thisisengineering-raeng-xZTScJvolYk-unsplash
thisisengineering-raeng-xZTScJvolYk-unsplash

Benarkah bebanan kerja jadi sebab lebih ramai guru pilih bersara awal?

webadmin
23 Oct 2022 10:13am
A
A
A

Menggalas tanggungjawab sebagai pendidik bukan satu tugas mudah pada hari ini. Jika dibanding tugas guru 10 atau 20 tahun dulu, ia jauh sekali berbeza kerana guru pada zaman serba canggih ini dilihat bukan saja perlu memberi tumpuan kepada tugas mengajar tetapi juga tugas-tugas pentadbiran.

Sedar atau tidak, lambakan tugas itu menyebabkan ramai guru terasa terbeban dengan tanggungjawab yang perlu digalas dan tidak kurang juga yang terpaksa mendapatkan rawatan daripada doktor pakar kerana mengalami masalah psikologi berhubungan perkara itu.

Sehubungan dengan itu juga, ramai guru memilih untuk bersara awal daripada tahun perkhidmatan yang ditetapkan kerana pelbagai alasan dan salah satunya adalah kerana bebanan tugas yang terlalu banyak sehingga menyebabkan mereka hilang fokus untuk melaksanakan tugas hakiki iaitu mendidik anak bangsa.

Cadangan seorang pengikut di Facebook Kami Guru Malaysia supaya satu kajian dibuat mengenai kenapa semakin ramai guru pada hari ini memilih untuk bersara awal, menarik perhatian Sinar Bestari untuk berkongsi pandangan berkenaan bersama warga pendidik di luar sana.

Di sini, dikongsikan beberapa sebab kenapa masa kini semakin ramai guru bersara awal yang diluahkan oleh pengikut dalam Facebook berkenaan.

©unsplash

1) Tertekan dengan beban kerja yang terlalu banyak sehingga menganggu tugas hakiki

Peranan seorang guru adalah mendidik anak bangsa, tetapi ada yang berpendapat, guru pada hari ini lebih dibebankan dengan kerja pentadbiran dan pengurusan data. Situasi itu menyebabkan ada guru-guru yang tidak dapat memberi fokus kepada tanggungjawab mengajar di dalam kelas sekali gus menghilang keseronokan mereka untuk bekerja.

2) Karenah birokrasi

Ada yang berpendapat, bidang pendidikan pada hari ini meletakkan pengurusan cemerlang di tempat pertama, sebaliknya pencapaian dan hala tuju murid sudah jatuh ke tangga kedua. Keadaan itu membuatkan profesion berkenaan menjadi semakin hambar kerana perlu memenuhi kehendak orang atasan terlebih dulu berbanding keperluan murid yang dahagakan ilmu pengetahuan.

3) Tekanan sekeliling termasuklah ibu bapa dan penjaga

Segelintir ibu bapa pada hari ini dilihat terlalu memberi tekanan kepada guru dalam pelbagai sehingga menyebabkan mereka tertekan dalam mendidik murid-murid di sekolah. Itu belum lagi mengambil kira masa yang diperuntukkan untuk melayan pelbagai soalan dalam grup Whatsapp sekolah dan kelas masing-masing serta masalah teknikal ketika mengendalikan kelas secara atas talian.

4) Masalah kesihatan

Tidak dinafikan ramai juga warga pendidik memilih untuk bersara awal dari tahun persaraan wajib kerana masalah kesihatan. Tidak kurang juga ada dalam kalangan guru yang berdepan masalah kesihatan mental sehingga memaksa mereka untuk meninggalkan profesion berkenaan.

©unsplash

5) Mahu memberi peluang kepada generasi baharu untuk masuk perkhidmatan

Memandangkan masih ramai graduan pendidikan dari institusi pengajian tinggi (IPT) yang menunggu penempatan sehingga ada yang mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk mendapat tawaran, ada guru yang sudah lama berkhidmat, memilih untuk bersara lebih awal dari tahun bersara yang sepatutnya.

Olahan daripada perkongsian di Facebook Kami Guru Malaysia

Artikel berkaitan 

Ketahui 5 kaedah hadapi cabaran dalam kerjaya guru

Sering tertekan? Berikut 12 tip elak tekanan dalam kalangan Guru Perpustakaan dan Media

Kerana kasih seorang guru, Ustaz Ismail sanggup ke sekolah di pedalaman kongsi ilmu robotik


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok