pendidikan dalam sekelip mata.

“Kami (pendidik) tiada pengalaman online learning sebelum ini dan kena hadapi juga situasi sebegini sekarang dan masa akan datang.

“Saya lihat semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Guru harus mencipta pengalaman pembelajaran yang seronok, tepat dan mudah. Mereka perlu mendalami ilmu membangunkan media pembelajaran seperti mengedit video, animasi ringkas, penilaian dan pentaksiran secara dalam talian.

“Pelajar pula perlu menggunakan gajet dengan baik dan betul. Memang diakui media sosial serta games ada ‘kuasa penarik’ hingga pelajar boleh terlupa hal-hal yang lebih penting. Dalam soal ini, disiplin diri dengan jadual harian sangat-sangat digalakkan,” kata anak bongsu daripada lima adik beradik itu lagi.

Katanya, ibu bapa disarankan peka dengan jadual pembelajaran anak dan sebolehnya menetapkan waktu penggunaan gajet anak masing-masing.

Pelajar-pelajar KV Balik Pulau ketika mengadakan lawatan industri percetakan ke Kumpulan Karangkraf pada 2018.

“Anda boleh muat turun aplikasi seperti Google Family Link pada telefon ibu bapa dan anak-anak. Dengan aplikasi ini, ibu bapa boleh kawal telefon anak dari segi penggunaan, lokasi, tetapan, sekatan dan sebagainya,” jelas anak kelahiran Pulau Pinang ini.

Cikgu Raheym turut menasihati pelajar yang bermain gajet tanpa hala tuju.

“Gajet (telefon) bagaikan keperluan utama sekarang untuk pelajar berkomunikasi, pembelajaran, hobi dan lain-lain.

“Setiap pelajar mempunyai kaedah dan penerimaan yang berbeza, ada yang suka belajar melalui visual (video/animasi), terima menerusi audio (ceramah/podcast) dan juga yang jenis kinestatik/psikomotor (perbuatan/demonstrasi).

“Namun kita sebagai orang dewasa kena bijak mempengaruh pelajar menggunakan gajet dengan cara betul agar masa mereka tidak terbuang begitu sahaja,” jelas beliau.

Beliau turut berharap guru-guru dapat menghasilkan aplikasi pembelajaran sendiri untuk masa depan pelajar kerana hanya guru yang tahu kemampuan pelajar mereka.

"Untuk membangunkan aplikasi, tidak perlu ilmu pengaturcaraan, hanya drag & drop sahaja sudah boleh wujudkan aplikasi," katanya.

INFO

Tahap Pendidikan

Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Matematik Pengkomputeran, UiTM Shah Alam

Diploma Sains Kuantitatif, UiTM Shah Alam

Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (Teknologi Maklumat) UPSI. Sejarah perkhidmatan

Pengurus Pemasaran, Bahagian Perusahan Kecil Sederhana, Jabatan Ketua Menteri Melaka, 2006 – 2007

Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), SMK Tok Labu Pulau Pinang, 2008- 2009

GSTT, SMK Tuanku Ismail, Sungai Petani, Kedah, 2010

KV Balik Pulau 2014 hingga sekarang

Jawatan pernah disandang

Guru Literasi Sains Komputer 2014, SMK Tunku Ismail

Guru Sistem Komputer & Rangkaian 2015, KV Balik Pulau

Ketua Unit Rekabentuk Grafik 2017, KV Balik Pulau

Ketua Jabatan Teknologi Maklumat 2018, KV Balik Pulau

Ketua Jabatan Seni Reka 2020, KV Balik Pulau

Anugerah

Anugerah Ikon Guru: TVET Negeri Pulau Pinang

Anugerah Guru Ikon TVET Daerah Barat Daya Pulau Pinang

Anugerah Guru Didik TV

Anugerah Guru Inovasi

Artikel berkaitan 

5 kemahiran untuk memancing udang galah

Bantu pasang capaian internet di sekolah terpilih, projek khidmat komuniti pelajar universiti berjaya

Hasil berlatih tanpa jemu, atlet SeMShah akhirnya bergelar raja pecut daerah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok